Rabu, 1 Ogos 2012

PENDIRIAN DOMPOK KEKAL DENGAN BN

Presiden Upko, Tan Sri Bernard Dompok (gambar) berkata, pendirian beliau akan kekal dengan Barisan Nasional (BN) kerana percaya hanya BN sahaja yang dapat membuat perubahan.


Katanya, hanya BN mempunyai kekuatan dan mekanisme yang dapat membantu rakyat Sabah.


"Tindakan keluar dari BN tidak akan dapat menyelesaikan masalah yang sedang dihadapi rakyat," katanya sebagai mengulas tindakan timbalannya, Datuk Wilfred Bumburing yang juga Anggota Parlimen Tuaran keluar dari Upko pada Ahad lepas.


Dompok yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi menyatakan perkara itu selepas merasmikan Kursus asas teknologi tanaman dan penyerahan insentif tanaman baru koko dan lada di Serian, Sarawak, kelmarin.


Beliau berkata perjuangan Upko untuk membanteras pendatang asing di Sabah selama ini tidak boleh dilakukan di luar BN.


Katanya, Upko perlu bersabar dalam menangani masalah tersebut dan tindakan Bumburing meninggalkan parti mungkin kerana beliau sudah tidak sabar untuk melihat masalah itu diselesaikan dengan segera.


"Namun, saya tidak nampak yang beliau akan dapat berbuat demikian dari luar BN," katanya.


Ditanya apakah benar ada lagi beberapa ahli Upko akan meninggalkan parti itu, beliau berkata, "Saya tak tahu...ada banyak spekulasi. Tapi inikan negara bebas. Anda boleh sertai mana-mana parti yang anda suka dan orang lain juga akan menyertai kami (Upko)".


Dompok berkata beliau kesal dengan peletakan jawatan pemimpin parti baru-baru ini dan berharap kerajaan persekutuan akan menangani isu tertentu berkaitan Sabah secara telus.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan