Khamis, 16 Ogos 2012

KEKALKAN MOMENTUM SOKONGAN KEPADA BN, KATA ISNIN


Isnin (kiri) bersama Lokman dan Ag. Aslee pada majlis ziarah ramadan dan berbuka puasa di perkarangan Masjid Nur Ehsan Kg. Tempurung.

KUALA PENYU--Rakyat di kawasan ini diminta mengekalkan sokongan padu mereka terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) yang terbukti mampu menyediakan pembangunan yang diperlukan rakyat serta mampu membela nasib mereka.

Pemangku Ketua Umno Bahagian Beaufort, Isnin Aliasneh, berkata rakyat wajar meneruskan momentum sokongan yang tidak berbelah bagi kepada kerajaan sebagaimana yang dilakukan sebelum ini.
                                
Katanya, kerajaan BN dibawah teraju kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sentiasa berusaha melakukan yang terbaik untuk rakyat.

"Oleh kerana itu, kita harus memberi sokongan padu kepada kerajaan bagi meneruskan agenda untuk membela nasib rakyat," katanya pada majlis ziarah ramadan dan berbuka puasa Umno Bahagian Beaufort di perkarangan Masjid Nur Ehsan Kg. Tempurung di sini.

Turut hadir ialah Setiausaha Umno Bahagian Beaufort, Jali Nordin, Naib Ketua Upko Bahagian Beaufort, Lokman Sunggim, ahli-ahli jawatankuasa Umno Bahagian Beaufort, Ag Aslee Lakat, Mohd Fadzlee Abdullah, Awang Damit Jion serta wakil pergerakan wanita, pegerakan pemuda dan puteri bahagian berkenaan.

Isnin yang juga Setiausaha Politik Kementerian Pembangunan Infrastruktur, berkata Umno bahagian akan meneruskan perjuangannya walaupun beberapa pemimpinnya baru-baru ini telah meninggalkan parti itu.

"Tidak apa, itu hak mereka untuk meninggalkan kita namun kami yang ada, bersama-sama dengan sayap parti pergerakan pemuda, wanita dan puteri akan meneruskan tanggungjawab kepada rakyat," tegasnya.

Isnin berkata, program ziarah ramadan ke masjid-masjid dan surau di kawasan Parlimen Beaufort mampu mengeratkan perpaduan dan siratulrahim di kalangan umat Islam dan rakyat.

Menurut beliau, penyertaan pemimpin parti-parti komponen BN seperti Upko dan PBS dalam program tersebut juga memperlihatkan kesepakatan yang dapat mengukuhkan kedudukan gabungan itu di kawasan parlimen berkenaan.

Pada majlis itu, Isnin turut mengumumkan peruntukan RM15,000 bagi kerja-kerja meluaskan masjid di kampung itu di samping menyampaikan sumbangan untuk warga emas serta sumbangan air zam-zam, kurma dan jubah daripada Perdana Menteri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan