Sabtu, 1 September 2012

UPKO AKAN TERUS MAIN PERANAN DALAM BN BEAUFORT


BEAUFORT: Upko Bahagian Beaufort akan terus memainkan peranan sebagai rakan penting parti komponen Barisan Nasional (BN) di bahagian ini dalam apa juga situasi yang dihadapi, kata Naib ketua bahagiannya, Lokman Sunggim (gambar).

Beliau berkata, sebagai rakan dalam gabungan itu, Upko sentiasa berusaha menyumbangkan sesuatu khususnya untuk mengukuhkan kedudukan BN di bahagian berkenaan.

"Kita sentiasa komited dengan tanggungjawab ini dan melakukan yang terbaik demi kesinambungan perjuangan BN di bahagian ini," katanya ketika ditemui di sini.

Lokman yang juga ahli jawatankuasa BN Bahagian Beaufort, berkata senario terbaru politik di kawasan Beaufort tidak akan menggugat kerjasama yang terjalin erat di kalangan anggota parti-parti komponen BN.

Katanya, BN Beaufort yang diterajui Umno sentiasa mendapat kerjasama baik daripada rakan-rakan dalam komponen terutama Upko, Parti Bersatu Sabah (PBS), MCA, Gerakan dan LDP.

Bagi Upko sendiri, tambah beliau, ahli-ahli dan penyokongnya di bahagian Beaufort masih terus setia dalam BN dan setakat ini belum ada ahli mereka yang terpengaruh dengan tindakan bekas timbalan presiden Upko, Datuk Seri Wilfred Bumburing menyertai pembangkang baru-baru ini.

"Kami bersyukur kerana tiada ahli kami dari bahagian ini yang mengubah haluan mereka dan ini membuktikan kematangan mereka dalam menilai perjuangan pemimpin mereka," tegasnya.

Naib Ketua Upko bahagian itu berkata, Upko bahagian berkenaan juga akan menyokong siapa sahaja pemimpin yang diamanahkan oleh pucuk pimpinan BN untuk mengetuai BN Bahagian Beaufort berikutan peletakan jawatan Anggota Parlimen Beaufort, Datuk Seri Lajim Ukin bagi jawatan itu sebelum ini.

Beliau juga mengucapkan tahniah kepada timbalan ketua Umno bahagian, Isnin Aliasneh atas pelantikan sebagai pemangku ketua bahagian berkenaan.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan