Jumaat, 28 September 2012

RM19.25 JUTA UNTUK BAIKI RUMAH USANG RAKYAT

Sejumlah RM19.25 juta diperuntukkan kepada penduduk di Sabah bagi membaiki rumah yang telah usang dan memerlukan pembaikan melalui Program Nadi Kasih.

Program itu yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memperuntukkan sebanyak RM1 juta bagi setiap kawasan yang membabitkan 66 kawasan di seluruh negeri Sabah. Ia dianggarkan merangkumi 3,850 rumah secara keseluruhannya dan setiap rumah akan menerima pembiayaan RM5,000.

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Haji Aman (gambar), berkata, peruntukan tersebut kena pada masanya memandangkan Sabah merupakan sebuah negeri yang besar dan sudah tentu banyak rumah penduduk yang perlu diperbaiki dan dipulihkan terutama di kawasan pedalaman.

Katanya, usaha ini akan membantu meringankan beban rakyat dan memberi peluang mereka membaiki rumah yang usang supaya dapat didiami dengan selesa.

Berucap pada Majlis pelancaran taklimat khas Program Nadi Kasih Peringkat Negeri di Kota Kinabalu di sini, Ketua Menteri berkata, rakyat harus bersyukur kerana negeri ini telah menerima pelbagai bantuan dan mempunyai kerajaan yang prihatin di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib.

Katanya, banyak dasar kerajaan termasuk program-program dan projek yang menjurus membantu dan meringankan beban rakyat.

Beliau menambah, sebelum ini, sebilangan wakil rakyat juga telah menerima peruntukan sebanyak RM7 juta.

Dalam pada itu, Musa mengingatkan wakil-wakil rakyat (MP dan Adun) supaya menggunakan peruntukan itu dengan sebaik mungkin.

"Berikan peruntukan ini kepada rakyat yang memerlukan dengan mengenal pasti mereka yang benar-benar layak menerima bantuan itu,"tegasnya.

Beliau juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan khususnya Perdana Menteri kerana memberikan Sabah peruntukan yang terbesar setakat ini melalui Yayasan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Isnin, 24 September 2012

KERAJAAN BN AKAN TERUS BANTU RAKYAT, KATA ISNIN

Isnin (bersongkok) bersama Adun Kuala Penyu, John Teo (kiri sekali), Datuk Kimjus Duim, Lokman Sunggim (kanan sekali) dan Limus Jury (tiga dari kanan).

KUALA PENYU: Kerajaan Barisan Nasional (BN) akan terus membela rakyat di luar bagi membolehkan mereka dapat bersama-sama menikmati pembangunan secara berterusan.

Pemangku Ketua Umno Bahagian Beaufort, Isnin Aliasnih, berkata para pemimpin BN akan berusaha mengenal pasti mana-mana tempat yang masih memerlukan pembelaan dan pembangunan bagi memudahkan pihak kerajaan menghulurkan bantuan.

Katanya, inilah sebahagian tugas pemimpin agar tempat-tempat yang masih memerlukan bantuan akan dapat dibantu dan mereka tidak akan tersisih daripada menikmati kemajuan.

Beliau menyatakan demikian ketika berucap merasmikan Majlis merdeka raya anjuran Persatuan Muallaf Daerah Kuala Penyu di balairaya Kg. Melampai di sini, kelmarin.

Isnin yang juga Setiausaha Politik Kementerian Pembangunan Infrastruktur mahu masyarakat pelbagai kaum di daerah ini terus mengekalkan semangat perpaduan yang sedia ada sebagai landasan untuk memperkukuhkan jalinan permuafakatan di kalangan mereka walaupun berbilang kaum dan anutan agama.

Katanya, kerajaan BN memberikan komitmen yang tinggi dalam memartabatkan nilai perpaduan semua kaum di negara ini tanpa mengira perbezaan budaya, adat resam dan anutan agama mahu pun idealogi politik.

Belaiu melahirkan rasa bangga dengan sambutan serta komitmen yang ditunjukkan oleh masyarakat di kawasan ini yang jelas menampakkan semangat permuafakatan yang begitu kukuh.

“Walaupun terdapat perbezaan agama dan budaya namun nilai persaudaraan dan semangat kekeluargaan tetap terpelihara dengan baik," katanya.

Beliau juga menyatakan kesediaan untuk menyalurkan peruntukan bagi menampung kos penyambungan bekalan elektrik balai raya di kampung berkenaan dan mengharapkan perlaksanaannya dapat dipercepatkan.

" Ini bukan duit saya, setiap peruntukan yang kita umumkan adalah amanah kerajaan untuk disalurkan kepada rakyat. Demikian juga halnya dengan pemimpin yang meninggalkan kita untuk menyertai pembangkang, semua projek pembangunan yang mereka umumkan sebelum ini adalah peruntukan kerajaan Barisan Nasional, rakyat jangan mudah tertipu," tegasnya.

Turut hadir pada majlis itu Adun Kuala Penyu, John Teo, Naib Ketua Umno Bahagian Beaufort, Datuk Kimjus Duim, Naib Ketua Upko Bahagian Beaufort, Lokman Sunggim, Setiausaha Umno bahagian, Jali Nordin dan ahli perniagaan, Limus Jury.





Ahad, 16 September 2012

BEKAS PEMIMPIN SERTAI PKR TAK JEJAS BN, KATA KM



RASMI...Musa (tengah) bersama Datuk Salleh Tun Said, Datuk Yahya Hussin dan Pemangku Ketua Umno Bahagian Beaufort, Isnin Aliasnih (tiga dari kiri) ketika merasmikan Persidangan tahunan Umno Bahagian Beaufort.

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman menegaskan kekuatan dan sokongan rakyat terhadap BN di Sabah tidak terjejas berikutan tindakan bekas Timbalan Menteri persekutuan Datuk Yahya Lampong dan tokoh korporat terkenal, Tan Sri Ibrahim Menudin menyertai PKR.

"Itu hak masing-masing. Kita akan terus kuat dan mantap serta bersatu padu. Apa yang penting kami akan menghadapi pilihan raya umum dengan semangat berkobar-kobar bagi memastikan kejayaan besar BN di Sabah dan di seluruh negara," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Beaufort di Dewan Pa Musa Beaufort, di Beaufort pada Ahad.

Musa yang juga Pengerusi BN negeri berkata demikian ketika diminta mengulas perkara itu. Semalam, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Ibrahim dan Yahya masing-masing menyertai PKR di Labuan dan Dalit, Tuaran.

Pada pilihan raya umum lepas, BN hampir menyapu bersih 60 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) serta 25 kerusi Parlimen dan hanya tewas di kerusi DUN Sri Tanjung (Tawau) dan Parlimen Kota Kinabalu.

Musa berkata kerajaan BN akan terus membangunkan negeri ini demi kebaikan rakyat Sabah secara keseluruhannya.

Terdahulu dalam ucapannya, Musa meminta rakyat Beaufort menyokong sesiapa sahaja calon yang dikemukakan pucuk pimpinan parti pada pilihan raya umum akan datang.

"Kalau wakil rakyat daripada parti pembangkang...apa gunanya. Banyak tempat yang diwakili pembangkang tidak dapat berbuat apa-apa sebab tiada peruntukan dan tidak boleh berjumpa Perdana Menteri.

"Kalau wakil rakyat BN, Perdana Menteri ialah Pengerusi BN dan Ketua Menteri, Pengerusi BN negeri...senang berbincang. Jadi ini penting kita pastikan wakil rakyat BN supaya pembangunan dapat diteruskan di seluruh Sabah," katanya.

Parlimen Beaufort kini disandang bekas Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Lajim Ukin yang baru-baru ini, menyatakan sokongan kepada pakatan pembangkang.

Musa berkata pakatan pembangkang yang memerintah di empat buah negeri kini ketakutan kerajaan BN akan mengambil alih kuasa di negeri-negeri berkenaan.

"Sekarang mereka datang ke Sabah berlagak umpama mengajar itik berenang. Sebenarnya rekod pencapaian kerajaan BN di Sabah jauh lebih baik. Keadaan politik di tempat mereka kini terumbang-ambing dan kucar-kacir. Misalnya di Selangor...di sana sini ada masalah termasuk masalah air.  

"Mereka juga menabur pelbagai janji yang tidak masuk akal. Saya sebagai Menteri Kewangan Negeri tahu Malaysia akan muflis jika semua diberi secara percuma. Ini satu pembohongan besar pembangkang...ini tidak betul," katanya.

Musa turut mempersoalkan; "Kalau semua diberikan percuma, mana untuk pembangunan? Sebagai contoh, di Sabah sahaja kerajaan negeri membayar emolumen atau gaji penjawat awam negeri sekitar RM700 juta setahun."

Beliau berharap rakyat Sabah tidak terpengaruh dengan janji manis pembangkang yang terdesak meraih sokongan menjelang pilihan raya umum ke-13.- Bernama.

Jumaat, 14 September 2012

RUMAH TERBUKA MERDEKA RAYA WARGA PARLIMEN BEAUFORT DI KK RABU INI


KOTA KINABALU: Majlis Rumah Terbuka Merdeka Raya warga Parlimen P.177 Beaufort yang membabitkan kawasan Dewan Undangan Negeri Klias dan Kuala Penyu akan diadakan di Dewan SESB Karamunsing di sini, rabu ini.

Majlis itu akan bermula jam 7.00 malam hingga 11.00 malam.

Pengerusi jawatankuasa penganjurnya, Zahari Zinin, berkata Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Haji Aman akan menjadi tetamu kehormat pada majlis itu.

Katanya, majlis itu bagi memberi peluang kepada warga Parlimen Beaufort yang menetap di Kota Kinabalu dan sekitarnya berkumpul dan bersama-sama merayakan sambutan Hari Raya Aidilfitri di samping merayakan sambutan Hari Kemerdekaan.

Sehubungan itu, Zahari yang juga Bendahari Umno Bahagian Beaufort mempelawa warga Parlimen Beaufort di Kota Kinabalu dan sekitarnya supaya datang beramai-ramai bagi menyerikan majlis tersebut.

“Kita mengalu-alukan mereka dapat meluangkan masa dan membawa keluarga masing-masing untuk hadir ke rumah terbuka merdeka raya ini,” katanya.

Menurutnya, mereka yang hadir juga akan berpeluang memenangi pelbagai hadiah melalui cabutan tiket bertuah selain pihak penganjur turut menyediakan duit raya untuk kanak-kanak.


Khamis, 6 September 2012

KUALA PENYU SESUAI UNTUK LOKASI UNIVERSITI BARU

Daerah Kuala Penyu sangat berpotensi untuk menempatkan institusi pengajian tinggi jika kerajaan negeri bercadang untuk membina sebuah lagi universiti baru di negeri ini.

Bekas Bendahari Pergerakan Pemuda Upko pusat, Limus Jury (gambar), berkata kenyataan Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Haji Aman bahawa kerajaan negeri sedia menimbang kemungkinan untuk mewujudkan universiti kedua bagi Sabah telah menerima sambutan baik daripada rakyat.

Limus yang ketika ini menjadi seorang ahli perniagaan berjaya berpendapat perkembangan ini sangat diperlukan bagi menggerakkan kegiatan ekonomi dan pembangunan sosial di daerah ini.

"Dengan pembinaan universiti tersebut, ia secara langsung dapat menyediakan peluang ekonomi kepada rakyat di Kuala Penyu dan Beaufort," katanya.

Selain itu, beliau yang juga bekas bendahari Upko Bahagian Beaufort, berkata Kuala Penyu amat berpotensi untuk terus memajukan sektor pelancongan dan pewujudan univerisiti baru itu akan merangsang sektor berkenaan.

Ketika berucap kepada pelajar baru Universiti Malaysia Sabah (UMS) di Kota Kinabalu Isnin lepas, Musa berkata kerajaan negeri bersikap terbuka dengan sebarang pandangan dan bersedia menerima cadangan untuk membina sebuah lagi universiti berdasarkan keperluan dan kedudukan universiti yang sedia ada di Sabah.

"Kita akan tengok dan melakukan pengumuman yang perlu jika kita rasakan ia boleh dilaksanakan," katanya yang juga Pro Canselor UMS dilaporkan sebagai berkata.

Sementara itu, menurut laporan akhbar Berita Harian, dua lokasi iaitu Kuala Penyu dan Silam dicadangkan bagi tapak bagi pewujudan universiti baru di Sabah itu.

Seorang pemimpin Barisan Nasional (BN) di Beaufort di sini mengalu-alukan pandangan supaya universiti baru itu dibina di Kuala Penyu memandangkan sebelum ini terdapat cadangan supaya kawasan Menumbok yang berhampiran Pulau Labuan dijadikan sebagai hub institusi pengajian tinggi.

Ahli jawatankuasa BN Bahagian Beaufort yang juga Naib Ketua Upko bahagian berkenaan, Lokman Sunggim, berkata daerah Kuala Penyu masih mempunyai kawasan tanah yang luas yang boleh dijadikan tapak bagi tujuan itu.

"Kita mempunyai tanah yang belum dibangunkan seluas kira-kira 300 ekar di Matabawan selain kawasan tanah yang dicadangkan bagi projek Gula Sabah yang sudah dibatalkan kerajaan boleh dijadikan tapak pembinaan universiti tersebut," katanya.

Rabu, 5 September 2012

KENAL PASTI POTENSI PELANCONGAN DI KUALA PENYU


SERAH...Pengerusi MDKP, Edmund Teo (tengah) menyampaikan watikah pelantikan kepada Lokman disaksikan Pegawai Eksekutif MDKP, Mohd Fadzlee Lee Abdullah (kanan).

KUALA PENYU: Jawatankuasa Pembangunan Pelancongan Daerah disaran supaya mengenal pasti tempat-tempat yang mempunyai potensi menjadi daya tarikan pelancong di daerah ini untuk dimajukan.

Anggota Majlis Daerah Kuala Penyu (MDKP), Lokman Sunggim, berkata daerah ini umpamanya mempunyai pantai yang cantik yang boleh dimajukan oleh kerajaan atau pihak swasta.

Katanya, sektor pelancongan dan sektor berasaskan perikanan antara yang berpotensi dimajukan di daerah ini yang dijangka mampu menjana pertumbuhan ekonomi masyarakat setempat.

Beliau berkata, pantai yang cantik jika dimajukan dengan menyediakan prasarana yang baik sudah pasti akan dapat menarik para pelancong untuk datang ke daerah ini.

Menurutnya, pada masa ini didapati ramai pelancong menggunakan Kuala Penyu sebagai laluan untuk ke Pulau Tiga, sebuah pulau yang memang pun sudah terkenal di kalangan para pelancong luar negara.

Salah satu aktiviti yang menarik perhatian di pulau berkenaan ialah “mandi lumpur” tetapi malangnya ia tidak mempunyai kemudahan seperti bilik persalinan dan keperluan lain yang boleh digunakan baik sebelum atau selepas menjalankan aktiviti tersebut.

“Sekiranya kemudahan dan keperluan yang sesuai wujud di kawasan tersebut, ini bukan sahaja akan memberi keselesaan kepada pengunjung malah ia menjadikan tempat itu lebih menarik dan terkawal dari segi kebersihan persekitarannya,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan watikah pelantikan perlanjutan sebagai anggota majlis itu.

Beliau difahamkan selain di Pulau Tiga,terdapat juga tempat yang serupa boleh didapati di Kuala Penyu dan ini perlulah dijalankan kajian bagi mengenal pasti kesahihannya.

Lokman yang juga Naib Ketua Upko Bahagian Beaufort, berkata sekiranya potensi sektor pelancongan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya maka ini akan membantu membangunkan daerah Kuala Penyu yang ketika ini mempunyai akses perhubungan yang baik terutama dengan siapnya pembinaan Jambatan Sitompok.

“Jambatan baru itu memudahkan sistem perhubungan di daerah ini dan ia memberi kesan sangat bermakna kepada penduduk dan pengunjung dari luar,” katanya.



Ahad, 2 September 2012

MUSA BERI EMPAT SEBAB KENAPA RAKYAT PERLU SOKONG BN DAN PM


SESAK...Sebahagian para perwakilan Umno dari bahagian yang terlibat menghadiri persidangan secara serentak itu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman memberi empat sebab mengapa rakyat Sabah perlu terus menyokong BN dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk kekal sebagai perdana menteri.

Beliau berkata empat sebab berkenaan amat diperlukan demi kemajuan berterusan negeri dan kemakmuran rakyat Sabah meskipun negeri itu sudah mengecapi banyak kemajuan dan pencapaian di bawah kepimpinan Najib sekarang.

"Mengapa kita perlu mengekalkan BN? Mengapa Datuk Seri Mohd Najib Razak perlu terus menjadi perdana menteri? Jawapannya mudah sahaja, kerana kita inginkan pembangunan, kita ingin kesejahteraan, kita inginkan keamanan dan kita inginkan kemakmuran serta keharmonian," katanya.

Musa yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah berkata demikian ketika berucap pada Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Libaran, Kinabatangan, Sandakan, Batu Sapi dan Beluran secara serentak yang dirasmikan oleh Najib di Dewan Serbaguna Sri Libaran, dekat Sandakan.

Beliau berkata sebaliknya jika rakyat Sabah silap memilih parti dan pemimpin untuk membentuk kerajaan pada pilihan raya umum akan datang, Sabah dan rakyat negeri itu dikhuatir kembali kepada suasana kemunduran dan ketidakstabilan politik akibat perpecahan.

Bagaimanapun, Musa berkata rakyat Sabah sejak dahulu lagi sudah bijak dan matang berpolitik serta tidak mudah dipengaruhi parti pembangkang yang disifatkannya sebagai "pura-pura cacat penglihatan" kerana enggan mengakui pembangunan pesat yang dialami negeri Sabah di bawah BN.

Katanya rakyat tidak kira latar belakang kaum dan kepercayaan, sama ada di bandar atau di luar bandar sudah dapat menikmati dan mendapat banyak manfaat daripada pelbagai program dan inisiatif yang dilaksanakan di bawah pentadbiran Najib seperti Program Transformasi Kerajaan dan Program Transformasi Ekonomi.

"Ada orang mengatakan macam mana perdana menteri (Datuk Seri Najib Razak) ini. (Rakyat) Di laut tolong. di darat pun di tolong. Nelayan ditolong, petani, pesawah pun ditolong, (rakyat) di desa pun dapat di kota pun dapat, kanak-kanak pun dapat orang tua pun dapat, pesara pun dapat malah pemandu teksi pun dapat," katanya.

Menurut Musa selain pembangunan dan kemajuan yang dibawa oleh kerajaan persekutuan, kerajaan negeri juga melalui inisiatifnya sendiri berusaha membawa kemajuan kepada rakyat dengan memperkenalkan pelbagai program untuk meningkatkan taraf ekonomi dan hidup mereka.

Katanya projek mini estet sejahtera (MESEJ), penubuhan Pusat Kraftangan, program galakan perniagaan dan keusahawanan dan pembinaan pelbagai infrastruktur asas merupakan sebahagian daripada inisiatif kerajaan negeri membangunkan rakyat Sabah.

Ketua Menteri berkata kerajaan negeri juga telah mengambil langkah berani dengan memberhentikan kegiatan pembalakan secara berleluasa di kawasan seluas beratus-ratus ribu hektar dan menggantikannya dengan projek penanaman semula hutan demi kelangsungan sumber asli itu kepada generasi akan datang.

Menurut Musa melalui projek perladangan hutan itu, Sabah boleh menghasilkan kira-kira 400 pokok balak berkualiti bagi setiap satu hektar berbanding pembalakan biasa yang jumlah hasilnya jauh lebih rendah.- Bernama

Sabtu, 1 September 2012

UPKO AKAN TERUS MAIN PERANAN DALAM BN BEAUFORT


BEAUFORT: Upko Bahagian Beaufort akan terus memainkan peranan sebagai rakan penting parti komponen Barisan Nasional (BN) di bahagian ini dalam apa juga situasi yang dihadapi, kata Naib ketua bahagiannya, Lokman Sunggim (gambar).

Beliau berkata, sebagai rakan dalam gabungan itu, Upko sentiasa berusaha menyumbangkan sesuatu khususnya untuk mengukuhkan kedudukan BN di bahagian berkenaan.

"Kita sentiasa komited dengan tanggungjawab ini dan melakukan yang terbaik demi kesinambungan perjuangan BN di bahagian ini," katanya ketika ditemui di sini.

Lokman yang juga ahli jawatankuasa BN Bahagian Beaufort, berkata senario terbaru politik di kawasan Beaufort tidak akan menggugat kerjasama yang terjalin erat di kalangan anggota parti-parti komponen BN.

Katanya, BN Beaufort yang diterajui Umno sentiasa mendapat kerjasama baik daripada rakan-rakan dalam komponen terutama Upko, Parti Bersatu Sabah (PBS), MCA, Gerakan dan LDP.

Bagi Upko sendiri, tambah beliau, ahli-ahli dan penyokongnya di bahagian Beaufort masih terus setia dalam BN dan setakat ini belum ada ahli mereka yang terpengaruh dengan tindakan bekas timbalan presiden Upko, Datuk Seri Wilfred Bumburing menyertai pembangkang baru-baru ini.

"Kami bersyukur kerana tiada ahli kami dari bahagian ini yang mengubah haluan mereka dan ini membuktikan kematangan mereka dalam menilai perjuangan pemimpin mereka," tegasnya.

Naib Ketua Upko bahagian itu berkata, Upko bahagian berkenaan juga akan menyokong siapa sahaja pemimpin yang diamanahkan oleh pucuk pimpinan BN untuk mengetuai BN Bahagian Beaufort berikutan peletakan jawatan Anggota Parlimen Beaufort, Datuk Seri Lajim Ukin bagi jawatan itu sebelum ini.

Beliau juga mengucapkan tahniah kepada timbalan ketua Umno bahagian, Isnin Aliasneh atas pelantikan sebagai pemangku ketua bahagian berkenaan.