Rabu, 5 September 2012

KENAL PASTI POTENSI PELANCONGAN DI KUALA PENYU


SERAH...Pengerusi MDKP, Edmund Teo (tengah) menyampaikan watikah pelantikan kepada Lokman disaksikan Pegawai Eksekutif MDKP, Mohd Fadzlee Lee Abdullah (kanan).

KUALA PENYU: Jawatankuasa Pembangunan Pelancongan Daerah disaran supaya mengenal pasti tempat-tempat yang mempunyai potensi menjadi daya tarikan pelancong di daerah ini untuk dimajukan.

Anggota Majlis Daerah Kuala Penyu (MDKP), Lokman Sunggim, berkata daerah ini umpamanya mempunyai pantai yang cantik yang boleh dimajukan oleh kerajaan atau pihak swasta.

Katanya, sektor pelancongan dan sektor berasaskan perikanan antara yang berpotensi dimajukan di daerah ini yang dijangka mampu menjana pertumbuhan ekonomi masyarakat setempat.

Beliau berkata, pantai yang cantik jika dimajukan dengan menyediakan prasarana yang baik sudah pasti akan dapat menarik para pelancong untuk datang ke daerah ini.

Menurutnya, pada masa ini didapati ramai pelancong menggunakan Kuala Penyu sebagai laluan untuk ke Pulau Tiga, sebuah pulau yang memang pun sudah terkenal di kalangan para pelancong luar negara.

Salah satu aktiviti yang menarik perhatian di pulau berkenaan ialah “mandi lumpur” tetapi malangnya ia tidak mempunyai kemudahan seperti bilik persalinan dan keperluan lain yang boleh digunakan baik sebelum atau selepas menjalankan aktiviti tersebut.

“Sekiranya kemudahan dan keperluan yang sesuai wujud di kawasan tersebut, ini bukan sahaja akan memberi keselesaan kepada pengunjung malah ia menjadikan tempat itu lebih menarik dan terkawal dari segi kebersihan persekitarannya,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan watikah pelantikan perlanjutan sebagai anggota majlis itu.

Beliau difahamkan selain di Pulau Tiga,terdapat juga tempat yang serupa boleh didapati di Kuala Penyu dan ini perlulah dijalankan kajian bagi mengenal pasti kesahihannya.

Lokman yang juga Naib Ketua Upko Bahagian Beaufort, berkata sekiranya potensi sektor pelancongan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya maka ini akan membantu membangunkan daerah Kuala Penyu yang ketika ini mempunyai akses perhubungan yang baik terutama dengan siapnya pembinaan Jambatan Sitompok.

“Jambatan baru itu memudahkan sistem perhubungan di daerah ini dan ia memberi kesan sangat bermakna kepada penduduk dan pengunjung dari luar,” katanya.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan