Jumaat, 28 September 2012

RM19.25 JUTA UNTUK BAIKI RUMAH USANG RAKYAT

Sejumlah RM19.25 juta diperuntukkan kepada penduduk di Sabah bagi membaiki rumah yang telah usang dan memerlukan pembaikan melalui Program Nadi Kasih.

Program itu yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memperuntukkan sebanyak RM1 juta bagi setiap kawasan yang membabitkan 66 kawasan di seluruh negeri Sabah. Ia dianggarkan merangkumi 3,850 rumah secara keseluruhannya dan setiap rumah akan menerima pembiayaan RM5,000.

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Haji Aman (gambar), berkata, peruntukan tersebut kena pada masanya memandangkan Sabah merupakan sebuah negeri yang besar dan sudah tentu banyak rumah penduduk yang perlu diperbaiki dan dipulihkan terutama di kawasan pedalaman.

Katanya, usaha ini akan membantu meringankan beban rakyat dan memberi peluang mereka membaiki rumah yang usang supaya dapat didiami dengan selesa.

Berucap pada Majlis pelancaran taklimat khas Program Nadi Kasih Peringkat Negeri di Kota Kinabalu di sini, Ketua Menteri berkata, rakyat harus bersyukur kerana negeri ini telah menerima pelbagai bantuan dan mempunyai kerajaan yang prihatin di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib.

Katanya, banyak dasar kerajaan termasuk program-program dan projek yang menjurus membantu dan meringankan beban rakyat.

Beliau menambah, sebelum ini, sebilangan wakil rakyat juga telah menerima peruntukan sebanyak RM7 juta.

Dalam pada itu, Musa mengingatkan wakil-wakil rakyat (MP dan Adun) supaya menggunakan peruntukan itu dengan sebaik mungkin.

"Berikan peruntukan ini kepada rakyat yang memerlukan dengan mengenal pasti mereka yang benar-benar layak menerima bantuan itu,"tegasnya.

Beliau juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan khususnya Perdana Menteri kerana memberikan Sabah peruntukan yang terbesar setakat ini melalui Yayasan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan