Selasa, 30 Oktober 2012

SABAH HANTAR DUA PASUKAN KE KEJOHANAN MYKIDS SOCCER KEBANGSAAN DI PERLIS


SERAH JERSI...Lokman mewakili Pengarah Urusan Perwira Progresif Construction Sdn. Bhd., Limus Jury menyerahkan sumbangan jersi kepada Osmera (tiga dari kiri).

KOTA KINABALU: Sabah akan menghantar dua pasukan untuk mengambil bahagian dalam Kejohanan Mykids Soccer Kebangsaan yang akan berlangsung di padang Kompleks Sukan Negeri Kangar, Perlis pada 16-22 November ini.

Satu pasukan akan bertanding bagi kategori bawah umur 12 tahun yang akan dianggotai 18 pemain Mykids Soccer Sabah dan satu pasukan lagi melibatkan pemain bawah 10 tahun yang terdiri daripada 15 pemain.

Ketua jurulatih remaja negeri Majlis Sukan Negara (MSN), Osmera Omaro, berkata, bagi kategori bawah 12 tahun, ini merupakan kali kedua Sabah mengambil bahagian dalam kejohanan tersebut dan kali pertama menyertai bagi kategori bawah 10 tahun.

Katanya, tahun lepas Sabah menyertai kejohanan kebangsaan bawah 12 tahun di Perak dan berjaya memasuki pusingan suku akhir.

"Kali ini, kita memiliki pasukan bawah 12 tahun yang bagus dan saya percaya mereka mampu beraksi dengan cemerlang dalam kejohanan itu," katanya ketika ditemui selepas menerima sumbangan jersi daripada Perwira Progresif Construction Sdn. Bhd. di padang SK Likas, pada Selasa.

Sumbangan jersi itu disampaikan Lokman Sunggim yang mewakili Pengarah Urusan syarikat berkenaan, Limus Jury pada majlis penyerahan itu.

Osmera berkata, pasukan bawah 12 tahun akan diawasi jurulatih Norsi Sabtari manakala pasukan bawah 10 tahun akan dikendalikan Mohamad Erwan kerana beliau akan terlibat mengawasi pasukan Malaysia Projek 2019 yang turut bertanding dalam kejohanan itu.

Katanya, sebanyak 15 pasukan bawah umur 12 tahun dari seluruh negara akan menyertai kejohanan enam hari itu.

Menurut beliau, pasukan yang dijangka memberi cabaran kuat dalam kejohanan itu termasuk juara Kejohanan Bolasepak Bawah 12 Tahun MSSM, Terengganu, Pahang dan Perak.

"Namun begitu, kita juga mempunyai pasukan yang baik dan kita berharap mereka mampu menghadapi saingan lawan dan seterusnya mencapai kejayaan," ujarnya sambil menyatakan keyakinan skuad Mykids Soccer Sabah mampu pergi lebih jauh.

Beliau juga memberitahu, ketika ini Mykids Soccer Sabah juga telah dimasukkan di bawah program pembangunan bolasepak SAFA.


KOMPONEN BN BEAUFORT BEKERJASAMA SEBAGAI SATU PASUKAN, KATA ISNIN



Isnin (kanan) bersalaman dengan Presiden Upko, Tan Sri Bernard Dompok pada konvensyen itu.

BEAUFORT: Pemimpin dan anggota parti komponen Barisan Nasional (BN) di semua peringkat harus memperkasakan kerjasama terutamanya ketika menjayakan program parti bagi memperkukuhkan BN menjelang pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) nanti.

Pemangku Ketua Umno Beaufort, Isnin Aliasnih berkata, ini penting dalam usaha untuk meraih kejayaan dalam pilihan raya.

Beliau memuji semangat juang yang ditunjukkan ahli-ahli Upko yang membanjiri dewan untuk menghadiri konvensyen berkenaan.


“Ini jelas menyangkal propaganda murahan yang sengaja digembar-gemburkan oleh pihak pembangkang dengan menyatakan bahawa Upko akan keluar daripada komponen BN sebelum ini,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Konvensyen Upko Bahagian Beaufort di Dewan Dato Shahbandar Makang di sini.

Lebih 2,000 ahli Upko menghadiri konvensyen yang dirasmikan oleh Presiden parti itu, Tan Sri Bernard Dompok.

Beliau berkata, Umno dan rakan-rakan parti komponen akan terus berkerjasama sebagai satu pasukan untuk melaksanakan agenda ke arah memperjuangkan nasib rakyat yang memerlukan pembelaan.

“Kita akan terus bekerjasama malah mempertingkatkan lagi demi memantapkan gabungan ini. Kita tiada masalah kerana kita sentiasa menjalinkan kerjasama sebelum ini,” katanya.



Ahad, 28 Oktober 2012

KONVENSYEN UPKO BEAUFORT LULUS LIMA USUL



MEMBERANGSANGKAN...para peserta yang menghadiri konvensyen itu.

KUALA PENYU: Konvensyen Upko Bahagian Beaufort sebulat suara meluluskan lima usul untuk dikemukakan kepada parti pusat dan seterusnya diiringi harapan agar mendapat pertimbangan pihak kerajaan.

Usul tersebut ialah menangani isu bekalan air, cadangan menempatkan universiti baru di Kuala Penyu, peluang pekerjaan dan perindustrian, kewajaran pembinaan jambatan Menumbok-Wilayah Persekutuan Labuan dan cadangan bangunan mahkamah anak negeri di Kuala Penyu.

Kelima-lima usul itu dipersetujui sebulat suara lebih 2,000 peserta yang mengambil bahagian dalam konvensyen sehari di Dewan Dato Shahbandar Makang, kelmarin.

Naib Ketua 1 Upko Bahagian Beaufort, Lokman Sunggim (gambar), berkata usul terbabit akan dikemukakan kepada parti pusat secepat mungkin.

Katanya, bagi Upko bahagian, usul tersebut sangat penting kerana ia mencerminkan hasrat dan aspirasi rakyat di kawasan Beaufort khususnya kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Penyu.

"Di peringkat bahagian kami memang banyak kali membincangkan perkara berkaitan dan persetujuan sebulat suara yang diberikan ahli Upko terhadap usul berkenaan pada konvensyen itu membuktikan mereka mahukan isu dan hal tersebut diberi perhatian oleh kerajaan," katanya ketika ditemui di sini.

Lokman berkata, bahagian itu juga gembira kerana konvensyen yang dirasmikan oleh Presiden Upko, Tan Sri Bernard Dompok mendapat sambutan memberangsangkan daripada ahli-ahli upko dengan kehadiran lebih 2,000.

Menurutnya, ini menunjukkan sokongan ahli-ahli Upko bahagian tidak pernah luntur dan mereka memahami usaha-usaha baik yang dilakukan secara berterusan pihak kerajaan.

Beliau juga menyifatkan kehadiran sebahagian besar anggota majlis tertinggi parti ke konvensyen tersebut menjadikan suntikan semangat kepada ahli-ahli Upko dan penyokong BN di Kuala Penyu untuk terus berjuang dalam BN.

"Ini akan membantu memudahkan bahagian untuk terus berkerja dan merancang yang terbaik bagi persediaan rapi untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13," tegasnya.

Jumaat, 19 Oktober 2012

BAJET RM4.088B BUKTI KOMITMEN BELA RAKYAT

 
BAGUS...Musa bersama timbalan-timbalannya Pairin, Yahya dan Yee ketika di Dewan Undangan Negeri.   

KOTA KINABALU- Kerajaan negeri memperuntukkan RM4.088 bilion bagi Belanjawan Negeri 2013, yang meningkat RM40 juta berbanding anggaran perbekalan bagi 2012. 

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman, yang juga Menteri Kewangan Negeri, berkata anggaran perbekalan 2013 merangkumi tiga komponen utama iaitu Anggaran Emolumen RM663.17 juta (pertambahan RM39.51 juta berbanding RM623.66 juta pada 2012), Perbelanjaan Berulang RM1.120 bilion (pertambahan RM32.92 juta berbanding RM1.O87 bilion) dan Perbelanjaan Khas RM2.337 bilion (pertambahan RM34 juta berbanding RM2.303 bilion).

"Belanjawan 2013 ini merupakan bukti komitmen kita untuk terus memberikan perkhidmatan dan pembelaan yang terbaik kepada rakyat dan negeri Sabah."

"Belanjawan negeri ini untuk semua lapisan rakyat dengan mengambil kira keperluan dan kesejahteraan rakyat di seluruh negeri untuk memacu pembangunan negeri ke tahap yang lebih tinggi," katanya kepada pemberita selepas membentangkan Belanjawan Negeri itu di Dewan Undangan Negeri di sini pada Jumaat.

Musa berkata hasil negeri juga meningkat dan dianggarkan berjumlah RM3.828 bilion tahun depan berbanding anggaran asal RM3.69 bilion tahun ini.

"Dengan mengambil kira bahawa hasil purata negeri Sabah bagi tempoh tiga tahun lalu (2009-2011) yang berjumlah dalam lingkungan RM3.8 bilion setahun, maka kerajaan negeri yakin bahawa sasaran kutipan hasil yang ditetapkan pada tahun depan adalah munasabah. - Bernama.

Ahad, 14 Oktober 2012

NAJIB: BN JANJIKAN PERKARA YANG MAMPU DILAKSANAKAN


MESRA...Najib berbual dengan penduduk Kg. Air di Kudat.

KUDAT- Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan bahawa kerajaan hari ini yang diterajui BN menjanjikan sesuatu perkara yang mampu dilaksanakan untuk faedah rakyat kerana jika tidak menepati janji, ia tergolong dalam kalangan munafik.

Menurut Najib, kegagalan menepati janji yang diberikan kepada rakyat bukan sahaja menyalahi perintah agama dan berdosa besar malah dianggap sebagai berbohong dan pihak yang suka menabur janji kosong berkenaan akan dihukum oleh rakyat.

"Jangan sekali-sekali kita menjadi orang munafik. Sebab itulah kita menggunakan ungkapan janji ditepati supaya sebagai sebuah kerajaan, bila kita bercakap, kita bercakap yang benar dan bukan kita bohong. Bila kita janji, kita jangan mungkir janji sebab peribahasa menyebut 'binatang dipegang pada ekornya manusia dipegang pada janjinya.

"Kalau kita menggalas amanah, jangan kita khianati amanah. Sebab itulah saya bagi jaminan (kepada) tuan-tuan, setiap ayat, setiap perkataan yang kita luahkan kepada rakyat, kita dasarkan kepada kemampuan kita. Kalau kita tak mampu, kita tidak akan sebut kerana kalau berjanji kita tidak tunaikan, dosa itu adalah amat besar.

"Tuhan akan laknat kita, rakyat akan hukum kita, mereka (rakyat) akan hukum pemimpin yang tidak melakukan apa yang dia janjikan ataupun dia menipu rakyat," katanya ketika berucap merasmikan program Jelajah Janji Ditepati di Kompleks Sukan Kudat, di sini.

Program yang turut dihadiri Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman itu dibanjiri kira-kira 50,000 rakyat yang datang dari pelbagai kawasan berhampiran Kudat seperti Pitas, Matunggong, Kota Belud, Tandek dan Pulau Banggi.

Najib juga berkata, sambutan rakyat di Sabah dalam beberapa siri lawatannya ke negeri ini seperti di Sandakan, Sipitang, Kota Belud, Penampang dan Kudat yang mendapat sambutan cukup menggalakkan, menggambarkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan BN.

Katanya, kehadiran beramai-ramai rakyat juga menggambarkan keyakinan bahawa rakyat hanya boleh menyandarkan harapan masa depan mereka kepada kerajaan BN dan bukan kepada orang lain, sekaligus melambangkan sokongan padu rakyat kepada kerajaan sekarang.

Najib juga memberi jaminan bahawa semua yang dijanjikan kerajaan BN akan ditunaikan tanpa mengambil kira bila pilihan raya umum akan diadakan.

Perdana Menteri juga menyifatkan Sabah sebagai cerminan masa depan rakyat 1Malaysia kerana di samping kepelbagaian kaum dan kepercayaan, rakyat negeri ini masih mampu bersatu padu dan hidup dalam suasana harmoni sejak kemerdekaan Sabah 49 tahun lalu menerusi pembentukan Persekutuan Malaysia.             

Mengenai pemilihan Kudat sebagai lokasi program Jelajah Janji Depati, Najib berkata ia bukan semata-mata disebabkan sentimen nostalgia Kudat sebagai bekas ibu negeri Sabah serta tempat kelahiran pemimpin agung Tun Datu Mustapha Datu Harun tetapi ia melambangkan iltizam kerajaan BN untuk terus membawa pembangunan kepada daerah itu.

Najib berkata sebagai seorang pemimpin, beliau perlu memahami keluh-kesah rakyat serta memahami denyut nadi mereka dan mesti mampu dan sanggup memenuhi aspirasi atau kehendak rakyat.

"Salah satu aspirasi rakyat, khususnya di Kudat ialah supaya bertitik tolak daripada pelancaran Jelajah Janji Ditepati ini, Kudat akan melalui zaman pemulihannya, Kudat dapat kembali kepada suatu ketika ianya merupakan ibu negeri Sabah dan kalau kita tidak boleh kembalikan ibu negeri Sabah kepada Kudat, sekurang-kurangnya kita dapat terus membangunkan Kudat ini seperti mana kehendak masyarakat di sini," katanya.

Selepas pelancaran Jelajah Janji Ditepati, Najib melawat kediaman bekas Yang di-Pertua Negeri, Allahyarham Tun Datu Mustapha Datu Harun. Sebelum itu, Najib turut mengadakan tinjauan rakyat di sekitar Kampung Air dekat Kudat sejurus tiba dari Kundasang. - Bernama

JANGAN TERPEDAYA HASUTAN PEMBANGKANG, KATA PM


Najib bersama Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman.

PENAMPANG : Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan Persekutuan tidak pernah merampas hak rakyat Sabah, tetapi sebaliknya telah memberi banyak kemudahan kepada negeri itu.

Oleh itu, beliau meminta rakyat Sabah supaya tidak terpengaruh dengan hasutan pembangkang kononnya kerajaan Persekutuan merampas hak rakyat negeri itu.

Beliau berkata kerajaan Persekutuan komited untuk membela nasib rakyat di negeri Sabah termasuk memelihara keharmonian dan kepelbagaian budaya.

Perdana Menteri juga mengingatkan rakyat supaya jangan mudah termakan janji manis pembangkang yang ternyata gagal mentadbir negeri-negeri yang dimenanginya pada pilihan raya umum 2008.

Najib berkata demikian ketika berucap pada majlis pecah tanah Bangunan Institut Latihan Mahkamah Anak Negeri dan perasmian jambatan Inobong di Padang Pagansakan, Inobong, dekat sini pada Sabtu.

Beliau berkata senjata utama pembangkang hanya berpaksi kepada tiga perkara iaitu 'kutuk, hasut dan janji'.

"Contohnya mereka kutuk saya dan isteri, dalam lawatan ke Sabah baru-baru ini, menari Sumazau. Pembangkang kutuk padahal kita menghormati kebudayaan (masyarakat Kadazandusun).

"Mungkin saya tidak sepakar dengan Tan Sri Pairin (Tan Sri Joseph Pairin Kitingan) and Tan Sri Dompok (Tan Sri Bernard Dompok) menari Sumazau....yang penting hati saya ini menghormati kebudayaan (suku kaum) Sabah," katanya.

Najib juga menolak tanggapan pembangkang bahawa lawatannya yang kerap ke Sabah iaitu sebanyak lima kali tahun ini mempunyai kaitan dengan kerisauan keadaan politik di negeri ini.

Katanya kunjungannya ke Sabah adalah untuk menepati janji dan memperkukuhkan komitmen bagi membela nasib rakyat dan negeri itu.

"Seorang pemimpin tahu merasai denyutan dan nadi rakyat dan kita mesti tahu apa aspriasi rakyat. Kita tidak boleh jadi pemimpin besar kalau hanya petah bercakap seperti orang jual ubat di tepi jalan," katanya.

"Ini sebab bila kita umum BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia) rakyat yakin kita akan bayar tahun depan. Kita boleh buat pilihan raya bila-bila masa sahaja kerana rakyat dah yakin janji kita tunai...kadang-kadang lambat sedikit tetapi lambat laun kita akan laksanakannya," jelasnya.

Beliau turut menyarankan agar satu kajian komprehensif dibuat bagi menentukan masa depan sistem kehakiman anak negeri Sabah.

"Kita mahu sistem ini dibangunkan dan diolah dengan baik supaya sistem mahkamah anak negeri ini tidak dilihat sebagai 'ala kampung' sebaliknya kita mahu tingkatkan asas keilmuan dan kedudukan.

"Jadi saya minta yang pakar dalam bidang ini memberi pandangan dan cadangan agar sistem anak negeri terus relevan pada masa akan datang," katanya.

Pada majlis itu, Najib turut mengumumkan kelulusan projek pembinaan Sekolah Menengah Kivoupo, pembinaan Dewan Serbaguna Kampung Pagansakan dan penubuhan Pusat Permata di Penampang. (Bernama)