Rabu, 26 Disember 2012

BAS BANDAR DI TERENGGANU TONJOL CIRI-CIRI TRADISIONAL


Bas bandar yang mempunyai reka bentuk tradisional (gambar) menjadi satu keunikan di bandar Kuala Terengganu, Terengganu walaupun di sebahagian besar bandar di negeri-negeri lain lebih tertarik menggunakan pendekatan yang lebih canggih dan moden.

Walaupun kelihatan agak kurang moden namun penumpang di bandar berkenaan tetap bangga dengan kemudahan pengangkutan awam itu malah ia menjadi pengangkutan utama di negeri tersebut.

Bagi para pelancong, bas tradisional itu sangat menarik perhatian mereka dan menganggapnya sebagai sesuatu yang unik dan istimewa kerana ciri-ciri tradisional yang sukar didapati di tempat lain.

Keberanian syarikat yang mengusahakan perkhidmatan bas bandar seumpama ini dengan sokongan pihak kerajaan boleh menjadi contoh bahawa kecanggihan perkhidmatan tidak semestinya menjadi keutamaan penumpang sebaliknya daya kreativiti juga mampu memikat orang ramai.

Saya pernah mencuba menaiki bas ini untuk merasakan sendiri keadaan di dalamnya dan ia tetap menyeronokkan walaupun hanya menggunakan tempat duduk yang diperbuat daripada kayu.

Pelbagai bentuk ukiran yang terdapat di dalam bas menjadikannya lebih menarik seolah-olah kita berada di dalam sebuah rumah tradisional yang sedang bergerak.


Ahad, 16 Disember 2012

SABAH TEMPAT KETIGA KEJOHANAN ANTARA JUARA-JUARA KEBANGSAAN 2012


Gambar atas: Para pemain SK Likas yang mewakili Sabah bersama jurulatih dan ibu bapa melaungkan Sabah Boleh selepas menewaskan Mykids Perlis pada perlawanan penentuan tempat ketiga. Bawah: Pasukan itu bergambar dengan trofi, medal dan hadiah wang tunai RM5,000 yang dimenangi.

KUALA TERENGGANU: Pasukan Sabah memenangi tempat ketiga Kejohanan Antara Juara-Juara 2012 setelah menumpaskan pasukan Mykids Perlis 4-3 melalui sepakan penalti pada perlawanan penentuan di padang Kompleks Sukan Negeri Gong Badak di sini, pagi ini.

Penentuan melalui sepakan penalti terpaksa dilakukan selepas kedua-dua pasukan terikat dengan keputusan seri 1-1 pada perlawanan sepenuh masa.

Perlis yang baru sahaja dinobatkan sebagai juara Kejohanan Mykids Soccer Kebangsaan 2012 di Kangar baru-baru ini seolah-olah tidak mahu memberi laluan mudah kepada Sabah selepas kedua-dua pasukan juga seri 1-1 pada perlawanan perlawanan peringkat kumpulan.

Bagaimanapun kehebatan Perlis tidak menghalang Sabah untuk membuktikan kemampuan mereka walaupun pasukan lawan itu berjaya mendapatkan gol pendahulu pada minit-minit akhir separuh masa kedua.

Ketinggalan dengan jaringan tunggal itu, Sabah sebaliknya mengatur strategi lebih berkesan pada babak separuh masa kedua dan ia terbukti membawa hasil apabila penyerang Nasip Md Zain yang dikawal ketat sepanjang permainan akhirnya menjaringkan gol penyamaan menerusi tendangan bebas, yang menghidupkan semula peluang mereka.

Penjaga gol Sabah, Azeem Hakimi juga bertindak cemerlang mengawal gawang ketika sepakan penalti dan kemudian membantu menjaringkan gol kemenangan yang diambilnya melalui sepakan terakhir. Gol tersebut sekali gus memusnahkan impian pasukan juara kejohanan mykids soccer kebangsaan itu.

Ketika diminta mengulas kejayaan pasukan Sabah itu, jurulatih Norsi Haji Sabtari, berkata pihaknya yakin pemain-pemain mampu memenangi perlawanan itu  berdasarkan pengalaman dua kali menghadapi Perlis sebelum ini.

"Kita telah merangka strategi dan kita mempunyai keyakinan bahawa kemenangan boleh memihak kita," katanya.

Beliau berkata, benteng pertahanan pasukannya turut memperlihatkan kekebalan untuk mengekang lawan dan ini menyukarkan lawan melancarkan serangan berbahaya.

"Kami juga memberi tumpuan terhadap sepakan penalti kerana ini kerap terjadi dalam permainan bolasepak. Apabila perlawanan diheret kepada sepakan penalti, sudah tentulah kita telah bersedia dan hasilnya kita berjaya," ujarnya.

Dengan kejayaan itu, Sabah yang diwakili SK Likas berjaya membawa pulang sebuah trofi, medal dan hadiah wang tunai RM5,000.
Lebih bermakna lagi kemenangan itu turut meletakkan pasukan sekolah berkenaan sebagai  ketiga terbaik pasukan bawah 12 tahun di negara ini.