Khamis, 30 Ogos 2012

MASALAH AIR DI KUALA PENYU DIJANGKA BERAKHIR

Paip-paip yang bakal digunakan oleh kontraktor bagi penggantian paip-paip lama yang didapati di beberapa tempat di sepanjang jalan raya ke Menumbok.
 
Masalah air di Kuala Penyu dan Menumbok yang menjadi rungutan penduduk selama ini dijangka akan berakhir berikutan langkah kerajaan meluluskan peruntukan sejumlah RM49 juta bagi menangani masalah tersebut.

Sejajar dengan usaha serius kerajaan itu, kontraktor sudah pun dilantik bagi melaksanakan projek berkenaan.

Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Kuala Penyu, John Teo mengesahkan perkara itu dalam satu pertemuan dengan beliau di sini, baru-baru ini.

Beliau bagaimanapun tidak menamakan syarikat yang telah ditawarkan kerajaan bagi mengendalikan projek tersebut.

Katanya, sebagai wakil rakyat kawasan berkenaan, beliau gembira dengan perkembangan itu kerana masalah air yang dihadapi penduduk di Kuala Penyu dan Menumbok sudah menjadi isu berpanjangan.

Upacara pecah tanah bagi projek itu akan dilakukan di Kuala Penyu, katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, kontraktor berkenaan difahamkan sudah pun menghantar paip-paip besar yang akan digunakan bagi kerja-kerja penggantian paip lama di beberapa tempat di sepanjang jalan raya ke Menumbok.

Ini merupakan petanda awal bahawa pelaksanaan kerja-kerja menangani masalah air itu dijangka bermula tidak lama lagi.

Sekiranya ia menjadi kenyataan, masalah air ini tidak lagi menjadi isu panas bagi kerusi DUN Kuala Penyu dan Parlimen Beaufort pada pilihan raya umum ke-13 nanti.

Jumaat, 17 Ogos 2012

UPKO BEAUFORT ADAKAN ROADSHOW PERJELASKAN PELBAGAI ISU


AHLI BARU...Wences menerima borang keahlian baru daripada Mohd Affandy sambil diperhatikan ADUN Kuala Penyu, John Teo, naib-naib ketua bahagian, Lokman Sunggim (kameja putih) dan Monih Epin serta ahli-ahli jawatankuasa bahagian.

KUALA PENYU: Upko Bahagian Beaufort akan mengadakan roadshow bagi menjelaskan beberapa isu terutama berkaitan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) mengenai pendatang tanpa izin di Sabah dan pendirian Upko untuk kekal dalam Barisan Nasional (BN) ke setiap daerah mengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Penyu, kata ketua bahagian, Datuk Seri Panglima Wences Angang.

Beliau berkata, roadshow itu yang dijangka bermula bulan depan penting bagi memberi maklumat tepat kepada ahli dan penyokong parti itu.

Katanya, penerangan yang lebih jelas wajar dilakukan bagi mengelak seberang kekeliruan ekoran tindakan bekas timbalan presiden, Datuk Seri Panglima Wilfred Bumburing bersama empat Ahli Majlis Tertinggi meninggalkan parti itu baru-baru ini.

"Dengan usaha ini diharapkan ahli-ahli parti di setiap daerah mengundi akan mendapat gambaran keadaan yang sebenar dalam parti," katanya ketika mempengerusikan mesyuarat ahli jawatankuasa bahagian di sini.

Wences yang juga naib presiden Upko mengingatkan kepimpinan bahagian supaya sentiasa bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13.

"Kita hendaklah sentiasa dalam keadaan siap siagah bagi menghadapi kemungkinan pilihan raya yang boleh diadakan bila-bila masa sahaja," katanya.

Mengenai spekulasi yang mengaitkan beliau dengan kumpulan Bumburing yang dilaporkan dalam blog, beliau berkata, ia mungkin timbul disebabkan beliau mempunyai hubungan yang rapat dengan bekas timbalan presiden Upko itu sebelum ini.

Terdahulu, Wences menerima kemasukan 82 ahli baru dari cawangan Kg. Illanun yang diketuai ketua cawangan penaja, Mohd Affandy Khoo Abdullah.

Khamis, 16 Ogos 2012

KEKALKAN MOMENTUM SOKONGAN KEPADA BN, KATA ISNIN


Isnin (kiri) bersama Lokman dan Ag. Aslee pada majlis ziarah ramadan dan berbuka puasa di perkarangan Masjid Nur Ehsan Kg. Tempurung.

KUALA PENYU--Rakyat di kawasan ini diminta mengekalkan sokongan padu mereka terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) yang terbukti mampu menyediakan pembangunan yang diperlukan rakyat serta mampu membela nasib mereka.

Pemangku Ketua Umno Bahagian Beaufort, Isnin Aliasneh, berkata rakyat wajar meneruskan momentum sokongan yang tidak berbelah bagi kepada kerajaan sebagaimana yang dilakukan sebelum ini.
                                
Katanya, kerajaan BN dibawah teraju kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sentiasa berusaha melakukan yang terbaik untuk rakyat.

"Oleh kerana itu, kita harus memberi sokongan padu kepada kerajaan bagi meneruskan agenda untuk membela nasib rakyat," katanya pada majlis ziarah ramadan dan berbuka puasa Umno Bahagian Beaufort di perkarangan Masjid Nur Ehsan Kg. Tempurung di sini.

Turut hadir ialah Setiausaha Umno Bahagian Beaufort, Jali Nordin, Naib Ketua Upko Bahagian Beaufort, Lokman Sunggim, ahli-ahli jawatankuasa Umno Bahagian Beaufort, Ag Aslee Lakat, Mohd Fadzlee Abdullah, Awang Damit Jion serta wakil pergerakan wanita, pegerakan pemuda dan puteri bahagian berkenaan.

Isnin yang juga Setiausaha Politik Kementerian Pembangunan Infrastruktur, berkata Umno bahagian akan meneruskan perjuangannya walaupun beberapa pemimpinnya baru-baru ini telah meninggalkan parti itu.

"Tidak apa, itu hak mereka untuk meninggalkan kita namun kami yang ada, bersama-sama dengan sayap parti pergerakan pemuda, wanita dan puteri akan meneruskan tanggungjawab kepada rakyat," tegasnya.

Isnin berkata, program ziarah ramadan ke masjid-masjid dan surau di kawasan Parlimen Beaufort mampu mengeratkan perpaduan dan siratulrahim di kalangan umat Islam dan rakyat.

Menurut beliau, penyertaan pemimpin parti-parti komponen BN seperti Upko dan PBS dalam program tersebut juga memperlihatkan kesepakatan yang dapat mengukuhkan kedudukan gabungan itu di kawasan parlimen berkenaan.

Pada majlis itu, Isnin turut mengumumkan peruntukan RM15,000 bagi kerja-kerja meluaskan masjid di kampung itu di samping menyampaikan sumbangan untuk warga emas serta sumbangan air zam-zam, kurma dan jubah daripada Perdana Menteri.

Jumaat, 10 Ogos 2012

UPKO BEAUFORT TERUS BEKERJASAMA DENGAN RAKAN KOMPONEN BN


Lokman (kanan) bersama Pemangku Ketua Umno Bahagian Beaufort, Isnin Aliasneh yang kelihatan membetulkan songkoknya.

KUALA PENYU: Upko Bahagian Beaufort akan bekerjasama rapat dengan rakan parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) terutama Umno dan Parti Bersatu Sabah (PBS) bagi memastikan gabungan itu di bahagian Beaufort sentiasa mantap dalam menghadapi Pilihan raya umum akan datang.

Naib Ketua Bahagian 1 parti itu, Lokman Sunggim, berkata kerjasama erat yang sedia wujud akan terus diperkukuhkan demi kesinambungan perjuangan BN di bahagian ini.

“Kita mahu melihat BN Bahagian Beaufort bukan sahaja sentiasa kukuh malah sedia menghadapi pelbagai cabaran di hadapan,” katanya ketika ditemui selepas majlis berbuka puasa Umno Bahagian Beaufort di 
Masjid Kg. Siaun di sini pada Khamis. 

Turut hadir pada majlis itu ialah Pemangku Ketua Umno bahagian, Isnin Aliasnih, Ketua Pergerakan Wanita Umno bahagian, Datuk Hajjah Azizah DSP Mohd Dun, Ketua Pergerakan Pemuda bahagian, Ishak Haji Ibrahim dan Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Kuala Penyu, John Teo Mau Sing.

Lokman yang juga Ahli Jawatankuasa Barisan Nasional Bahagian Beaufort, berkata para pemimpin dalam gabungan itu memainkan peranan penting dalam memberi penjelasan sekiranya wujud seberang kekeliruan di kalangan rakyat berhubung senario politik di bahagian ini.

“Kita akan sama-sama galas tanggungjawab ini dengan memberi maklumat tepat mengenai BN dan kerajaan agar rakyat khususnya di bahagian ini sentiasa mendapat gambaran situasi yang sebenar,” katanya.

Beliau berharap kerjasama serta kesepakatan dalam kalangan pemimpin parti-parti komponen di bahagian ini akan membantu memudahkan penyaluran maklumat yang lebih tepat dan menepis sebarang kekeliruan.

“Bagi kita, pemimpin datang dan pergi serta silih berganti mengikut keadaan namun perjuangan BN perlu diteruskan kerana inilah yang sentiasa diharapkan oleh rakyat yang telah memberi sokongan dan mandat kepada pemimpin dari dahulu hingga sekarang,” tegasnya.

Beliau juga mengucapkan tahniah kepada Isnin Aliasneh atas pelantikan sebagai Pemangku Ketua Umno Bahagian Beaufort dan rakan-rakannya dalam bahagian yang komited meneruskan perjuangan kepimpinan dalam bahagian berkenaan.

Rabu, 8 Ogos 2012

MOJIGOH TAK SERTAI BUMBURING

Anggota Parlimen Putatan, Datuk Dr Marcus M. Mojigoh (gambar) menyangkal dakwaan bahawa beliau akan mengikut jejak bekas Timbalan Presiden Upko, Datuk Seri Wilfred Bumburing yang menyertai Pakatan Rakyat.

"Saya masih setia kepada parti dan Barisan Nasional (BN)," katanya.

Mojigoh yang juga Bendahari Agung Upko berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan kepada wakil 11 masjid dan surau di kawasan Parlimennya di Pejabat Perhubungan Parlimen berkenaan di Putatan, di sini.

"Saya berasa sedih. Beliau (Bumburing) kawan baik saya jadi saya menghormati keputusannya dan mengucapkan yang terbaik kepada mereka," kata beliau.

Anggota Parlimen Putatan itu berkata, ia adalah hak bagi seorang lagi rakannya, Anggota Parlimen Beaufort, Datuk Seri Lajim Ukin untuk mengambil keputusan yang sama.

Baru-baru ini, Bumburing dan Lajim telah mengumumkan secara rasmi penyertaan mereka kepada Pakatan Rakyat berikutan kehadiran ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Tuaran dan Beaufort.

"Kita tidak boleh anggap mereka sebagai pengkhianat kerana ini negara demokrasi," ujarnya.

Beliau juga memberitahu, sepanjang pengetahuannya, beliau tidak melobi untuk menjadi calon bagi pilihan raya umum akan datang.

Selasa, 7 Ogos 2012

DOMPOK YAKIN TIADA LAGI WAKIL RAKYAT UPKO TINGGALKAN BN


Dompok bersama bekas timbalannya, Datuk Seri Wilfred Bumburing (kanan) dalam satu majlis sambutan Pesta Kaamatan parti itu sebelum Bumburing keluar BN.

Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) Tan Sri Bernard Dompok yakin tiada lagi wakil rakyatnya akan bertindak keluar parti dan menyokong pembangkang.

Sehubungan itu beliau menggesa pihak yang berkenaan agar berhenti daripada menyebarkan desas-desus berkaitan perkara tersebut, susulan tindakan timbalan presiden parti Datuk Wilfred Bumburing yang juga Anggota Parlimen Tuaran meninggalkan Upko.

"Upko menentang tindakan itu (ahli politik lompat parti). Khabar angin ini telah lama tersebar dalam parti. PM (Perdana Menteri) tahu mengenai perkara ini kerana saya telah maklumkan kepada beliau.

"Sekarang perkara itu telah berlaku dan saya yakin tidak ada lagi MP (anggota parlimen) dan ADUN yang akan keluar parti," katanya kepada pemberita hari ini.

Terdahulu, Dompok yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi melancarkan sambutan Hari Kebangsaan kementeriannya, Jabatan Audit Negara dan Jabatan Imigresen, di Putrajaya.

Semalam, sebuah akhbar tabloid melaporkan 13 lagi ahli politik Sabah termasuk ADUN, MP dan senator akan keluar parti masing-masing dan menyokong pembangkang.

Bulan lepas, Anggota Parlimen Beaufort yang juga Ketua Umno bahagian itu Datuk Seri Lajim Ukim dan Bumburing secara terbuka menyatakan sokongan kepada pembangkang menerusi penubuhan parti baharu Pakatan Perubahan Sabah.

Khamis lepas, Dompok menepis khabar angin UPKO akan keluar daripada BN dengan menyatakan: "Kami fikir BN yang mampu berikan apa yang kami mahu."

Mengenai Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) pendatang asing di Sabah, Dompok berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengumumkan perincian termasuk terma rujukan serta senarai anggota panel pada Sabtu ini.

"Kami sudah lama meminta penubuhan RCI ini. Kami hargai keikhlasan Najib menubuhkan RCI bagi menyelesaikan isu yang sudah berlarutan sejak dahulu lagi.

"Saya telah berkhidmat di bawah tiga perdana menteri, tetapi hanya Najib bersetuju untuk menubuhkan RCI. Saya hormati beliau atas tindakannya itu," katanya.- Bernama

Ahad, 5 Ogos 2012

PEMIMPIN KELUAR BN ADA AGENDA SENDIRI: KM


MUSA...tidak jejaskan BN.

KINABATANGAN, (Sabah):  Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman menyifatkan tindakan pemimpin yang keluar dari parti dalam komponen Barisan Nasional (BN) di negeri ini sebagai mempunyai agenda sendiri.

"Mungkin mereka ada agenda sendiri dan ia adalah hak masing-masing. Kalau ada yang tidak sudi bersama kita dalam BN, kita biarkan saja si luncai terjun dengan labunya," katanya ketika berucap pada majlis berbuka puasa bersama Umno Zon 5 di sini pada Ahad.

Umno Zon 5 membabitkan Umno Bahagian Kinabatangan, Beluran, Libaran, Batu Sapi dan Sandakan.

Musa, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah, berkata beliau akur dengan permintaan pemimpin terbabit untuk tidak lagi bersama dalam BN.

Katanya tindakan pemimpin terbabit tidak menjejaskan BN Sabah terutama dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Ini kerana, beliau yakin BN Sabah berada pada landasan yang betul dalam perjuangannya terutama untuk membela rakyat dan membawa pembangunan di negeri ini.

Katanya ini dilakukan oleh kerajaan melalui pelaksanaan beberapa program untuk meringankan beban rakyat, antaranya Bantuan Rakyat 1Malaysia yang memberi banyak manfaat kepada penerima.

Musa berkata kerajaan ikhlas dalam perjuangan membela rakyat terutama dalam mengotakan janji yang diberi kepada rakyat.

Baru-baru ini, Anggota Parlimen Beaufort Datuk Lajim Ukin melepaskan semua jawatannya dalam Umno serta BN dan Anggota Parlimen Tuaran Datuk Wilfred Bumburing juga berbuat demikian dengan melepaskan jawatannya dalam parti Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko).-- BERNAMA

Rabu, 1 Ogos 2012

PENDIRIAN DOMPOK KEKAL DENGAN BN

Presiden Upko, Tan Sri Bernard Dompok (gambar) berkata, pendirian beliau akan kekal dengan Barisan Nasional (BN) kerana percaya hanya BN sahaja yang dapat membuat perubahan.


Katanya, hanya BN mempunyai kekuatan dan mekanisme yang dapat membantu rakyat Sabah.


"Tindakan keluar dari BN tidak akan dapat menyelesaikan masalah yang sedang dihadapi rakyat," katanya sebagai mengulas tindakan timbalannya, Datuk Wilfred Bumburing yang juga Anggota Parlimen Tuaran keluar dari Upko pada Ahad lepas.


Dompok yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi menyatakan perkara itu selepas merasmikan Kursus asas teknologi tanaman dan penyerahan insentif tanaman baru koko dan lada di Serian, Sarawak, kelmarin.


Beliau berkata perjuangan Upko untuk membanteras pendatang asing di Sabah selama ini tidak boleh dilakukan di luar BN.


Katanya, Upko perlu bersabar dalam menangani masalah tersebut dan tindakan Bumburing meninggalkan parti mungkin kerana beliau sudah tidak sabar untuk melihat masalah itu diselesaikan dengan segera.


"Namun, saya tidak nampak yang beliau akan dapat berbuat demikian dari luar BN," katanya.


Ditanya apakah benar ada lagi beberapa ahli Upko akan meninggalkan parti itu, beliau berkata, "Saya tak tahu...ada banyak spekulasi. Tapi inikan negara bebas. Anda boleh sertai mana-mana parti yang anda suka dan orang lain juga akan menyertai kami (Upko)".


Dompok berkata beliau kesal dengan peletakan jawatan pemimpin parti baru-baru ini dan berharap kerajaan persekutuan akan menangani isu tertentu berkaitan Sabah secara telus.