Sabtu, 19 Januari 2013

TAK PAYAH LOBI UNTUK JADI CALON, NASIHAT TENGKU ADNAN


Pemimpin-pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) diingatkan agar tidak melobi untuk dipilih sebagai calon pilihan raya umum ke-13.

Setiausaha Agung Umno dan Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Tengku Adnan Mansor (gambar) berkata semua bakal calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen adalah calon yang dikehendaki rakyat dan mereka telah melalui proses saringan teliti.

"Saya menasihati supaya mereka yang beraspirasi mahu menjadi calon, tak perlu untuk berlegar atau berjumpa presiden dan timbalan presiden mana-mana komponen parti dalam BN atau saya.    

"Jangan tunjuk gelagat-gelagat yang kurang baik ini kerana kami ada kaedah tersendiri dan kami mahukan calon yang rakyat nak," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Bantuan Khas Awal Persekolahan RM100 Tahun 2013 bagi sekolah-sekolah di Parlimen Putrajaya di Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 9 (2), di sini.

Tengku Adnan yang juga anggota Parlimen Putrajaya berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai pemimpin yang melobi pada saat-saat akhir untuk menjadi calon pilihan raya umum akan datang.

Beliau berkata pemimpin yang melobi untuk menjadi calon hanya akan menunjukkan mereka tidak berniat untuk menjadi wakil rakyat sebaliknya demi 'perkara-perkara lain'.    

Apa yang penting ialah mereka yang ingin menjadi calon mesti sedar bahawa mereka adalah 'hamba rakyat', katanya.

Sementara itu, Tengku Adnan berkata semua calon BN yang bakal bertanding pada pilihan raya umum ke-13 selesai melalui proses saringan termasuk oleh polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Insolvensi.

Khamis lepas, Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pembahagian kerusi antara parti komponen BN sudah hampir selesai dan sebahagian besar penentuan calon yang bertanding pada pilihan raya umum akan datang juga telah diputuskan.- Bernama.

Rabu, 16 Januari 2013

ROMBONGAN MAYANG BEAUFORT ZIARAH KELUARGA ADIK MARCELLINDA DI K. PENYU


ZIARAH...Isnin bersama Datuk Kimjus, Lokman dan Lorince berbual dengan adik Marcellinda dan ayahnya ketika menziarahi keluarga tersebut.

Rombongan Majlis Kebajikan dan Pembangunan Masyarakat (MAYANG) Parlimen Beaufort baru-baru ini menziarahi adik Marcellinda Michael, 6, di Kampung Kiambor Kuala Penyu dekat sini.
                  
Adik Mercellinda mengalami masalah penglihatan sejak berusia dua tahun dan sukar mendapatkan rawatan lanjut ekoran masalah kewangan yang dihadapi keluarganya.

Rombongan itu yang diketuai Pengerusi MAYANG Parlimen Beaufort, Isnin Aliasnih menyerahkan sumbangan wang tunai kepada ayah kanak-kanak itu, Michael Maradin bagi membantu meringankan beban mereka sekeluarga.

Turut bersama ialah timbalannya, Lokman Sunggim yang juga Naib Ketua Bahagian 1 Upko Beaufort, Naib Ketua Umno Bahagian Beaufort, Datuk Kimjus Duim, pegawai kebajikan masyarakat Kuala Penyu serta beberapa ahli jawatankuasa Umno bahagian yang lain.

Keadaan tempat tinggal keluarga itu juga agak menyedihkan dan memerlukan pembelaan sewajarnya. Mereka tinggal di gubuk usang bersama seorang lagi anak lelaki, Fedelis, 13, dan belajar di Tingkatan 3 di Sekolah Menengah pekan Kuala Penyu.

Micheal yang hanya bekerja sebagai penoreh getah terpaksa mengasuh kedua-dua anaknya dengan mengambil peranan sebagai ayah dan ibu sekali gus.

Selain menyerahkan sumbangan MAYANG, Isnin yang juga Pemangku Ketua Umno Bahagian Beaufort menyarankan Michael supaya menghantar anaknya Fedelis ke asrama sekolah tempat dia belajar.

Ini bagi membolehkan pelajar itu dapat memberi tumpuan terhadap pelajaran, lebih-lebih lagi dia akan bakal menduduki Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) tahun ini. 

MAYANG PARLIMEN BEAUFORT BANTU TANGANI ISU KEBAJIKAN RAKYAT


MANDAT...Isnin bersama anggota jawatankuasa baru MAYANG Parlimen Beaufort yang hadir pada mesyuarat pertama itu.

Pengerusi Majlis Kebajikan dan Pembangunan Masyarakat (MAYANG) P.177 Beaufort yang baru, Isnin Aliasnih berkata, badan itu akan berusaha untuk mengenal pasti golongan yang memerlukan bantuan di kawasan Parlimen berkenaan bagi membolehkan mereka dapat diberi bantuan yang sewajarnya.

Katanya, MAYANG adalah sebuah badan yang menjadi saluran kerajaan untuk menghulurkan bantuan khususnya golongan daif dan miskin di luar bandar.

“Mereka yang dikenal pasti kurang berkemampuan dan susah, kita akan bantu mereka bagi meringankan beban terutama membabitkan soal kebajikan mereka,” katanya ketika mempengerusikan mesyuarat pertama MAYANG bagi Parlimen Beaufort di Pejabat Umno bahagian di sini.

Isnin yang juga Pengerusi Penyelaras BN Bahagian Beaufort dan Pemangku Ketua Umno bahagian berkenaan menerima pelantikan menerajui majlis itu yang sebelum ini dipegang oleh Anggota Parlimen kawasan Beaufort, Datuk Seri Lajim Ukin.

Pemangku Ketua Umno bahagian itu berkata, berikutan pelantikannya sebagai pengerusi baru badan itu, beliau juga melibatkan wakil parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) untuk menganggotai dalam jawatankuasa MAYANG yang baru.

Jawatankuasa itu dijangka dianggotai kira-kira 15 orang atau lebih bergantung dengan keperluan, katanya.

Serentak dengan itu, Isnin juga melantik Naib Ketua Bahagian 1 Upko Beaufort, Lokman Sunggim sebagai timbalannya pada mesyuarat pertama itu.

Menurut beliau, MAYANG tidak semestinya dianggotai oleh wanita sebagaimana yang menjadi gambaran sebelum ini.

Bagaimanapun, saya akan memberi peluang kepada wanita untuk menganggotai jawatakuasa ini terutama dari Pergerakan Wanita Umno Bahagian dan Puteri, tambahnya.

Beliau juga berharap kepada setiap ahli jawatankuasa MAYANG Parlimen Beaufort  perlu aktif melaksanakan pelbagai program kemasyarakatan bagi memperkasa agenda membela nasib rakyat di kawasan Parlimen itu.

Program yang direncanakan bukan sahaja menjurus kepada soal kebajikan masyarakat setempat namun ia turut memberikan perhatian terhadap pelbagai bentuk cabaran sosial yang melanda kehidupan masyarakat terutama sekali bagi menyangkal sesuatu dakyah yang boleh memecahbelahkan masyarakat.

Di samping itu, katanya, MAYANG juga akan berusaha melaksanakan program kebajikan, program keilmuan, agama dan sosial sebagai langkah memenuhi tuntutan ke arah kehidupan masyarakat yang harmoni dan bersatu padu.