Khamis, 18 April 2013

BN MAMPU PERTAHANKAN KERUSI DUN KUALA PENYU


Lokman (dua dari kanan) bersama Limus (tengah) dan penyokong-penyokong BN.

KUALA PENYU: Naib Ketua Bahagian 1 Upko Beaufort, Lokman Sunggim yakin Barisan Nasional (BN) akan dapat mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Kuala Penyu pada pilihan raya umum negeri ke-13 ini.

Katanya, ini berdasarkan semangat tinggi di kalangan parti-parti komponen BN untuk memenangkan calon muka baru, Limus Jury.

"Kita dapati kerjasama dan semangat yang ditunjukkan para penyokong parti komponen BN sangat tinggi malah situasinya mengatasi apa yang berlaku sebelum ini. Sudah tentu ini satu petanda baik bagi BN untuk memenangi semula kerusi ini dengan majoriti yang lebih baik," katanya ketika diminta pandangannya mengenai peluang BN di kerusi kawasan berkenaan.

Lokman yang juga anggota jawatankuasa BN Bahagian Beaufort, berkata pemimpin dan penyokong parti-parti komponen seperti Umno dan Parti Bersatu Sabah (PBS) selain dalam Upko sendiri mempunyai hubungan yang sangat baik dan ini membolehkan BN tidak menghadapi masalah untuk mempertahankan kerusi DUN Kuala Penyu.

Katanya, kebijaksanaan pucuk pimpinan BN untuk menampilkan calon muka baru menyegarkan semula suasana politik di kawasan ini yang sememangnya sangat diharap-harapkan oleh rakyat.

"Secara peribadi saya yakin pencalonan Limus Jury berupaya mengubah lanskap politik di kawasan Kuala Penyu. Keadaan ini akan menambah semangat para pengundi untuk memenangkan BN," tegasnya.

Beliau menambah calon BN itu bukan sahaja seorang yang  positif tetapi beliau seorang yang berpandangan jauh dan kawasan Kuala Penyu amat memerlukan wakil rakyat yang mempunyai elemen seperti itu supaya potensi daerah ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya.

Justeru, katanya, pengundi Kuala Penyu perlu memberi sokongan padu kepada calon BN itu supaya kawasan ini terus dapat dimajukan seiring kawasan-kawasan lain di Sabah.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan