Jumaat, 30 Ogos 2013

PEMIMPIN MENONGKAH ARUS: PERCATURAN ATAU SATU "PERMAINAN"?

Berani menongkah arus bermakna bersedia berhadapan dengan risiko. Dalam politik, istilah demokrasi sangat luas. Ada kalanya menyokong di peringkat awal tidak semestinya bersetuju di akhirnya.

Dalam politik macam-macam boleh berlaku. Bagi sesetengah orang politik, kesetiaan adalah bertempat.

Lebih bahaya jika ada anasir luar cuba meresap, sesebuah organisasi politik boleh terancam. Orang-orang di dalam organisasi menjadi rapuh dan mudah hilang pedoman menyebabkan kepimpinan boleh dilanda krisis tanpa diduga.

Bagaimanapun parti-parti politik seharusnya sentiasa bersiap sedia setiap masa dengan apa juga kemungkinan yang boleh mengundang kemelut dalaman.

Ada ketikanya sesebuah organisasi goyang disebabkan gejala yang tercetus dari dalam dan tidak kurang elemen dari luar juga boleh memporak-perandakan.

Secara kebetulan banyak parti-parti politik akan mengharungi kongres atau perhimpunan agung masing-masing sepanjang akhir tahun ini.

Parti-parti besar biasanya kurang dilanda kemelut yang sukar dikawal kerana mungkin pengaruh barisan kepimpinan tertinggi mampu mengawal keadaan. Suara pemimpin mereka lebih didengar dan pihak akar umbi selalunya mudah berkompromi selagi sesuatu saranan itu dilihat baik untuk organisasi berkenaan.

Namun begitu, bagi parti-parti kecil atau dalam pengertian lain, hanya memiliki wakil rakyat sama ada Anggota Dewan Undangan (Adun) atau Anggota Parlimen (MP) yang jumlahnya sedikit berisiko untuk bergolak jika tiada kesepakatan tulen dalam kalangan pemimpin atasan mereka.

Parti-parti seperti ini menyebabkan teraju utama kepimpinan terutama presiden “pusing kepala” apabila parti menghadapi pemilihan jawatan tertinggi.

Di Sabah, sudah ada beberapa parti bakal berhadapan dengan situasi ini.

Parti Liberal Demokratik (LDP) umpamanya tidak lama selepas Setiausaha Agungnya mengumumkan hasrat untuk bertanding jawatan presiden menyebabkan Datuk Teo Chee Kang digugurkan dari jawatan tersebut.

Presidennya, Datuk V.K Liew menyatakan bahawa pengguguran Teo kerana setiausaha agung itu gagal menjalankan tanggungjawabnya sebagaimana yang dikehendaki perlembagaan parti selain tidak mematuhi resolusi mesyuarat majlis tertinggi pada 9 Jun lepas yang memutuskan bahawa jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan sebaliknya mengekalkan kedua-dua penyandang.

Bagi menggantikan tempat Teo, setiausaha agung baru, Lorreto S Padua Jr dilantik oleh Liew.

Sebagai respon sehari kemudian, timbalan presiden, Senator Datuk Chin Su Phin menyertai pendirian beberapa bahagian, tampil menyuarakan sokongan kepada Teo yang juga Menteri Tugas-Tugas Khas untuk bertanding jawatan presiden dalam pemilihan parti.

Teo mendakwa seramai 27 daripada 35 ahli majlis tertinggi memberi syor secara bertulis kepadanya supaya satu mesyuarat majlis tertinggi diadakan di ibu pejabat di Kepayan pada 6 September ini.

Satu lagi kerabat Barisan Nasional (BN), Upko yang dijadualkan mengadakan kongres tri-tahunannya di Penampang pada Oktober ini juga akan menjadi tumpuan sekiranya jawatan presiden dan timbalan berlaku pertandingan.

Sehingga ini, hanya jawatan timbalan presiden sahaja sudah ada pemimpin berhasrat untuk bertanding jawatan tersebut. Naib presiden, Datuk Seri Panglima Wences Angang dan setiausaha agung, Datuk Wilfred M. Tangau adalah dua pemimpin terawal yang disebut-sebut akan bertanding.

Jawatan presiden yang disandang Tan Sri Bernard Dompok walaupun belum ada kenyataan rasmi pemimpin lain mahu mencabarnya namun bahagian-bahagian yang mula bermesyuarat pada Jumaat dikatakan sudah dirisik oleh pemimpin yang berminat menawarkan diri.

Pendekatan secara berhati-hati ini mungkin bagi mengelak risiko yang bakal menimpa serta sebagai satu strategi mengelak “senjata makan tuan”.

Adalah bukan mustahil, pertarungan boleh berlaku bagi jawatan nombor satu itu jika dilihat daripada perkembangan dan trend yang berlaku sekarang.

Soalnya, siapakah pemimpin yang bakal menongkah arus itu memandangkan jawatan itu tidak pernah dicabar sejak kewujudan parti itu yang sebelumnya dikenali sebagai Parti Demokratik Sabah (PDS).


Selasa, 27 Ogos 2013

LIMUS SESUAI KETUAI UPKO BAHAGIAN BEAUFORT

KUALA PENYU: Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Penyu, Limus Jury pemimpin yang paling sesuai untuk menerajui kepimpinan Upko Bahagian Beaufort berikutan keputusan ketua bahagiannya, Datuk Seri Panglima Wences Angang tidak mempertahankan jawatan dalam mesyuarat agung pemilihan bahagian berkenaan pada 20 September ini, kata Naib ketua bahagian 1, Lokman Sunggim.

Beliau berkata, Adun tersebut wajar diberi peluang mengambil alih jawatan itu memandangkan ramai ahli menyokong beliau berbuat demikian selain mendapat restu daripada Wences sendiri.

LIMUS...wakil rakyat Kuala Penyu.

“Penyandang ketua bahagian sekarang menyarankan supaya Limus menggantikan tempat beliau sebelum ini dan saya secara peribadi menyokong penuh jika ruang itu diberikan kepada Adun berkenaan,” katanya di sini, hari ini.

Menurut beliau, Limus seorang pemimpin yang lama berkhidmat dalam parti dan pernah memegang jawatan bendahari bahagian beberapa penggal serta pernah menjadi bendahari Pergerakan Pemuda Upko pusat.

“Berdasarkan pengalamannya itu, saya fikir beliau (Limus) mampu mengetuai bahagian dengan baik dan sekali gus dapat memenuhi kehendak parti,” katanya.

LOKMAN...setuju YB Limus terajui Upko Bahagian Beaufort.

Lokman berkata, sebaik sahaja Wences mengumumkan untuk melepaskan jawatan ketua bahagian baru-baru ini, sebenarnya ramai ahli di peringkat cawangan inginkan Adun Kuala Penyu itu mengetuai kepimpinan bahagian.

Katanya, ketua-ketua cawangan sebenarnya hanya menunggu pendirian Limus berhubung saranan supaya beliau mengambil alih tempat ketua bahagian.

“Oleh kerana tiada kenyataan secara terbuka dibuat Adun itu mengenai kesediaannya bertanding jawatan ketua bahagian menyebabkan banyak cawangan mengambil sikap berdiam diri.”

“Namun demikian, saya yakin mereka tetap menyokong Limus dan akan bersedia mencalonkan beliau sekiranya mendapat lampu hijau daripada beliau secara terbuka,” kata Lokman.

Beliau berharap jawatan ketua bahagian dan timbalan sebaik-baiknya dibuka ruang kepada pemimpin berpengalaman yang ingin menawarkan diri.

“Pada saya kedua-dua jawatan berkenaan tidak perlulah dipertandingkan kerana kita percaya berdasarkan pengalaman yang lepas, sebahagian besar cawangan akan menyokong pendekatan sedemikian, lebih-lebih lagi sekarang Limus adalah wakil rakyat mereka,” ujarnya.

Sehubungan itu, katanya, ketua bahagian bersama ahli jawatankuasa bahagian perlu membincangkan dan seterusnya membuat ketetapan mengenai perkara itu sebelum mesyuarat agung pemilihan bulan depan.

Isnin, 26 Ogos 2013

FREDOLIN DIJANGKA AMBIL ALIH KETUA UPKO BAHAGIAN BEAUFORT?

LIMUS...Adun Kuala Penyu.

FREDOLIN...bakal ketua bahagian baru?

LOKMAN...pertahan jawatan naib ketua bahagian 1.

BEAUFORT: Dua jawatan utama dalam Upko Bahagian Beaufort dijangka berlaku perubahan mendadak berikutan keputusan ketua bahagian, Datuk Seri Panglima Wences Angang melepaskannya secara sukarela bagi memberi laluan pemimpin baharu mengambil alih teraju.

Manakala jawatan timbalan ketua bahagian yang disandang bekas Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Penyu, John Teo Mau Sing dijangka turut bertukar berikutan tiada tanda-tanda penyandangnya berhasrat mempertahankan jawatan berkenaan.

Ini bermakna jawatan nombor satu dan dua dalam bahagian itu akan menyaksikan peralihan yang hampir pasti diisi oleh pemimpin baharu yang berpengaruh.

Berdasarkan perkembangan sekarang, jawatan ketua bahagian hampir pasti diambil alih seorang pemimpin muda, Fredolin Penggo yang sebelum ini merupakan timbalan ketua pemuda bahagian kerana beliau dijangka menguasai sebahagian besar cawangan untuk mencalonkannya bagi jawatan tersebut.

Selepas Wences mengumumkan tidak mempertahankan jawatan itu ketika mempengerusikan mesyuarat ahli jawatankuasa bahagian untuk kali terakhir minggu lepas, hanya Fredolin sahaja yang menawarkan diri untuk bertanding jawatan berkenaan.

Sehingga ini, tiada pemimpin lain yang menyatakan kesediaan untuk bertanding merebut jawatan ketua bahagian. Bagaimanapun keputusan rasmi yang menentukan tiada pertandingan bagi jawatan itu ialah pada 3 September iaitu tarikh tutup penerimaan pencalonan bagi jawatan-jawatan yang dipertandingkan.

Begitu juga bagi jawatan timbalan ketua bahagian, Adun Kuala Penyu yang baru, Limus Jury dijangka tidak menghadapi sebarang kesukaran untuk memperoleh pencalonan terbanyak bagi beliau mengambil alih jawatan tersebut.

Hanya jawatan naib ketua bahagian dan ahli jawatankuasa bahagian besar kemungkinan akan menyaksikan pertandingan sengit memandangkan beberapa orang difahamkan sudah menawarkan diri untuk mencuba nasib.

Naib ketua bahagian 1, Lokman Sunggim awal-awal lagi mengumumkan kesediaan untuk mempertahankan jawatan manakala naib ketua bahagian II, Monih Epin juga besar kemungkinan akan bertanding semula sekiranya mendapat pencalonan.

Lokman dan Monih telah memenangi jawatan mereka pada pemilihan lepas mengalahkan dua calon lain, Peter Kong dan Alihassan Ibrahim.

Walaupun tewas dalam pemilihan, Peter dilantik mengisi jawatan naib ketua bahagian III manakala Alihassan dilantik sebagai bendahari bahagian.

Dua naib ketua bahagian lantikan sebelum ini, Peter Kong dan Jaliman Saban setakat ini belum ada ura-ura mahu bertanding semula sebarang jawatan dalam pemilihan kali ini.

Lokman ketika ditemui selepas merasmikan cawangan-cawangan Upko bagi Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kerukan di sini baru-baru ini menjelaskan, beliau sedia bertanding semula bagi jawatan nombor tiga itu kerana ramai ahli masih mahukan beliau menduduki jawatan berkenaan.

“Saya menghormati kehendak akar umbi dan kerana itu saya akan mempertahankan jawatan. Saya memenangi jawatan ini pada pemilihan tiga tahun lepas kerana sokongan majoriti perwakilan dan saya percaya mereka masih memberi sokongan kepada saya,” tegasnya.

Lokman yang juga ahli jawatankuasa Barisan Nasional (BN) Bahagian Beaufort, berkata, pihaknya juga boleh bekerjasama baik dengan bakal ketua bahagian dan timbalan ketua bahagian yang baru.

“Kedua mereka, Fredolin dan YB Limus bukan sahaja sahabat baik tetapi merekalah yang mendorong saya terus berkhidmat dalam parti selama ini,” katanya sambil menambah bahawa inilah masa terbaik untuk meneruskan perjuangan itu.

Lokman berkata, pihaknya akan terus sedia menyumbang khidmat dan buah fikiran dalam parti selagi perjuangan itu sentiasa mengambil kira kepentingan rakyat secara menyeluruh.

Ahad, 25 Ogos 2013

DUA PRESIDEN PARTI DI SABAH BAKAL DICABAR DALAM PEMILIHAN?

DOMPOK...Presiden Upko.

Kepimpinan tertinggi dua parti komponen Barisan Nasional (BN) di Sabah dijangka menyaksikan pertandingan dalam kongres masing-masing tahun ini, satu fenomena baharu selepas pilihan raya umum ke-13 lepas.

Parti terbabit - Parti Liberal Demokratik (LDP) dan Pertubuhan Kebangsaan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) dijangka akan mengadakan kongres masing-masing tahun ini dan bagi Upko, ia akan diadakan pada Oktober ini.

Jawatan presiden kedua-dua parti tersebut akan menjadi tumpuan kali ini. Bagi LDP, Setiausaha Agungnya Datuk Teo Chee Kang telahpun menyatakan hasrat menawarkan diri untuk bertanding jawatan nombor satu parti itu yang ketika ini disandang Datuk V.K Liew.
V.K LIEW...Presiden LDP.

Jawatan presiden Upko yang ketika ini dipegang Tan Sri Bernard Dompok, bekas Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi walaupun belum ada seberang kenyataan secara terbuka kesediaan daripada kalangan pemimpinnya untuk mencabar jawatan berkenaan namun sudah ada desas-desus dari luar yang mahu jawatan itu dipertandingkan.

Sejauh mana ia menjadi kenyataan bergantung kepada pendirian 23 bahagian parti itu yang akan mengadakan mesyuarat agung tri-tahunan bulan depan dan seterusnya membuat pencalonan bagi semua jawatan yang dipertandingkan.

Yang menariknya bagi LDP, pendirian Teo yang juga Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah untuk bertanding jawatan presiden parti sudah disahut oleh 13 bahagian yang menyatakan sokongan mereka secara terbuka. Bahagian berkenaan ialah Luyang, Gum-Gum, Tanjung Aru, Tambunan, Likas, Petagas, Liawan, Klias, Melalap, Senallang, Tanjung Batu, Inanam dan Lahad Datu.

Ketika mengumumkan pendiriannya untuk bertanding jawatan presiden baru-baru ini, Teo berkata keputusan itu diambil sebagai menghormati dan memenuhi kehendak akar umbi.

Berbeza dengan Upko, LDP sebelum ini sudah melakukan pertukaran presiden daripada presiden pertamanya, Datuk Chong Kah Kiat kepada Datuk V.K Liew yang sebelum itu adalah setiausaha agung parti.

Upko pula akan mencipta sejarah buat pertama kali berlaku pertandingan jawatan presiden sekiranya ura-ura yang kedengaran sekarang berasas. Sumber dari luar menyebut bahawa seorang pemimpin kanan parti itu yang juga berstatus menteri dijangka bakal mencabar jawatan nombor satu itu.

Secara kebetulan kedua-dua presiden parti terbabit, Datuk V.K Liew dan Tan Sri Bernard Dompok tewas bagi kerusi Parlimen (Sandakan dan Penampang) yang mereka tandingi pada PRU ke-13 lepas.

Adakah faktor ini yang mungkin menyebabkan kedua-dua presiden berkenaan terpaksa dicabar dalam pemilihan parti masing-masing kali ini?. Atau ada elemen lain yang mendorong tranformasi perlu dilakukan dalam kepimpinan tertinggi kedua-dua parti komponen BN itu?. Kita tunggu dan lihat.



Sabtu, 24 Ogos 2013

PASUKAN BAWAH 13 SAFA BANDARAYA TUMPU KEJOHANAN ANTARA ZON DAN PIALA BORNEO

JUARA...barisan pemain bawah 13 Safa Bandaraya yang menjuarai Kejohanan Bolasepak Bawah 13 Zon Pantai Barat bergambar bersama pengurus dan jurulatih mereka.

Pasukan bawah 13 tahun Safa Bandaraya Kota Kinabalu yang baru sahaja menjuarai Kejohanan Bolasepak Bawah 13 Tahun Zon Pantai Barat akan memberi tumpuan Kejohanan Bolasepak Bawah 13 Antara Zon yang akan berlangsung di Kota Kinabalu bulan depan dan Piala Borneo sebelum akhir tahun.

Pasukan ini menewaskan pasukan Safa Kota Belud 2-0 dalam perlawanan Kejohanan Bawah 13 Tahun Zon Pantai Barat. Satu lagi perlawanan yang sepatutnya menentang pasukan tuan rumah, Safa Tuaran tidak dijalankan berikutan keputusan mereka tidak menghantar pasukan bagi kategori itu.

Ketua jurulatih, Matasan Ahmad memberitahu, pasukan itu akan mewakili Zon Pantai Barat ke Kejohanan bawah 13 antara zon dan juga layak bertanding bagi kategori bawah 13 Piala Borneo yang dijadualkan diadakan di Kota Kinabalu.

Katanya, latihan pusat sebagai persediaan menghadapi kedua-dua kejohanan itu akan dilakukan minggu depan.


PENJARING...Mohd Hizaz Lokman dan Muhammad Aiman Azahari masing-masing menjaringkan satu gol dalam perlawanan dengan pasukan Kota Belud.

Pengurus pasukan bawah 13 Safa Bandaraya, Lokman Sunggim, berkata jurulatih Hassan Madisah akan bertanggungjawab mengendalikan latihan pusat itu.

"Dia (Hassan) sedang merangka jadual yang sesuai bagi latihan tersebut memandangkan pemain-pemain yang terlibat merupakan pelajar di beberapa sekolah yang berlainan di sekitar Kota Kinabalu," katanya.

Menurut beliau, pihaknya mengucapkan penghargaan kepada pegawai-pegawai Safa Bandaraya terutama Alijus Sipil dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Bolasepak Remaja Safa, Datuk Yusof Kassim atas insiatif dan pembabitan mereka dalam usaha berterusan untuk menggilap bakat pemain-pemain muda.


SIMPANAN...pemain-pemain gantian pasukan bawah 13 Safa Bandaraya.






WENCES LEPASKAN KETUA BAHAGIAN TAWAR DIRI TANDING TIMBALAN PRESIDEN

KUALA PENYU: Ketua Upko Bahagian Beaufort, Datuk Seri Panglima Wences Angang (gambar) mengumumkan pada Sabtu untuk tidak mempertahankan jawatan tersebut pada mesyuarat agung pemilihan bahagian berkenaan bulan depan.

Beliau berkata keputusan itu dibuat bagi memberi laluan kepada pemimpin lain untuk bertanding jawatan berkenaan dalam pemilihan kali ini.

“Selepas menerajui kepimpinan bahagian ini lebih 20 tahun, sudah tiba masanya saya melepaskan jawatan ini untuk memberi ruang kepada pemimpin lain untuk mengambil alih kepimpinan bahagian,” katanya ketika mempengerusikan mesyuarat ahli jawatankuasa bahagian parti itu di pejabat Upko bahagian di sini.

Menurutnya, setakat ini sudah ada pemimpin yang berminat untuk bertanding jawatan nombor satu bahagian itu tetapi enggan menamakan calon tersebut.

Katanya, ini merupakan peluang terbuka kepada pemimpin baharu untuk menawarkan khidmatnya kepada parti.

Tarikh tutup pencalonan ditetapkan pada 3 September ini dan senarai calon yang layak bertanding bagi semua jawatan akan diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan, Jutih Kangang pada hari berikutnya.

Sebanyak 84 cawangan layak menghantar perwakilan ke mesyuarat agung berkenaan.

Serentak dengan itu, Wences yang juga Naib Presiden Upko turut menyatakan hasrat menawarkan diri untuk bertanding jawatan timbalan presiden pada Kongres Tri-tahunan parti itu yang dijadualkan pada Oktober ini.

Beliau berharap pihaknya akan memperoleh pencalonan yang mencukupi untuk melayakkan beliau bertanding bagi jawatan tersebut.

Seseorang calon memerlukan sekurang-kurangnya lapan bahagian membuat pencalonan bagi melayakkannya berbuat demikian.

Jawatan timbalan presiden ketika ini dipangku naib presiden 1, Datuk Dr Ewon Ebin berikutan tindakan penyandangnya Datuk Wilfred Bumburing menyertai pembangkang sebelum pilihan raya umum ke-13 lepas.

Bumburing yang memimpin Angkatan Perubahan Sabah (APS) bertanding atas tiket Parti Keadaan Rakyat (PKR) pada pilihan raya lepas dan berjaya memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri kawasan Tamparuli tetapi tewas bagi kerusi Parlimen Tuaran, yang dimenangi Datuk Wilfred Madius Tangau, Setiausaha Agung Upko.

Dalam perkembangan lain, jawatan tertinggi dalam kepimpinan Upko pusat dijangka akan menyaksikan pertandingan pada kongres kali ini. Bagaimanapun ia tertakluk dengan kelayakan pencalonan yang dilakukan 23 bahagian yang akan mengadakan mesyuarat agung tri-tahunan masing-masing sepanjang bulan depan.

Khamis, 15 Ogos 2013

HIZAZ BANTU SAFA BANDARAYA TUMPASKAN SAFA PAPAR

Mohd Hizaz (jersi hijau) menjaringkan empat gol ketika beraksi dalam perlawanan itu.

KOTA KINABALU: Bekas penyerang Mykids Soccer Sabah, Mohd Hizaz Lokman meledakkan empat gol untuk membantu pasukan bawah 13 tahun Safa Bandaraya Kota Kinabalu menumpaskan pasukan bawah 13 Safa Papar 5-2 dalam perlawanan bola  sepak persahabatan di padang C Kompleks Sukan Likas di sini, Rabu lepas.

Safa Bandaraya mendahului pasukan pelawat 3-1 pada babak separuh masa pertama menerusi jaringan Mohd Hizaz Lokman (dua gol) dan satu gol lagi dihasilkan Mohd Aiman Azahari.

Gol Safa Papar diperoleh menerusi Kurnia Izzudin.

Safa Bandaraya yang turut diperkuatkan pemain bawah 13 tahun skuad negara, Xsavier Xcico Felix  membantu pasukan tuan rumah meneruskan gandingan berkesan pada saingan separuh masa kedua.

Ini membolehkan penyerang Mohd Hizaz terus beraksi cemerlang dengan menambah jaringan bagi melengkapkan hatriknya serta menghasilkan gol kelima buat pasukan tuan rumah.

Pemain Safa Papar, Kurnia pula  menyumbang satu gol lagi bagi pasukannya, gol kedua peribadi pada minit-minit akhir permainan.

Barisan pemain kedua-dua pasukan bergambar sebagai kenangan sebelum perlawanan.

Jurulatih skuad bawah 13 Safa Bandaraya, Michael Wong, berkata perlawanan itu sebagai persiapan pasukannya menghadapi Kejohanan bolasepak bawah 13 Zon Pantai Barat yang berlangsung di Tuaran pada 22 Ogos ini dan Piala Borneo di Kota Kinabalu tidak lama lagi.

Mengenai kejohanan di Tuaran itu, katanya, Safa Bandaraya akan berentap dengan pasukan dari Kota Belud dan Tuaran.

"Pasukan yang akan menjuarai kejohanan ini nanti akan mewakili Pantai Barat ke kejohanan antara zon," katanya.



Isnin, 5 Ogos 2013

RITA RUDAINI SAHKAN DICERAI MELALUI SMS

Pelakon Rita Rudaini (gambar) mengesahkan menerima kiriman sistem pesanan ringkas (SMS) daripada Aidil Zafuan, pemain bolasepak kebangsaan petang Ahad selepas berlaku perang SMS antara mereka sebelum itu.

Difahamkan kejadian berlaku pada petang semalam (Ahad) sebelum waktu berbuka.

Rita Rudaini turut mendedahkan yang antara butiran SMS yang diterima daripada Aidil Zafuan bertulis “Aku ceraikan kau talak satu”.

“Selepas hampir dua tahun kes penceraian kami berdua berlangsung di mahkamah, akhirnya Aidil menceraikan saya dengan talak satu menerusi SMS,” ujar Rita dalam satu laporan akhbar Berita Harian.

“Saya perlu terima keputusan ini dengan hati yang terbuka hanya beberapa jam sebelum masuk waktu berbuka. Kini segala galanya sudah jelas, Aidil akhirnya menceraikan saya.”

“Bagaimanapun, kehidupan perlu diteruskan dan saya perlu lebih tabah,” tambahnya lagi yang kini berada di Perlis, negeri kelahirannya untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri.


Jumaat, 2 Ogos 2013

AHLI-AHLI UPKO BEAUFORT DISERU TERUSKAN SOKONGAN KEPADA KERAJAAN

Bersama rakan-rakan AJK bahagian dari kiri; Timbalan Ketua Pemuda Upko Bahagian, Fredolin Penggo, Raymond Jurih abang kepada ADUN Kuala Penyu, YB Limus Jury, setiausaha kerja yang juga Ketua PDM Melampai, Weldy Throp Hujie (empat dari kiri), setiausaha bahagian, Fred Judin Tangulon dan ahli jawatankuasa bahagian, John Chin (kanan sekali).

KUALA PENYU:  Naib Ketua Bahagian Upko Beaufort, Lokman Sunggim menyeru ahli-ahli parti itu di bahagian ini supaya terus memberi kerjasama dan sokongan kepada kerajaan supaya segala perancangan yang dilakukan menjadi kenyataan sekali gus dapat dinikmati rakyat.

Katanya, ahli-ahli parti perlu meneruskan sokongan mereka sebagaimana yang telah dibuktikan pada pilihan raya umum ke-13 yang lepas.

“Komitmen ahli-ahli di peringkat akar umbi serta penyokong Barisan Nasional (BN) sangat kita hargai dan kerana sokongan mereka itu BN berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Penyu dan Parlimen Beaufort,” katanya ketika merasmikan mesyuarat 11 cawangan Upko bagi PDM Melampai di balairaya kampung berkenaan pada Jumaat.

Beliau juga mengucapkan terima kasih atas kerja keras dan kesungguhan ketua-ketua cawangan bagi PDM Melampai kerana kejayaan BN memenangi peti undi berkenaan dalam pilihan raya umum lepas.

Menurutnya, dalam pilihan raya sebelum ini, BN tidak pernah memenangi peti undi Melampai namun dengan komitmen dan kerja keras semua pihak akhirnya BN telah mencipta sejarah di PDM ini.

“Saya berharap perubahan yang berlaku ini akan menjadi ikhtibar semua ahli parti untuk terus melakukan yang terbaik kepada parti dan BN pada masa akan datang,” katanya.

Sambil menghargai sumbangan yang dilakukan rakan-rakan parti komponen bagi memenangi peti undi lain di kawasan ini, Lokman yakin gabungan itu akan bertambah kukuh bukan sahaja bagi DUN Kuala Penyu tetapi juga bagi Parlimen Beaufort dengan wujudnya semangat yang akrab secara berterusan.

Sebahagian ahli yang hadir pada perasmian mesyuarat itu.

Mengenai mesyuarat agung cawangan itu, katanya, setiap cawangan dikehendaki mengadakan mesyuarat pemilihan ahli jawatankuasa baru mengikut ketetapan masing-masing.

Selain itu, mereka juga perlu mengemukakan pencalonan bagi calon-calon yang akan bertanding dalam jawatankuasa bahagian kepada pengerusi jawatankuasa pemilihan selewat-lewatnya pada 15 Ogos ini, katanya.

Sebanyak 87 cawangan di 12 PDM layak mengadakan mesyuarat itu.

Turut hadir pada mesyuarat itu ialah setiausaha bahagian, Fred Judin Tangulon, Ketua PDM Melampai, Weldy Throp Hujie, ketua pemuda, Japari Kunin, timbalan ketua pemuda, Fredolin Penggo dan ahli-ahli jawatankuasa bahagian yang lain.