Jumaat, 2 Ogos 2013

AHLI-AHLI UPKO BEAUFORT DISERU TERUSKAN SOKONGAN KEPADA KERAJAAN

Bersama rakan-rakan AJK bahagian dari kiri; Timbalan Ketua Pemuda Upko Bahagian, Fredolin Penggo, Raymond Jurih abang kepada ADUN Kuala Penyu, YB Limus Jury, setiausaha kerja yang juga Ketua PDM Melampai, Weldy Throp Hujie (empat dari kiri), setiausaha bahagian, Fred Judin Tangulon dan ahli jawatankuasa bahagian, John Chin (kanan sekali).

KUALA PENYU:  Naib Ketua Bahagian Upko Beaufort, Lokman Sunggim menyeru ahli-ahli parti itu di bahagian ini supaya terus memberi kerjasama dan sokongan kepada kerajaan supaya segala perancangan yang dilakukan menjadi kenyataan sekali gus dapat dinikmati rakyat.

Katanya, ahli-ahli parti perlu meneruskan sokongan mereka sebagaimana yang telah dibuktikan pada pilihan raya umum ke-13 yang lepas.

“Komitmen ahli-ahli di peringkat akar umbi serta penyokong Barisan Nasional (BN) sangat kita hargai dan kerana sokongan mereka itu BN berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Penyu dan Parlimen Beaufort,” katanya ketika merasmikan mesyuarat 11 cawangan Upko bagi PDM Melampai di balairaya kampung berkenaan pada Jumaat.

Beliau juga mengucapkan terima kasih atas kerja keras dan kesungguhan ketua-ketua cawangan bagi PDM Melampai kerana kejayaan BN memenangi peti undi berkenaan dalam pilihan raya umum lepas.

Menurutnya, dalam pilihan raya sebelum ini, BN tidak pernah memenangi peti undi Melampai namun dengan komitmen dan kerja keras semua pihak akhirnya BN telah mencipta sejarah di PDM ini.

“Saya berharap perubahan yang berlaku ini akan menjadi ikhtibar semua ahli parti untuk terus melakukan yang terbaik kepada parti dan BN pada masa akan datang,” katanya.

Sambil menghargai sumbangan yang dilakukan rakan-rakan parti komponen bagi memenangi peti undi lain di kawasan ini, Lokman yakin gabungan itu akan bertambah kukuh bukan sahaja bagi DUN Kuala Penyu tetapi juga bagi Parlimen Beaufort dengan wujudnya semangat yang akrab secara berterusan.

Sebahagian ahli yang hadir pada perasmian mesyuarat itu.

Mengenai mesyuarat agung cawangan itu, katanya, setiap cawangan dikehendaki mengadakan mesyuarat pemilihan ahli jawatankuasa baru mengikut ketetapan masing-masing.

Selain itu, mereka juga perlu mengemukakan pencalonan bagi calon-calon yang akan bertanding dalam jawatankuasa bahagian kepada pengerusi jawatankuasa pemilihan selewat-lewatnya pada 15 Ogos ini, katanya.

Sebanyak 87 cawangan di 12 PDM layak mengadakan mesyuarat itu.

Turut hadir pada mesyuarat itu ialah setiausaha bahagian, Fred Judin Tangulon, Ketua PDM Melampai, Weldy Throp Hujie, ketua pemuda, Japari Kunin, timbalan ketua pemuda, Fredolin Penggo dan ahli-ahli jawatankuasa bahagian yang lain.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan