Isnin, 14 Oktober 2013

BERI INPUT UNTUK DIMANFAAT MAJUKAN KAWASAN, KATA ADUN

TURUN PADANG...Limus (kanan) bersembang dengan Naib ketua Upko bahagian, Lokman Sunggim dan rakan-rakan yang lain ketika bersarapan di sebuah gerai di pekan Kuala Penyu.

KUALA PENYU: Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Penyu, Limus Jury mengajak pemimpin parti supaya tampil memberi input dalam usaha membawa perubahan dan menggerakkan ekonomi rakyat kawasan berkenaan.

Beliau berkata, pemimpin parti di peringkat bahagian mempunyai peranan dan tanggungjawab yang boleh membantu wakil rakyat untuk memajukan kawasan.

"Setiap pemimpin boleh menyumbang buah fikiran dan pandangan yang boleh dimanfaatkan bagi melakukan perubahan di kawasan ini."

"Saya sangat mengalu-alukan insiatif mana-mana pemimpin yang boleh memberi input berguna untuk digunapakai bagi menggerakkan kemajuan di Kuala Penyu," katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat Upko Bahagian Beaufort di sini pada Sabtu.

Menurut beliau, wakil rakyat boleh melakukan perubahan di kawasan yang diwakili selagi ia mendapat kerjasama semua pemimpin yang mempunyai misi dan hala tuju yang sama.

"Justeru, saya mahu setiap pemimpin parti di peringkat bahagian mempunyai semangat baru yang dapat memudahkan tugas saya untuk merancang perubahan yang hendak dilakukan di kawasan ini," tegasnya.

Terdahulu ketika mempengerusikan mesyuarat bahagian, Limus yang juga Ketua Upko Bahagian Beaufort, berkata, pemimpin bahagian perlu mempunyai semangat dan kesungguhan bukan sahaja memastikan usaha memperkasakan parti dapat direalisasikan malah mereka juga harus memiliki semangat untuk memajukan diri.

Katanya, sebagai pemimpin harus menjadi contoh kepada ahli-ahli di peringkat akar umbi dengan memanfaat bakat dan kemahiran masing-masing.

Limus berkata, sebagai wakil rakyat, beliau sentiasa mahu melihat pemimpin bahagian berusaha melakukan yang terbaik untuk parti dan merebut  peluang yang disediakan kerajaan khususnya untuk golongan Bumiputera.

"Kita mesti berusaha untuk berubah dan berfikir lebih jauh serta memanfaatkan bakat dan kemahiran yang kita miliki," ujarnya.