Isnin, 18 November 2013

UCAPAN PENUH YB LIMUS JURY, ADUN KUALA PENYU KETIKA PERBAHASAN BAJET 2014 PADA PERSIDANGAN DUN YANG KE-14


LIMUS...Bajet 2014 hadiah terbaik buat seluruh rakyat.

Terima kasih tuan Speaker,

Pertama sekali, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih atas peluang dan kesempatan yang diberikan kepada saya untuk turut bersama-sama mengambil bahagian di dalam perbahasan  ke atas Bajet Tahun 2014 yang dibentangkan oleh Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan Negeri,YAB Datuk Seri Panglima Musa Hj Aman pada hari Jumaat lepas.

Sebelum mengorak bicara lebih jauh dalam ruang perbahasan bagi Bajet pada kali ini, kita tentu sependapat bahawa Belanjawan 2014 adalah satu hadiah terbaik kepada seluruh rakyat Sabah yang telah memberi mandat sekali lagi kepada Barisan Nasional untuk menerajui tampuk kerajaan negeri.

Sebagai sebuah belanjawan yang mengandungi peruntukan terbesar dalam sejarah bajet negeri Sabah, tidak syak lagi ia akan membantu memacu pertumbuhan ekonomi sekali gus memberikan sinar harapan kepada rakyat yang sentiasa mengharapkan pembelaan dan pembangunan secara berterusan demi kesejahteraan mereka.

Secara realitinya, bajet  RM4.622 bilion, satu ganjaran yang sangat berbaloi dengan sokongan dan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan Barisan Nasional yang sentiasa secara berterusan memikirkan penyediaan semua aspek pembangunan kepada rakyat di bandar dan luar bandar. Di samping ini menjadi satu manifestasi komitmen pihak kerajaan serta kesungguhan untuk memenuhi keperluan dalam usaha ke arah mensejahterakan rakyat dalam mengharungi kehidupan yang serba mencabar masa kini.

Dengan berpegang kepada prinsip meneruskan agenda pembangunan menyeluruh serta sasaran bagi mensejahterakan rakyat pastinya bajet bermotivasi kali ini telah mengambil kira aspirasi dan harapan rakyat untuk terus bergerak ke hadapan dengan hala tuju yang sangat jelas. Ini amat bertepatan sekali dengan temanya “Menjamin Kesinambungan dan Kesejahteraan Rakyat.” Jutaan terima kasih serta syabas kepada YAB Datuk Seri Ketua Menteri yang juga Menteri Kewangan kerana dengan penuh kesungguhan dan iltizam berjaya mempersembahkan sebuah belanjawan dengan kadar peningkatan 75.77 peratus kali ganda berbanding  50 tahun yang lalu.

Tuan  Speaker,

Dengan menggalas  amanah  rakyat dan tanggungjawab yang terpikul di bahu, apa yang  ingin saya sampaikan dalam ruang dan kesempatan yang  ada ini adalah lahir daripada keikhlasan hati untuk bersama-sama rakan-rakan Ahli Yang Berhormat yang lain bagi mengambil bahagian dan peranan dalam satu matlamat perjuangan untuk membela dan memperjuangkan nasib rakyat jelata.

Tampil dengan membawa harapan rakyat di kawasan saya, yang setiap detik mengimpikan kehidupan hari ini lebih baik dari kelmarin, menantikan pembelaan dari kerajaan yang telah mereka berikan kepercayaan untuk tempoh lima tahun lagi, bagi meneruskan kesinambungan pembangunan dan kesejahteraan serta keamanan yang mereka telah kecapi sejak dari dahulu hingga kini.

Justeru pada hari ini, selaku mewakili suara rakyat Kuala Penyu, saya dengan penuh rasa syukur mengalu-alukan pembentangan Bajet  2014 oleh YAB Datuk Seri Ketua Menteri yang juga Menteri Kewangan Negeri, yang saya kira menjadi satu suntikan semangat dan rangsangan kepada rakyat untuk mengharungi kehidupan harian yang sungguh mencabar.

Jelas sekali, daripada pembentangan Bajet yang berwibawa, kita telah mempunyai asas panduan dan landasan hala tuju yang cukup jelas dan kuat bagi membawa negeri Sabah ke puncak impian dan mercu kejayaan.

Kita amat yakin dan percaya bahawa Bajet pada kali ini adalah yang dinanti-nantikan oleh seluruh rakyat negeri Sabah kerana di dalamnya terkandung elemen-elemen pembelaan, cahaya harapan, masa depan serta wawasan berteraskan kesederhanaan, seimbang serta adil yang mencakupi kepentingan semua lapisan rakyat.

Sejujurnya, saya berani mengatakan bahawa Bajet ini adalah “Janji ditepati” kerajaan Barisan Nasional kerana segala apa yang dijanjikan dalam manifesto atau Akujanji tambahan khusus untuk BN Sabah pada PRU-13 yang lalu ternyata telah direalisasikan melalui belanjawan ini.

Tuan Speaker,

Berasaskan kepada intipati Bajet ini sememangnya begitu jelas terserlah harapan bagi merealisasikan segala rancangan pembangunan dan misi pembelaan kepada rakyat dan tidak terkecuali rakyat di kawasan saya wakili yang saya percaya telah diberi perhatian dengan segala kudrat dan upaya oleh kerajaan.
Jika diimbas kembali pada sesi persidangan Dewan yang lalu, saya pernah menekankan betapa Kuala Penyu sememangnya mempunyai banyak potensi dalam pebagai sektor dan bidang untuk diterokai serta dimajukan seperti yang sangat ketara terutama dalam sektor pelancongan, pertanian dan perikanan.

Dalam sektor pelancongan misalnya, tidak dapat dinafikan lagi potensi besar kawasan kami berdasarkan kepada kedudukan strategik yang  berada di tengah-tengah laluan bandar utama iaitu antara Kota Kinabalu dan Wilayah Persekutuan Labuan, Sarawak dan Negara Brunei  Darussallam amat sesuai untuk disinggahi dan dilawati. Disamping sumber alam semulajadi, flora dan fauna,pulau-pulau dan pantai yang cantik, saya pasti hanya menunggu masa dan saat untuk dimaju dan dipromosikan secara lebih meluas.

Sebenarnya kita telah mengemukakan beberapa cadangan berhubung perkara ini kepada pihak-pihak yang berkenaan terutama kementerian, jabatan-jabatan dan agensi-agensi yang berkaitan. Selaku wakil rakyat, pihak saya telah bersedia sepenuhnya untuk memberikan kerjasama yang perlu bagi membolehkan cadangan-cadangan ini menjadi satu kenyataan dan bukan sekadar khayalan semata-mata. Ibarat kata orang, “kaya idea juga memerlukan pelaksanaan yang cekap” maka di sinilah harapan kita banyak bergantung kepada perhatian, komitmen serta kesungguhan pihak kerajaan untuk menjadikan cadangan-cadangan tersebut dapat diterjemah dan direalisasikan dalam bentuk tindakan pelaksanaan pihak yang berkaitan.

Dalam Pelan Pembangunan Pelancongan yang menjadi fokus kerajaan, kita dapati ia tidak begitu mencakupi kawasan yang lebih luas  termasuklah kawasan saya sendiri walaupun sebenarnya Kuala Penyu mempunyai potensi yang besar dalam sektor pelancongan ini. Sebab itu, saya sendiri telah menggariskan agenda pembangunan pelancongan sebagai  salah satu tumpuan dan keutamaan.

Jadi, saya sangat berharap pihak kementerian, jabatan dan agensi yang berkenaan dapat membantu kami menggerakkan agenda pelancongan di daerah dengan memasukkan dalam program Pelan Pembangunan Pelancongan sebagai sasaran utama pihak kerajaan.

Begitu juga dalam sektor perikanan, tuan Speaker, kawasan saya sesungguhnya mempunyai potensi yang cukup hebat untuk dimajukan. Laut Cina Selatan yang terbentang luas mengelilingi daratan Kuala Penyu dimana sebahagian penduduk terlibat dalam aktiviti-aktiviti perikanan terutama sebagai nelayan secara tradisional dan kecil-kecilan yang sentiasa mengimpikan untuk dipermodenkan dan dikomersialkan. Di sinilah tersandar segala harapan kepada pihak kerajaan agar sentiasa prihatin dan memberi sokongan supaya semua potensi ini dapat dimanfaat sepenuhnya dan seterusnya direalisasikan.

Tambahan pula, terdapat juga sungai-sungai berdekatan dengan kawasan laut yang sangat sesuai, saya kira boleh diusahakan untuk projek-projek berasaskan perikanan seperti Projek Tagal Sungai berdekatan laut pertama di Malaysia yang saya lancarkan di Kampung Menumpang, Kuala Penyu baru-baru ini, dengan kerjasama Jabatan Perikanan Daerah.

Dengan potensi besar ini, saya memohon dan merayu kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Sabah agar lebih banyak lagi projek-projek seumpama itu selain yang berasaskan pertanian dapat diberikan perhatian dan keutamaan bagi meningkatkan lagi pendapatan para nelayan di kawasan saya yang ketika ini yang tidak keterlaluan jika saya boleh sifatkan masih berada di takuk lama, “kais pagi makan pagi, kais petang makan petang”.

Sebagi langkah perancangan strategik sosio-ekonomi dan keperluan golongan nelayan, saya juga mengharapkan kepada Kerajaan Negeri mahupun Kerajaan Persekutuan agar Kompleks Pusat Pendaratan Ikan SAFMA  atau Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dapat diwujudkan di Kuala Penyu bagi melonjakkan lagi taraf ekonomi para nelayan khususnya serta para penduduk secara keseluruhannya.

Kewujudan kompleks berkenaan bukan sahaja memberikan faedah kepada para nelayan tetapi juga secara langsung mampu merangsang serta merancakkan kegiatan ekonomi yang lain disamping membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat.

Untuk memenuhi tujuan tersebut,  kita telah menyediakan lokasi dan tapak tanah yang sangat bersesuaian serta strategik dan hanya menanti saat dan ketika untuk diusaha dan dimajukan.

Tuan Speaker,

Dalam sektor pertanian pula, kawasan saya juga mempunyai kelebihan dan potensi yang baik untuk diterokai dan seterusnya dimajukan. Dengan harapan setinggi gunung terhadap belanjawan kali ini, kawasan tanah yang luas kami tadahkan untuk dijadikan sumber dan asas pemangkin ekonomi masyarakat setempat  yangmasih dahagakan pembangunan dan perubahan yang pastinya menjanjikan seribu harapan kepada mereka.

Oleh kerana itu, melalui Dewan Yang Mulia ini, saya ingin bertanya kepada pihak kerajaan dan kementerian yang berkenaan. Adakah kerajaan sedar bahawa sebahagian besar tanah di daerah Kuala Penyu telah terbiar sejak sekian lama dan tidak diusahakan sama ada atas insiatif oleh pihak kerajaan mahu pun swasta.

Adakah kerajaan telah menjalankan kajian ke atas tanah-tanah terbiar tersebut untuk mengetahui kesesuaiannya bagi tujuan pertanian selain potensi dalam sektor-sektor lain?. Sekiranya ada, apakah jenis tanaman yang telah dikenalpasti sesuai untuk diusahakan supaya ia dapat meningkatkan lagi produktiviti serta pendapatan para petani di daerah Kuala Penyu.

Saya difahamkan oleh pihak berkuasa di kawasan saya, terdapat 521 hektar tanah dikenal pasti sangat berpotensi untuk diusahakan bagi tujuan penanaman padi namun berdasarkan maklumat yang diperolehi hanya terdapat kira-kira 40 hektar sahaja yang dapat diusahakan bagi tanaman padi sehingga ini. Berdasarkan fakta itu terdapat lebih 400 hektar lagi baki tanah terbiar itu sebenarnya boleh dimajukan untuk kegiatan pertanian. Saya berpandangan apa kiranya ada insiatif di pihak kerajaan untuk berusaha meneroka dan seterusnya membangunkan kawasan tanah terbiar yang luas ini  agar ia memberi manfaat kepada rakyat.

Justeru, saya ingin menyarankan kepada pihak yang berkenaan supaya  tampil membantu agensi dan jabatan di kawasan ini supaya kawasan tanah terbabit dapat diteroka dan dimajukan bagi aktiviti pertanian yang sesuai.

Tuan Speaker,

Saya juga ingin menarik perhatian di Dewan Yang Mulia ini berhubung dengan kawasan tanah gula Sabah yang dianggarkan dengan keluasan 2,832 hektar yang kita sedia maklum sudah pun ditarik balik oleh kerajaan dari pemilikan sebuah syarikat swasta.

Kawasan tanah tersebut sudah tentu boleh dimanfaatkan untuk menjana ekonomi rakyat, umpamanya ia boleh dicadangkan untuk menjalankan aktiviti akuakultur atau kegiatan sektor pertanian yang lain. Saya percaya kementerian atau jabatan yang berkaitan boleh melakukan kajian secara holistik dan menyeluruh bagi memastikan potensi dan kesesuaian bagi penggunaan tanah tersebut.

Tuan Speaker,

Sebagai memegang amanah rakyat, saya ingin melihat segala perancangan untuk memaju dan membangunkan kawasan saya berjalan dengan lancar seiring dengan kemajuan negeri dan negara. Seperti yang kita sedia maklum bahawa negeri Sabah telah mencapai pembangunan yang begitu pesat dalam pelbagai bidang seperti yang terkandung dalam Bajet 2014.

Oleh yang demikian, saya sangat mengharapkan agar kawasan saya mendapat impak yang positif dalam belanjawan negeri pada kali ini berdasarkan potensi ekonomi dalam sektor-sektor yang saya sebutkan di awal tadi sejajar dengan agenda transformasi kerajaan.

Dengan berpaksikan tema “Aspirasi Menuju Transformasi” dalam misi perjuangan untuk membela nasib rakyat, saya sentiasa mengambil perhatian berat tentang apa sahaja perkara yang berkaitan yang melibatkan kawasan yang saya wakili.

Saya bersama rakyat di kawasan  ingin melihat daerah Kuala Penyu memacu perubahan melalui projek-projek berskala besar yang mampu memberi impak tinggi terhadap ekonomi rakyat di Kuala Penyu sebagaimana wujudnya Projek Ammonia Urea Sabah (Samur) di Sipitang dan Projek Terminal Minyak dan Gas atau SOGT di Kimanis.

Kalau di Sipitang, ada SAMUR dan di Kimanis ada SOGT, harapan kami di Kuala Penyu barangkali tidak patut  tersisih wujudnya perancangan-perancangan projek seumpama itu , sekurang-kurangnya kilang-kilang yang boleh menghasilkan produk yang berasaskan perikanan boleh diwujudkan. Dengan adanya sistem perhubungan yang baik terutama dengan siapnya Jambatan Sitompok serta prasarana lain maka pelaksanaan projek besar yang mampu menyumbang hasil dan pendapatan kepada rakyat boleh dirancang dan dipertimbangkan  pihak kerajaan.

Kita sangat berbesar hati sekiranya pihak kerajaan dapat merancang projek-projek seumpama itu memandangkan rakyat di kawasan saya juga tidak seharusnya ketinggalan dalam apa juga perancangan pembangunan oleh kerajaan malah harus diberi peluang untuk mendapat manfaat seperti yang dinikmati rakyat di kawasan-kawasan lain.

Tuan Speaker,

Pada kesempatan ini, saya juga ingin menyampaikan melalui Dewan Yang Mulia ini mengenai keluhan dan rungutan rakyat di kawasan saya terhadap kerja-kerja penyelenggaraan jalan luar bandar yang dilaksanakan oleh syarikat konsesi penyelenggara jalan yang diamanahkan oleh kerajaan terhadap kerja-kerja selenggara jalan yang mereka anggap sebagai tidak mencapai tahap yang diharapkan atau dalam istillah mudah “tidak memuaskan”. Saya fikir perkara ini sangat wajar diberi perhatian serius oleh kerajaan supaya keyakinan rakyat terhadap kerajaan Barisan Nasional tidak mudah terhakis begitu sahaja. Nasib baiklah mereka ini masih mempunyai sikap pertimbangan dan tidak seperti kata pepatah, “kerana marahkan nyamuk kelambu dibakar” yang sudah tentu natijahnya adalah disebaliknya.

Kita berharap jalan-jalan dalam kategori ini bukan sahaja sekadar dilakukan penyelenggaraan seperti yang dilakukan seperti sekarang ini oleh syarikat konsesi malah kalau boleh jalan-jalan ini sewajarnya dinaik-taraf mengikut  piawaian Jabatan Kerja Raya (JKR) agar rakyat luar bandar dapat menikmati kemudahan asas yang lebih sempurna dan selesa.

Tuan Speaker,

Sebelum melabuh tirai bicara, saya sekali lagi mengucapkan syabas dan tahniah kepada kerajaan Barisan Nasional di bawah teraju kepimpinan Ketua Menteri yang juga Menteri Kewangan, YAB Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman yang telah menyediakan sebuah belanjawan yang cukup mantap yang  mengambil kira aspirasi rakyat serta mempunyai hala tuju yang mampu meletakkan Sabah di landasan terbaik dan menjadikan negeri kita ini berupaya bergerak maju sejajar dengan arus pembangunan perdana negara.

Tidak syak lagi, hanya dengan kepimpinan yang komited, berkualiti serta penuh keikhlasan sahaja mampu mengurus dan mentadbir sebuah kerajaan untuk terus mara ke puncak kejayaan dan kegemilangan.

(Pantun...)

Dengan ini, tuan Speaker, saya mohon menyokong.

ADUN MINTA KERAJAAN MAJUKAN SEKTOR PELANCONGAN, TANAH TERBIAR DAN WUJUDKAN PROJEK BERSKALA BESAR DI KUALA PENYU


Limus ketika membahas Bajet Negeri 2014 pada hari kedua persidangan DUN.

KOTA KINABALU:  Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Kuala Penyu, Limus Jury meminta kerajaan mengenal pasti potensi sektor pelancongan di kawasannya untuk dimajukan kerana sektor itu boleh membantu menjana pertumbuhan ekonomi masyarakat kawasan berkenaan.

Menurut beliau, beberapa cadangan berhubung perkara itu sudah dikemukakan kepada kementerian, jabatan dan agensi yang berkaitan untuk diambil tindakan.

“Kawasan Kuala Penyu mempunyai potensi besar dalam sektor pelancongan dan sebab itu pihak yang berkenaan harus melakukan kajian supaya potensi itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya,” katanya ketika membahas Bajet Negeri 2014 di persidangan Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.

Bajet itu yang terbesar dalam sejarah belanjawan negeri sejak 50 tahun lepas dibentangkan Ketua Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Panglima Musa Aman pada Jumaat lepas.

Limus berkata, pihaknya sendiri berusaha menjadikan sektor itu sebagai agenda yang beliau beri tumpuan dan keutamaan.

Katanya, lokasi Kuala Penyu yang terletak di tengah-tengah antara bandaraya Kota Kinabalu dan Wilayah Persekutuan Labuan serta antara Sarawak dan Brunei Darussalam memberi keistimewaan mengenai potensi industri pelancongan kawasan itu untuk diperkembangkan.

BINCANG...Limus menyatakan sesuatu kepada Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pertanian dan Perikanan, Datuk Yahya Hussin berhubung kawasan tanah terbiar di kawasannya yang perlu dimajukan.

Mengenai kawasan tanah-tanah terbiar di Kuala Penyu, wakil rakyat itu menggesa pihak kerajaan menjalankan kajian mengenai kesesuaian penggunaannya supaya ia dapat diteroka dan dibangunkan untuk kegiatan pertanian seperti penanaman padi dan aktiviti akuakultur.

Katanya, terdapat kira-kira 521 hektar tanah terbiar di kenal pasti namun hanya kira-kira 40 hektar sahaja yang difahamkan sudah diusahakan bagi penanaman padi.

“Selain bakinya seluas lebih 400 hektar, kita juga mempunyai kawasan tanah Gula Sabah seluas 4,832 hektar yang sudah ditarik balik oleh kerajaan dari pemilikan syarikat swasta.”

“Dengan adanya kawasan tanah yang luas ini, saya mencadangkan supaya Kementerian Pertanian dan Perikanan menimbang memajukannya bagi kegiatan akuakultur atau aktiviti pertanian yang lain,” katanya sambil menambah bahawa beliau bersedia memberi kerjasama sepenuhnya bagi menjayakan cadangan tersebut.

Pada masa yang sama, Limus juga menyarankan kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan supaya dapat membina Kompleks Perikanan SAFMA di Kuala Penyu bagi membolehkan sektor berasaskan perikanan dapat dimajukan selain dapat membela nasib para nelayan.

“Keadaan nelayan di sini masih berada ditakuk lama dan mereka ini perlu dibantu dengan menaiktaraf supaya aktiviti mereka dapat dikomersilkan. Ini hanya boleh dilakukan dengan wujudnya Kompleks Perikanan yang boleh dijadikan pusat pengembangan aktiviti mereka,” tegasnya.

Adun Kuala Penyu itu juga mahu supaya kerajaan mewujudkan projek berskala besar di kawasannya sebagaimana projek Samur di Sipitang dan SOGT di Kimanis supaya rakyat di situ turut menerima impak tinggi hasil daripada pewujudan projek-projek seumpama itu.

“Saya ingin melihat rakyat di kawasan saya dapat menikmati peluang dan hasil seperti itu yang telah dinikmati rakyat di kawasan-kawasan lain,” ujar beliau.

Sabtu, 2 November 2013

ROMBONGAN UPKO BEAUFORT SERAH SUMBANGAN KE RUMAH ANAK YATIM AL-AMAN


Fredolin menyampaikan sumbangan peribadi kepada penghuni Rumah Anak Yatim Al-Aman.

BEAUFORT: Rombongan Upko Bahagian Beaufort yang diketuai timbalan ketua bahagiannya, Fredolin Penggo menyampaikan sumbangan wang tunai kepada 45 penghuni Rumah Anak-Anak Yatim Al-Aman di Bingkul di sini, Jumaat lepas.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Upko Bahagian Beaufort turut menyampaikan sumbangan wang tunai kepada kakitangan rumah anak yatim berkenaan.

Kakitangan rumah berkenaan, Ustaz Nizam Sulaiman memberitahu, penghuninya terdiri para pelajar sekolah menengah dan murid sekolah rendah, kebanyakkannya dari sekitar kawasan Beaufort selain ada juga dari daerah lain seperti Pitas dan Kuala Penyu.

Menurut beliau, pihaknya mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada rombongan ahli perniagaan itu yang sudi menghulurkan sumbangan tersebut.

Turut hadir pada majlis itu ialah Naib Ketua Upko Bahagian Beaufort, Lokman Sunggim, pegawai penerangan Upko bahagian, Jafari Kunin, ahli jawatankuasa Upko bahagian, Jain Haji Bisnin dan ahli jawatankuasa Umno Bahagian Beaufort, Jefridin.
Rombongan Upko Bahagian Beaufort bergambar bersama penghuni dan kakitangan rumah tersebut.

EMPAT DARI SABAH TERPILIH KE SEKOLAH SUKAN MUTIARA IMPIAN DAN GAMBANG


TERPILIH...dari kiri; Enel, Radzee, Hizaz (lima dari kiri) dan Sabri.

PULAU PINANG: Empat pemain bolasepak bawah 13 tahun dari Sabah terpilih memasuki di dua sekolah sukan - SMK Mutiara Impian di sini dan sekolah sukan Gambang di Pahang Darulmakmur selepas berjaya dalam ujian pemilihan yang dijalankan di SMK Mutiara Impian di sini, baru-baru ini.

Mereka yang dipilih ke SMK Muitiara Impian ialah Mohd Hizaz Lokman, Sabri Tashim dan Radzee S. A Ramli manakala rakan mereka, Enel Raudell Tan dipilih memasuki sekolah sukan Gambang.

Ujian pemilihan selama tiga hari itu disertai lebih 200 pemain dari seluruh negara.

Pihak pengurusan SMK Mutiara Impian memaklumkan bahawa mereka yang dipilih memasuki sekolah berkenaan akan dikehendaki melaporkan diri pada Februari tahun depan.

"Ibu bapa semua pemain terbabit akan dihubungi dalam masa terdekat," kata seorang jurucakap sekolah tersebut.

Menurutnya, secara kebetulan, pengetua sekolah ketika ini sedang mengerjakan ibadah haji di Mekah dan dijangka kembali ke tanah air pada pertengahan November ini. 

Katanya, keputusan muktamad berhubung pemilihan pemain terbabit akan dibuat selepas pengetua kembali bertugas kelak.

AKSI...Hizaz (jersi biru) ketika beraksi dalam Kejohanan Piala Borneo bawah 13 tahun di Stadium UMS. 

Ketika ditemui di sini selepas pengumuman keputusan pemilihan itu, Mohd Hizaz, berkata dia sangat gembira kerana impiannya untuk memasuki sekolah sukan terbaik di negara ini telah tercapai.

"Apabila saya mendapat peluang menyertai ujian pemilihan di sekolah ini, saya berikrar pada diri saya untuk melakukan yang terbaik dengan mempamerkan keupayaan sebenar."

"Saya bersyukur kerana semua rakan-rakan saya turut terpilih termasuk dua di sini dan seorang lagi berjaya ke Gambang," ujarnya.

Penyerang kidal itu berkata, mereka berempat dari Sabah memang berazam supaya berjaya dalam pemilihan itu.

Katanya, dia meminati bolasepak sejak usia tujuh tahun dan mahu pergi lebih jauh dan keinginan ini mendorongnya untuk memasuki SMK Mutiara Impian.

"Saya tahu SMK Mutiara Impian merupakan sekolah sukan terbaik dan mereka adalah juara kategori bawah 14 tahun Liga Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM)," katanya.

Menurut Hizaz, dia juga gembira kerana diberi peluang oleh jurulatih menjadi pemain kesebelasan utama pasukan bawah 13 tahun sekolah ini menentang pasukan bawah 14 tahun sekolah sama dalam satu perlawanan persahabatan pada hari kedua pemilihan.

Ayah kepada Enel, Danny Tan memberitahu, beliau berpuas hati semua pemain dari Sabah telah membuktikan kebolehan mereka dan menarik perhatian jurulatih untuk memilih mereka.

"Kita bangga dengan bakat mereka. Walaupun anak saya dipilih ke sekolah sukan Gambang namun peluang itu mestilah dimanfaatkan," katanya.