Selasa, 4 Mac 2014

PEMAIN REMAJA SABAH BERAKSI UNTUK SSN P. PINANG HADAPI PIALA SUMBANGSIH SABTU INI



SKUAD SSN PULAU PINANG 2014...tiga pemain remaja dari Sabah dalam skuad ini, Mohd Hizaz dan Mohd Sabre (lima dan empat dari kanan barisan belakang sekali) dan Radzee (dua dari kanan barisan depan).

PULAU PINANG: Pasukan Sekolah Sukan Negeri (SSN) Pulau Pinang, SMK Mutiara Impian akan menentang pasukan Sekolah Sukan Malaysia (SSM) Pahang, Gambang Pahang Darulmakmur dalam perlawanan Piala Sumbangsih Liga Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di Stadium Mini SMK Mutiara Impian di sini, Sabtu ini.

Perlawanan itu akan menjadi pembuka tirai Liga KPM 2014 musim ini.

Buat pertama kali, SSN Pulau Pinang menyenaraikan tiga pemain remaja dari Sabah dalam misi untuk mempertahankan kejuaraan dalam liga itu bagi kategori 14 tahun.

Mereka ialah penyerang Mohd Hizaz Lokman, pemain tengah Radzee S.A Ramli, kedua-duanya bekas pemain skuad Mykids Soccer Sabah dan pemain pertahanan, Mohd Sabre Fazree Awang Tashim, bekas pemain SMK Datuk Peter Mojuntin.

Bagi jurulatih pasukan, Rakhi Mat Saad, perlawanan Piala Sumbangsih menjadi ujian awal pemain-pemainnya dalam misi untuk mempertahankan kejuaraan liga itu tahun ini.

"Bukan mudah untuk pertahankan kejuaraan namun kita sandarkan harapan kepada pemain-pemain yang akan menggalas cabaran sepanjang liga ini," katanya.

Menurut Rakhi, merebut kejuaraan mungkin lagi mudah berbanding untuk mempertahankan kejuaraan sesuatu kejohanan kerana biasanya pasukan juara akan sentiasa menjadi tumpuan lawan.

Bagaimanapun, beliau menaruh kepercayaan kepada pemain-pemainnya mampu memberi saingan kepada pasukan lawan dalam liga.

Sementara itu, striker baru pasukan itu, Mohd Hizaz Lokman mengakui, dia tidak sabar lagi untuk beraksi dalam perlawanan Piala Sumbangsih itu.

"Saya sudah dapat menyesuaikan diri dengan rakan-rakan dalam pasukan berdasarkan dua perlawanan persahabatan yang dihadapi sebelum ini iaitu seri 1-1 dengan pasukan daerah Kulim, Kedah dan menang 1-0 ke atas SSN Perlis."

"Kerana kombinasi yang baik dengan rakan-rakan baru, saya dapat menjaringkan dua gol dalam dua perlawanan itu," kata Hizaz.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan