Khamis, 31 Julai 2014

PENYOKONG HADIAHKAN SONGKOK KEPADA YB LIMUS

YB Limus berbaju Melayu dan bersongkok, penampilan yang menarik perhatian masyarakat Islam di kawasannya. 

Berpakaian baju Melayu ketika mengunjungi rumah masyarakat Islam sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri bukanlah satu kejanggalan bagi Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Kuala Penyu, Limus Jury.

Beliau tidak berasa kekok dan segan silu malah selesa dengan menggayakan pakaian tersebut dan ini menarik perhatian masyarakat Islam di kawasan yang diwakilinya.

Kerana itu bagi melengkapkan lagi penampilan beliau dengan berpakaian baju Melayu itu, seorang penduduk di Menumbok telah menghadiahkan songkok kepada wakil rakyat berkenaan.

"Seorang penduduk menghadiahkan saya songkok ketika berhari raya di Menumbok apabila melihat saya berbaju Melayu ketika mengunjungi rumah masyarakat Islam sempena aidilfitri ini," kata Limus.

Menurut beliau, "dia mahu saya memakai songkok itu ketika saya mengunjungi rumah orang-orang Islam pada musim perayaan aidilfitri."

"Ini satu penghormatan dan saya tiada masalah untuk memakainya," katanya yang kelihatan sering berbaju Melayu dan bersongkok ketika menziarahi rumah rakan dan penduduk yang beragama Islam sempena sambutan aidilfitri.

Melihat penampilan YB Limus seperti itu terutama menerusi gambar yang dipaparkan di laman sosial facebook, ramai menyifatkan Adun berkenaan sebagai contoh terbaik pemimpin yang mengamalkan konsep 1Malaysia dalam soal berpakaian.

Walaupun bukan beragama Islam tetapi keunikan yang ada dalam diri YB Limus memberi gambaran bahawa penampilannya tidak ubah seperti seorang Muslim dan ini memberi advantage kepada pemimpin ini dapat menyesuaikan diri di kawasan yang diwakilinya di mana majoritinya terdiri daripada pengundi Islam.

Namun tidak kurang juga ada pihak yang keliru dengan penampilan sedemikian yang dilihat mengundang pelbagai tanggapan.

Tetapi dengan pantas, seorang sahabat beragama Islam mencela dan menegaskan, "kita harus positif kerana insan ini seorang yang baik hati dan ini selari dengan budi pekerti individu Muslim."

Sabtu, 12 Julai 2014

BERLAINAN AGAMA TIDAK HALANG YB LIMUS JURY SERTAI MAJLIS BERBUKA PUASA

YB Limus menyampaikan ucapan ringkas sebelum majlis berbuka puasa itu.

Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Kuala Penyu, Limus Jury menghadiri majlis berbuka puasa bersama masyarakat Islam di Surau Pg. Haji Abd. Rahman Kg. Laut, Menumbok pada petang Sabtu lepas.

Walaupun berlainan agama tidak menjadi halangan bagi Adun berkenaan untuk bersama-sama rakyat beragama Islam untuk hadir berbuka puasa sebagai salah satu tanggungjawabnya kepada rakyat yang beliau wakili.

Bersama beliau ialah rombongan Upko Bahagian Beaufort termasuk dua naib ketua bahagian parti itu, Raymond Jury dan Lokman Sunggim serta setiausaha bahagian, Weldy Throp Hujie. Turut hadir ialah Naib Ketua Umno Bahagian Beaufort, Hj Pg Jaafar Pg Osman.


Seorang wakil surau menerima sumbangan yang disampaikan YB Limus.

Suatu ketika dahulu semasa menghadiri majlis berbuka puasa di surau berkenaan kebetulan bertugas dengan seorang menteri kabinet negeri, saya masih ingat keadaan surau berkenaan sangat usang kerana dibina menggunakan kayu namun keadaan itu kini telah berubah di mana surau tersebut dibina semula menggunakan konkrit.

Keadaannya lebih indah dan menyelesakan kepada para jemaah untuk menjalankan ibadah. Ini satu perkembangan terutama di bawah pemerintahan kerajaan Barisan Nasional.

Ini diakui sendiri oleh Naib Ketua Umno Bahagian Beaufort, Hj Pg Jaafar Pg Osman bahawa surau Kg Laut telah mengalami perubahan atas usaha kerajaan BN.

Dalam ucapan ringkas pada majlis itu, Adun Kuala Penyu memberi harapan kepada penduduk kampung berkenaan bahawa pihaknya akan mencadangkan kepada pihak kerajaan supaya menjadikan Kg Laut sebagai perkampungan atas air yang lebih tersusun pada masa hadapan.

"Ini akan kita usahakan selain berusaha menyediakan pembangunan lain khususnya di daerah kecil Menumbok," katanya.

Serentak dengan itu, Limus juga meluluskan peruntukan sebanyak RM20,000 untuk kerja-kerja pemasangan perangkap sampah di perkampungan air itu.

Beliau juga kemudian menyampaikan sumbangan kepada masjid dan surau bagi daerah kecil Menumbok.
YB Limus bersama pemimpin parti dan masyarakat setempat ketika majlis berbuka puasa itu.