Selasa, 18 Ogos 2015

MP SABAH NAFI TERBABIT KOMPLOT GULING KERAJAAN

Sekurang-kurangnya enam Anggota Parlimen dari Sabah yang dikaitkan dengan dakwaan terbabit dalam komplot untuk menggulingkan kerajaan menafikan pembabitan mereka dan menegaskan bahawa mereka masih setia menyokong kerajaan Barisan Nasional (BN).

Empat daripada mereka ialah MP Umno -  Datuk Bung Moktar Radin (Kinabatangan), Datuk Jumat Idris (Sepanggar), Datuk Abdul Rahim Bakri (Kudat) dan Raime Unggi (Tenom). Dua lagi ialah Datuk Dr Ewon Ebin (Ranau) dan Datuk Marcus M. Mojigoh (Putatan), kedua-duanya dari Upko.


Datuk Bung Moktar (Kinabatangan).

Datuk Abd. Rahim Bakri (Kudat).

Datuk Jumat Idris (Sepanggar).

Raime Unggi (Tenom).

Anggota Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin kesal kerana nama beliau dikaitkan antara pemimpin yang terbabit dalam komplot tersebut.

Katanya, beliau tidak tahu menahu wujudnya gerakan seperti itu sehinggalah pendedahan dibuat Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

"Ini satu tuduhan yang serius dan amat dikesali. Saya tidak pernah menjadi pembelot kepada parti yang saya perjuangkan," katanya dalam satu kenyataan media.

Anggota Parlimen Sepanggar, Datuk Jumat Idris yang dikenakan penggantungan jawatannya sebagai Ketua Umno Bahagian Sepanggar sebelum ini turut menyangkal dakwaan tersebut dan menyifatkannya sebagai fitnah.

"Saya meminta supaya dakwaan wujudnya komplot ini disiasat," katanya.

Bekas Timbalan Menteri Pertahanan yang juga Anggota Parlimen Kudat, Datuk Abdul Rahim Bakri pula menyangkal sekeras-kerasnya laporan media sosial yang mengaitkan namanya bersama 19 Anggota Parlimen yang lain yang didakwa berkomplot untuk menjatuhkan kerajaan.

Katanya, laporan tersebut tidak bermoral, fitnah dan berniat untuk mencemarkan imej anggota-anggota parlimen BN.

"Tidak ada siapa yang datang untuk menemui saya apa lagi cuba berkomplot malah saya tidak menemui sesiapa sejak dua minggu lepas," katanya sambil menjelaskan dalam tempoh tersebut, beliau berada di kawasannya untuk menghadiri Program Bersama Rakyat selain melakukan urusan keluarga.

Seorang lagi Anggota Parlimen Umno bagi kawasan Tenom, Raime Unggi turut menafikan bahawa beliau terbabit dalam gerakan tersebut.

Katanya, tuduhan dan fitnah ini amat serius, boleh menjejaskan imej dan nama ahli-ahli parlimen BN," katanya.

Beliau juga telah membuat laporan polis dan meminta Kementerian Multimedia dan Komunikasi melakukan siasatan terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab menyiarkan gambar mereka yang didakwa terbabit dalam komplot tersebut di media sosial.

Datuk Dr Ewon Ebin (Ranau).

Datuk Dr Marcus Mojigoh (Putatan).

Sebuah parti komponen BN, Upko menyifatkan sebagai tidak berasas dakwaan dua Anggota Parlimennya, Datuk Dr Ewon Ebin (Ranau) dan Datuk Dr Marcus Mojigoh (Putatan) terlibat dalam komplot tersebut.

Pemangku Presidennya, Datuk Wilfred Madius Tangau, berkata tuduhan itu seolah-olah cuba memperkecilkan parti serta kesetiaan pemimpinnya terhadap kepimpinan BN.

Menurut Wilfred yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, dakwaan pembabitan Ewon dan Marcus, kedua-duanya naib presiden yang tersebar di laman sosial adalah tidak benar.

Malah Marcus dalam satu kenyataan berasingan menyatakan rasa terkejut dengan tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab meletakkan gambarnya sebagai salah seorang yang tersenarai dalam komplot untuk menggulingkan kerajaan.

Dengan nada berang, beliau berkata, "Ini kerja orang gila."

Ekoran itu, Anggota Parlimen Putatan berkenaan telah membuat laporan polis di Balai Polis Karamunsing pada Isnin, meminta supaya dakwaan tersebut disiasat sepenuhnya.

Baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan mengenai wujudnya usaha-usaha individu tertentu untuk menggulingkan kerajaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan