Selasa, 1 September 2015

ISMAIL SABRI PERJELAS BERHUBUNG DERMA UNTUK PARTI

Dato' Seri Ismail Sabri (empat dari kiri) ditemuramah wartawan selepas merasmikan Mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Beluran.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Dato' Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, rakyat terutama orang Melayu dan Bumiputera perlu mempertahankan kerajaan yang sedia ada bagi mengelak ia jatuh kepada pembangkang.

Katanya, mereka tiada pilihan sebaliknya bersatu untuk mempertahankannya jika mereka tidak inginkan pemimpin DAP memegang jawatan Perdana Menteri.

Menurut beliau, dalam perlembagaan negara tiada disebut kaum Melayu sahaja boleh menjadi Perdana Menteri, ini bermakna pemimpin dari kaum Cina juga boleh menjadi Perdana Menteri Malaysia.

"Yang ada disebut ialah mana-mana parti politik yang mempunyai majoriti kerusi di Parlimen boleh memegang jawatan tertinggi dalam negara itu."

"Maknanya jika pembangkang memenangi pilihan raya umum, maka pemimpin DAP seperti Lim Kit Siang atau Lim Guan Eng boleh menjadi Perdana Menteri," katanya ketika merasmikan Mesyuarat perwakilian Umno Bahagian Beluran di Dewan Masyarakat Sandakan, di sini.

Umno bahagian ini yang diketuai Datuk James Ratib berikrar sebulat suara memberi sokongan terhadap kepimpinan Presiden Umno yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.


Dato' Seri Ismail Sabri bersama Datuk James Ratib (kanan beliau) dan Adun Kuala Penyu, YB Limus Jury (kanan sekali).

Ismail Sabri yang juga Anggota Majlis Tertinggi Umno menjelaskan orang Melayu dan Bumiputera sewajarnya menyedari perkara ini dan bersatu untuk mempertahankan maruah mereka.

Katanya, demonstrasi yang dilakukan Bersih 4.0 adalah untuk menumbangkan kerajaan yang dipilih oleh rakyat secara demokrasi

"Majoriti peserta demontrasi adalah kaum Cina hanya sedikit orang Melayu terlibat. Berdasarkan ini agenda mereka amat jelas untuk menumbangkan kerajaan dan menyingkirkan kepimpinan Melayu yang sedia ada," katanya.

Mengenai derma kepada Umno yang menjadi isu sekarang, Ismail Sabri berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak lagi mahu bergantung kepada sumbangan derma daripada golongan korporat kaum Cina seperti sebelum ini.

Katanya, pada masa lalu, golongan korporat Cina ini biasanya akan tampil membantu setiap kali pilihan raya.

"Dan selepas pilihan raya, golongan ini akan datang semula kepada kerajaan dan sudah tentu mereka mengharapkan sesuatu ganjaran terhadap sumbangan mereka dan keadaan ini berterusan."

"Perdana Menteri ingin melakukan perubahan dan ingin mengelak kebergantungan ini, maka derma dari luar diterima untuk parti dalam menghadapi pilihan raya", ujar beliau.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan