Isnin, 26 Oktober 2015

AKSI BEKAS BINTANG-BINTANG SABAH BAKAL MERIAHKAN FINAL PIALA ADUN K. PENYU



HASSAN SANI...lagenda bolasepak negara beraksi untuk
pasukan Mix ADUN Kuala Penyu.
SUHARMIN...turut beraksi dalam pasukan tuan rumah.

KUALA PENYU: Pasukan Vista FC akan bertemu pasukan Real Vista pada perlawanan akhir Kejohanan bolasepak Piala ADUN Kuala Penyu, Limus Jury di padang pekan di sini Jumaat ini, jam 8.15 malam.

Vista FC menempah tiket ke perlawanan akhir setelah menewaskan pasukan Palu-Palu FC 2-0 di separuh akhir manakala Real Vista melayakkan diri ke pusingan itu selepas menumpaskan pasukan Gakupe FC 4-2.

Sebanyak lapan pasukan terbaik dipilih untuk bersaing bagi Piala ADUN itu melalui Kejohanan Liga SAFA Kuala Penyu yang julung kalinya diperkenalkan tahun ini.

Vista FC merupakan juara liga kejohanan tersebut.

Timbalan Presiden SAFA daerah Kuala Penyu, Fredolin Penggo, berkata, kejohanan itu merupakan aktiviti badan itu bagi menyemarakkan semula sukan bolasepak di daerah ini di samping untuk mencungkil bakat-bakat baru untuk mewakili pasukan daerah.

"Kita berharap ramai pemain-pemain muda dapat diketengahkan melalui kejohanan ini bagi membentuk pasukan daerah."

"Ini sebagai persiapan untuk menghadapi Kejohanan Piala Ketua Menteri dan Sukan Sabah (SAGA) dua tahun dari sekarang," katanya ketika ditemui di sini.


YB Limus Jury (dua dari kiri) akan mengetuai pasukan Mix ADUN Kuala Penyu bersama rakan sepasukan Lokman Sunggim (kiri sekali), bekas kapten skuad Sabah, Ahman Omar Khan (dua dari kanan) dan Jon J. Jinsit.

Fredolin yang juga pengerusi penganjur kejohanan itu memberitahu, bagi memeriahkan perlawanan akhir, satu perlawanan bolasepak persahabatan antara pasukan Mix ADUN Kuala Penyu dengan pasukan bekas-bekas pemain Sabah (Sabah Mix) akan diadakan di padang pekan jam 4.15 petang.

Katanya, dua bekas penyerang negara, Hassan Sani dan Suharmin Yusof selain bekas pemain negeri Zainizam Marjan dijangka akan beraksi bersama pasukan Mix ADUN Kuala Penyu menentang pasukan Sabah Mix yang membariskan bekas-bekas pemain negeri seperti Henry Anjun, Jelius Ating, Moktar Dayoh, Jekerison Kilan, Harun Laban, Andrew Laban dan Andrew Majangkim.


ZAINIZAM MARJAN...dijangka beraksi untuk pasukan Mix ADUN Kuala Penyu.

Perlawanan persahabatan ini bagi memberi peluang kepada peminat-peminat bolasepak di daerah ini dan sekitarnya menyaksikan aksi pemain-pemain yang pernah menyarung jersi skuad negeri dan kebangsaan.

Sehubungan itu, beliau mempelawa peminat bolasepak di sini supaya datang beramai-ramai menyaksikan perlawanan tersebut.




Selasa, 13 Oktober 2015

TABS LAHIRKAN PEMAIN BERBAKAT



Sebahagian pemain kanak-kanak dan remaja yang menerima bimbingan daripada TABS, bersama pegawai dan jurulatih akademi tersebut.

KOTA KINABALU: Tunas Asas Bolasepak Sabah (TABS) Safa Bandaraya akan terus berusaha menghasilkan pemain berbakat menerusi Program pembangunan akar umbi yang dijalankan setiap hujung minggu di padang Kompleks Sukan Likas, di sini.

Pengerusi TABS Safa Bandaraya, Haji Amrullah Kamal (gambar bawah), berkata program tersebut yang berjalan sejak puluhan tahun sentiasa mendapat sambutan menggalakkan ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka mendapat bimbingan daripada para jurulatih TABS.

Katanya, TABS merupakan antara akademi bolasepak di Sabah yang banyak melahirkan pemain-pemain berbakat yang menganggotai pasukan negeri dan skuad kebangsaan sebelum ini.

Antaranya ialah penyerang kebangsaan, Rozaimi Abdul Rahman, Bobby Gonzales dan Sabri Sahar.

Sesi latihan yang dijalankan TABS setiap hujung minggu di padang Kompleks Sukan Likas.

Selain itu, katanya, beberapa bakat baru remaja yang berpotensi berjaya memasuki Sekolah Sukan Malaysia (SSM) serta Sekolah Sukan Negeri (SSN) termasuk di beberapa negeri di Semenanjung selain di Sabah sendiri.

Dua pemain SSM, Sxevier Xcico Felix, 15, (SSM Gambang, Pahang) dan Shafiq Ichwan, 15, (SSMTMI Bandar Penawar, Johor) ketika ini mewakili pasukan B-15 Malaysia manakala pelajar SSN Pulau Pinang, Mohd Hizaz Lokman, 15, mewakili skuad B-15 Pulau Pinang di Kejohanan Bolasepak B-15 Tahun Kebangsaan dan merupakan penjaring kedua terbanyak dengan sembilan gol dalam kejohanan berkenaan setakat ini.

Dalam satu kenyataan di sini, Amrullah berkata, TABS juga akan melancarkan secara rasmi persefahaman dengan CIMB Foundation tidak lama lagi yang mana persiapan akhir kerjasama sudah pun dimuktamadkan.

"Pihak kami mengucapkan penghargaan kepada CIMB Foundation kerana dengan bantuan tajaan ini akan membantu memperkemaskan lagi Program pembangunan akar umbi yang dijalankan TABS," katanya.

NAIB JUARA...pasukan B-16 TABS yang menduduki naib juara Piala Borneo 2015 bagi kategori tersebut.

Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan ibu bapa supaya menghantar anak-anak mereka yang mempunyai minat dalam sukan bolasepak dalam sesi latihan TABS setiap hujung minggu iaitu Sabtu dan Ahad.

Menurutnya, yuran pendaftaran dan bulanan yang dikenakan adalah munasabah dan ia diperlukan bagi membiayai kos sewa dua padang selain kos pengurusan lain.

"Setakat ini, sambutan ibu bapa amat menggalakkan," katanya sambil menambah, TABS mempunyai 12 jurulatih bertauliah yang diketuai Matasan Ahmad untuk mengendalikan sesi latihan.

BINCANG...Sulaiman (tengah) mempengerusikan mesyuarat AJK TABS di Stadium Likas. Turut kelihatan Timbalan Pengerusi II, Lokman Sunggim (dua dari kanan), ketua jurulatih, Matasan Ahmad (dua dari kiri), setiausaha, Dayang Juraidah dan jurulatih Roslan Wasli.
Mengenai dengan Kejohanan Piala Borneo 2015 baru-baru ini, Pengerusi TABS itu memberitahu, secara keseluruhan pencapaian TABS memuaskan termasuk menduduki naib juara kategori B-16, tempat ketiga bagi kategori B-15 dan naib juara bagi kategori B-12.

"Pasukan TABS telah membuktikan keupayaan bersaing dengan pasukan dari luar negara seperti dari Australia, Filipina dan Thailand termasuk mengalahkan pasukan berkenaan" ujar beliau.
Pemain kanak-kanak TABS yang menyertai sambutan Hari Sukan Negara, baru-baru ini. Turut kelihatan ialah Timbalan Pengerusi II TABS, Lokman Sunggim (kiri sekali), ketua jurulatih, Matasan Ahmad (topi merah), jurulatih Amsir Abdullah (kanan sekali) dan jurulatih Ahmad Ibrahim.