Isnin, 26 Oktober 2015

AKSI BEKAS BINTANG-BINTANG SABAH BAKAL MERIAHKAN FINAL PIALA ADUN K. PENYU



HASSAN SANI...lagenda bolasepak negara beraksi untuk
pasukan Mix ADUN Kuala Penyu.
SUHARMIN...turut beraksi dalam pasukan tuan rumah.

KUALA PENYU: Pasukan Vista FC akan bertemu pasukan Real Vista pada perlawanan akhir Kejohanan bolasepak Piala ADUN Kuala Penyu, Limus Jury di padang pekan di sini Jumaat ini, jam 8.15 malam.

Vista FC menempah tiket ke perlawanan akhir setelah menewaskan pasukan Palu-Palu FC 2-0 di separuh akhir manakala Real Vista melayakkan diri ke pusingan itu selepas menumpaskan pasukan Gakupe FC 4-2.

Sebanyak lapan pasukan terbaik dipilih untuk bersaing bagi Piala ADUN itu melalui Kejohanan Liga SAFA Kuala Penyu yang julung kalinya diperkenalkan tahun ini.

Vista FC merupakan juara liga kejohanan tersebut.

Timbalan Presiden SAFA daerah Kuala Penyu, Fredolin Penggo, berkata, kejohanan itu merupakan aktiviti badan itu bagi menyemarakkan semula sukan bolasepak di daerah ini di samping untuk mencungkil bakat-bakat baru untuk mewakili pasukan daerah.

"Kita berharap ramai pemain-pemain muda dapat diketengahkan melalui kejohanan ini bagi membentuk pasukan daerah."

"Ini sebagai persiapan untuk menghadapi Kejohanan Piala Ketua Menteri dan Sukan Sabah (SAGA) dua tahun dari sekarang," katanya ketika ditemui di sini.


YB Limus Jury (dua dari kiri) akan mengetuai pasukan Mix ADUN Kuala Penyu bersama rakan sepasukan Lokman Sunggim (kiri sekali), bekas kapten skuad Sabah, Ahman Omar Khan (dua dari kanan) dan Jon J. Jinsit.

Fredolin yang juga pengerusi penganjur kejohanan itu memberitahu, bagi memeriahkan perlawanan akhir, satu perlawanan bolasepak persahabatan antara pasukan Mix ADUN Kuala Penyu dengan pasukan bekas-bekas pemain Sabah (Sabah Mix) akan diadakan di padang pekan jam 4.15 petang.

Katanya, dua bekas penyerang negara, Hassan Sani dan Suharmin Yusof selain bekas pemain negeri Zainizam Marjan dijangka akan beraksi bersama pasukan Mix ADUN Kuala Penyu menentang pasukan Sabah Mix yang membariskan bekas-bekas pemain negeri seperti Henry Anjun, Jelius Ating, Moktar Dayoh, Jekerison Kilan, Harun Laban, Andrew Laban dan Andrew Majangkim.


ZAINIZAM MARJAN...dijangka beraksi untuk pasukan Mix ADUN Kuala Penyu.

Perlawanan persahabatan ini bagi memberi peluang kepada peminat-peminat bolasepak di daerah ini dan sekitarnya menyaksikan aksi pemain-pemain yang pernah menyarung jersi skuad negeri dan kebangsaan.

Sehubungan itu, beliau mempelawa peminat bolasepak di sini supaya datang beramai-ramai menyaksikan perlawanan tersebut.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan