Jumaat, 8 April 2016

KELAB SAHABAT N87 SABAH HADIRI PROGRAM BERSAMA PM DI PUTRAJAYA


KOTA KINABALU: Kelab Sahabat N87 Sabah yang dianggotai bekas ketua-ketua pemuda Umno di negeri ini akan menghantar kira-kira 80 orang mewakili kelab berkenaan menghadiri Program bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Putrajaya pada 12 April ini.

Program itu yang dikenali Majlis "Najib Razak" - Sepetang Bersama Sahabat Sezaman Pemuda akan diadakan di Hotel Everly Putrajaya bermula jam 3.00 petang dan turut dihadiri ahli-ahli kelab tersebut di Semenanjung.

Setiausaha Kelab Sahabat N87 Sabah, Junaidi Sahat (gambar atas), berkata rombongan dari Sabah akan diketuai Pengerusi kelab itu di negeri ini, Zahari Zinin, bekas Ketua Pergerakan Pemuda Umno Kimanis.

Katanya, selain daripada bekas ketua-ketua pemuda, peserta lain merupakan bekas setiausaha pemuda dan ketua penerangan pemuda bahagian.

Menurut Junaidi, majlis ini akan memberi peluang kepada ahli-ahli kelab itu dari negeri ini untuk bersama Perdana Menteri dalam satu majlis santai di samping berpeluang mendengar dan mendapat gambaran lebih jelas mengenai isu-isu semasa di negara ini.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Ranau, berkata Kelab Sahabat N87 Sabah tetap dengan pendirian tegas dan berdiri teguh untuk memberi sokongan padu kepada Perdana Menteri untuk terus memimpin negara ini.

"Datuk Seri Najib merupakan peneraju kepimpinan negara dan kami tetap setia untuk memberi sokongan padu kepada beliau dalam apa juga keadaan," katanya ketika ditemui wartawan di sini.
Junaidi menerangkan pendirian kelab itu di Sabah.

Junaidi menambah, kelab berkenaan sejak dari dahulu lagi hingga sekarang sentiasa mempunyai keyakinan dengan kepimpinan Perdana Menteri untuk terus berjuang bagi kepentingan rakyat jelata.

"Kami, bekas ketua-ketua pemuda dalam kelab ini dengan pendirian yang konsisten sentiasa berada di belakang teraju kepimpinan negara setiap masa," tegasnya.