Isnin, 7 November 2016

LIGA BOLASEPAK PIALA ADUN KUALA PENYU CUNGKIL BAKAT BARU



Limus (tujuh dari kanan) bersama Lokman (bertopi) dan ahli jawatankuasa penganjur yang lain bergambar dengan sebahagian pasukan yang mengambil bahagian dalam liga itu.

KUALA PENYU: Suasana padang pekan Kuala Penyu kembali bergema dengan kehadiran pasukan-pasukan yang mengambil bahagian dalam Liga Bolasepak Piala Adun Kuala Penyu 2016 di samping sokongan orang ramai khususnya peminat-peminat sukan bolasepak yang sentiasa menanti aktiviti sedemikian disemarakkan semula di daerah ini.

Majlis perasmian liga bagi musim kedua yang disertai 16 pasukan itu disempurnakan  Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Kuala Penyu, Limus Jury.



Limus berucap pada majlis perasmian liga.
Dalam ucapan perasmiannya, Limus berkata, pihaknya akan sentiasa memberi sokongan terhadap usaha mengaktifkan aktiviti bolasepak di daerah ini dan akan bekerjasama dengan SAFA Kuala Penyu untuk tujuan itu.

Katanya, sebagai langkah permulaan, pihaknya memutuskan untuk meneruskan penganjuran Liga Bolasepak Piala Adun Kuala Penyu untuk dorongan kepada golongan belia bergiat cergas dalam aktiviti sukan bolasepak yang mempunyai ramai peminat.

Katanya, sukan bolasepak sangat diminati dan inisiatif menganjurkan liga ini sebagai memenuhi aspirasi belia-belia agar mereka mempunyai ruang untuk aktif dalam sukan berkenaan.

"Melalui liga ini, kita akan mengenal pasti dan mencungkil bakat-bakat baru untuk diketengahkan dalam pasukan daerah," katanya sambil mengingatkan pemain-pemain yang terbabit sepanjang liga supaya menunjukkan mutu permainan yang baik dan mengutamakan disiplin.

Menurut beliau, pihaknya mahu melihat kejohanan anjuran Pejabat Perhubungan Adun Kuala Penyu dan tajaan Yayasan Pendidikan LImus Jury itu memberi pendedahan yang luas kepada pemain-pemain supaya mereka yang berbakat dan berpotensi besar berpeluang untuk pergi lebih jauh.

Limus berharap semua pasukan bertanding dengan semangat kesukanan yang tinggi dan mempamerkan corak permainan berkualiti yang mampu menghiburkan penonton.

"Harapan saya liga ini akan berjalan baik dengan pemain-pemain menunjukkan disiplin supaya ia dapat kita terus tahun hadapan dengan tawaran ganjaran yang lebih lumayan," ujarnya.



Pasukan-pasukan yang mengambil bahagian.
Sebagai tanda rasminya liga tersebut, Adun Kuala Penyu berkenaan  melakukan sepak mula perlawanan pembukaan antara pasukan MDKP bertemu pasukan Kitang FC.

Terdahulu, Limus menyampaikan sumbangan jersi kepada 16 pasukan yang mengambil bahagian.



 Sementara itu, Pengerusi penganjur, Lokman Sunggim (gambar) ketika ditemui di sini memberitahu, pasukan-pasukan dibahagikan kepada empat kumpulan dan perlawanan akan dijalankan setiap hujung minggu pada Sabtu dan Ahad.

Liga kali ini dijangka berakhir pada 31 Disember ini.

Katanya, jawatankuasa penganjur juga telah mewujudkan sebuah panel pemilihan bagi mengenal pasti pemain-pemain terbaik sepanjang liga itu untuk disyorkan nama mereka kepada SAFA daerah Kuala Penyu untuk dipertimbangkan bagi pembentukan pasukan daerah.

Kuala Penyu perlu menyediakan pasukan sebagai persiapan bagi menghadapi Kejohanan bolasepak Piala Ketua Menteri dan Sukan Sabah (SAGA) tahun hadapan.

Beliau juga mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada Adun kawasan Kuala Penyu, Limus Jury kerana mengambil inisiatif untuk meneruskan penganjuran liga tersebut yang mula diadakan tahun lalu.

"Ini satu usaha yang baik untuk menyemarakkan kembali aktiviti bolasepak di Kuala Penyu yang sangat ditunggu-tunggu oleh peminat-peminat sukan itu di daerah ini," tegasnya.



Limus menyampaikan sumbangan jersi kepada salah seorang pengurus pasukan.
Beliau percaya wakil rakyat berkenaan yang juga merupakan seorang pemain bolasepak  di zaman remajanya sentiasa  berusaha membantu menggerakkan aktiviti bolasepak di Kuala Penyu.

“Semua ini bermula dari kesedaran semua pihak untuk menggerakkannya dan para pemimpin perlu menjadi tenaga penggerak yang berkesan.”

“Dengan itu, kegiatan bolasepak akan dapat disemarakkan dengan menarik perhatian serta pembabitan lebih ramai golongan belia yang sememangnya sangat meminati sukan nombor satu ini,” katanya.

Gambar bawah; Limus dan ahli jawatankuasa penganjur bergambar bersama pasukan MDKP dan pasukan Kitang FC sebelum perlawanan pembukaan liga itu. Tengah; Menyerahkan jersi kepada wakil salah sebuah pasukan. Bawah sekali; Limus melakukan sepak mula sebagai tanda perasmian perlawanan pembukaan.