Isnin, 9 Januari 2017

SKUAD BELIA SABAH 2017 SASAR PENCAPAIAN LEBIH BAIK MUSIM INI



Para pemain Skuad Piala Belia Sabah 2017 selepas menjalani latihan pusat di Kompleks Sukan Likas.
Skuad Piala Belia Sabah 2017 menyasarkan pencapaian lebih baik dalam Kejohanan Piala Belia musim ini sekali gus berazam melepasi prestasi musim lalu layak ke pusingan suku akhir.

Pengurus pasukan, Mohd Yassin Aman, berkata pihaknya yakin bahawa Skuad Piala Belia Sabah mampu melakukannya dengan adanya pemain-pemain baharu yang berbakat yang berkeupayaan menggalas peranan yang diberikan.

Katanya, walaupun ramai pemain-pemain  musim lalu dinaikkan ke Skuad Liga Simpanan Sabah namun pemain-pemain baharu yang terdiri daripada bakat-bakat muda boleh menjadi sandaran mereka.

"Kita bukan sahaja mensasarkan peringkat suku akhir yang dicapai tahun lepas tetapi kita akan berusaha untuk menjangkau ke pusingan lebih tinggi," katanya sambil menambah ini bukan satu tekanan kepada pemain-pemain baharu dalam pasukan itu.

Pengurus pasukan, Mohd Yassin Aman (kiri sekali) bersama Jelius, Awang Sabtu dan pegawai pasukan yang lain.
Yassin menyatakan perkara itu selepas 30 pemain Skuad Piala Belia Sabah 2017 selesai menandatangani kontrak dengan Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) di pejabat badan itu di Likas, minggu ini.

Turut hadir pada majlis itu Timbalan Presiden II SAFA, Datuk Lawrence Gimbang.

Senarai 30 pemain Skuad Piala Belia Sabah 2017; Mohd Ramzie Mustakim, Junloyck Pini, Joslan Aping, Jeniun Karib, Mohd Shahriman Mukarim, Shahrul Asnan, Evan Wensley Wenceslaus, Mohd Syahmil Nizam Iqbal Khan, Pican Piok, Gerald Gadit, Kelvin Pengiran, Mohd Naaim Firdaus Stibin, Leonardo Lisua, Mohd Fakruazi Ahmad, Syafiq Ikhwan Saiman, Aidil Safee, Mohd Aidil Shahrolmizan Asimin, Adi Ali, Mohd Syukri Baharun, Mohd Aidil Muhimian, Muhammad Amirul Afiq Ali, Asri Rustam, Beckham Rico Louisee, Mohd Suzairee Samail, Mohd Hizaz Lokman, Mohd Iqbal Kassim, Mohd Shah Mizie Abdul Rahim, Arius Dius Jais, Ellend Child Henry dan Mohd Shahrul.

Dua daripada pemain tersebut, Mohd Hizaz dan Shafiq Ikhwan, kedua-dua berusia 16 tahun ketika disenaraikan merupakan pemain termuda dalam skuad berkenaan dan menyambut ulang tahun mereka yang ke-17 tahun ini.

Pemain lain merupakan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berusia 17, 18 dan 19 tahun.

Jurulatih skuad musim lalu, Jelius Ating (gambar) dan penolongnya Awang Sabtu Jamil dikekalkan untuk mengendalikan skuad tersebut musim ini. Beberapa pegawai yang lain turut dikekalkan.

Dalam perkembangan berkaitan, Yassin memberitahu, Skuad Piala Belia dan Skuad Liga Simpanan Sabah sudah mengesahkan penyertaan dalam Kejohanan Jemputan Empat Penjuru yang akan diadakan di Kompleks Sukan Beaufort dijadualkan pada 22-24 Januari ini.

Katanya, dua lagi pasukan yang mengambil bahagian ialah Skuad Piala SAGA Beaufort dan Bingkul FC.