Rabu, 1 Februari 2017

SKUAD PIALA BELIA SABAH DI LANDASAN YANG BETUL: PENGURUS

Barisan pemain Skuad Piala Belia Sabah 2017.
  
Skuad Piala Belia Sabah setakat ini menunjukkan prestasi baik dalam beberapa perlawanan persahabatan yang diharunginya sebagai persiapan akhir bagi menghadapi Kejohanan Piala Belia yang dijadual bermula pertengahan bulan ini.

Pada cuti tahun baharu Cina baru-baru ini, pasukan itu bertandang ke Pedalaman dalam misi mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan B23 Tenom dan pasukan LBR Keningau.

Skuad Piala Belia berjaya memenangi kedua-dua perlawanan persahabatan itu, menang ke atas pasukan B23 Tenom 5-1 dan menewaskan pasukan LBR Keningau 3-1.

Dalam perlawanan dengan pasukan Tenom, gol-gol skuad Piala Belia diperoleh melalui Adi Ali, Mohd Suzairee Samail, Syafiq Ikhwan Saiman dan Mohd Hizaz Lokman. Manakala Arius Dius Jais menjaringkan dua gol dalam perlawanan dengan pasukan LBR Keningau dan satu gol lagi dijaringkan Leonardo Lisua.

Skuad Piala Belia ketika menentang pasukan LBR Keningau.

Sebelum ini, skuad kendalian jurulatih Jelius Ating itu turut mencatat tiga kemenangan dalam perlawanan persahabatan di Kota Kinabalu ketika menentang Sporting Kinabalu, Mamai United dan pasukan Papar.

Mengulas kejayaan dalam misi ke Pedalaman, Pengurus pasukan, Mohd Yassin Aman, berkata kedua-dua perlawanan persahabatan itu memberi pengalaman baik kepada para pemain dan jurulatih.

Katanya, menerusi perlawanan tersebut membolehkan jurulatih meneliti aspek yang perlu diperbaiki dalam pasukan yang kini di peringkat akhir persiapan menghadapi musim baru.

"Secara keseluruhan saya gembira dengan perkembangan prestasi pasukan dan kita juga masih ada ruang jika ada aspek tertentu yang perlu diperbaiki," ujarnya.

Beliau berkata pihaknya juga merancang untuk mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan-pasukan yang lebih berkualiti bagi memantapkan pasukan sebelum kempen musim baru bermula.

Berdasarkan prestasi pasukan sehingga ini, Yassin berkata, mereka berada di landasan yang betul dalam melakukan persiapan menghadapi musim baru tahun ini.