Rabu, 24 Mei 2017

SKUAD PIALA BELIA SABAH MAMPU PERBAIKI PENCAPAIAN MUSIM LALU

Skuad Piala Belia Sabah selepas satu perlawanan di Stadium Penampang. (Foto SFFC). 

Skuad B19 Sabah mampu meningkatkan pencapaian mereka musim lalu sekiranya pasukan muda itu memanfaatkan peluang untuk meraihkan kemenangan dalam baki empat perlawanan mereka dalam pusingan kedua Kumpulan B Piala Belia musim ini.

Skuad bimbingan jurulatih Awang Sabtu Jamil itu tidak akan menghadapi sebarang perlawanan dalam jangka masa sebulan lebih berikutan bulan Ramadan dan hanya akan disambung pada 2 Julai ini.

Empat baki perlawanan mereka termasuk tiga berlangsung di tempat sendiri iaitu menentang pasukan SSTMI-16 pada 2 Julai ini, melawan Perlis pada 9 Julai dan menghadapi Felda United pada 30 Julai.

Satu lagi perlawanan yang akan diadakan di luar ialah menentang Selangor pada 12 Julai.
Berdasarkan kelebihan bermain tiga perlawanan di tempat sendiri, Sabah yang menduduki tempat ketiga dalam kedudukan liga dengan mengutip 19 mata setakat ini mempunyai peluang cerah untuk merebut salah satu tempat ke suku akhir tahun ini.

Tahun lepas, Sabah berjaya melayakkan diri ke suku akhir namun terkandas dalam pemburuan tempat ke separuh akhir dengan kekalahan tipis kepada Kelantan.

Peristiwa tersebut mungkin akan menjadi ikhtibar kepada Sabah sekali gus menjadi perangsang kepada pengurusan pasukan untuk memastikan Sabah akan terus mara untuk memperbaiki pencapaian musim lalu.
Yassin (tengah) dan Awang Sabtu (kanan sekali) bersama beberapa pemain Skuad Piala Belia Sabah.

Sebagaimana keyakinan Pengurus pasukan, Mohd Yassin Aman yang dizahirkan di awal musim saingan, Skuad B19 Sabah sudah tentu berupaya merealisasikan impian untuk melangkah lebih jauh selagi mereka mampu mengekalkan momentum yang ada dalam pasukan sekarang.

Tempoh rehat yang panjang turut memberi ruang kepada jurulatih Awang Sabtu untuk memantapkan keserasian pemain dalam pasukan di samping merangka strategi terbaik bagi meraih mata dalam baki empat perlawanan yang akan diharungi selepas perayaan Hari Raya Aidilfitri nanti. 

Kita ucapkan selamat berjuang kepada mereka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan