Khamis, 14 Disember 2017

SKUAD PIALA PRESIDEN SABAH 2018 DIUJI DALAM PERLAWANAN PERSAHABATAN

Skuad Liga Simpanan Sabah 2018 akan meneruskan latihan pada 18 Disember ini untuk persiapan menghadapi Liga Piala Presiden musim 2018 yang dijadualkan bermula pada Februari hadapan. 

Mereka menjalani latihan intensif lebih awal dari jadual asal selama seminggu khusus untuk menghadapi perlawanan persahabatan dengan PPLM Bina Sentra, sebuah pasukan dari negara jiran Indonesia.

Dalam tempoh yang singkat itu memaksa jurulatih Johnny Dominicus mencari keserasian bagi menganggotai kesebelasan utama dalam pasukan, yang rata-rata muka baru yang dinaikkan dari skuad Piala Belia Sabah musim lalu untuk bergandingan dengan beberapa pemain Piala Presiden musim lalu yang dikekalkan.


Skuad Piala Presiden Sabah 2018 bersama Pengurus pasukan, Yassin Aman (tiga dari kanan) dan jurulatih Johnny Dominicus (dua dari kanan).

Pasukan baru berkenaan mengadakan dua perlawanan persahabatan dengan pasukan tempatan termasuk pasukan Penjara Sabah yang merupakan juara Piala Ketua Pengarah Jabatan Penjara Malaysia tahun ini menyaksikan skuad Piala Presiden Sabah seri 1-1 dengan pasukan tersebut.

Satu lagi perlawanan persahabatan ialah melawan pasukan Kota Marudu di mana skuad Piala Presiden Sabah berjaya menumpaskan lawan mereka itu dengan jaringan 13-0.

Dengan persiapan yang terbatas itu jurulatih Johnny Dominicus yang mengambil alih tugas membimbing skuad Piala Presiden Sabah daripada jurulatih Justin Ganai, tidak menaruh harapan yang tinggi apabila turun menentang PPLM Bina Sentra Indonesia yang sudah menyediakan pasukan itu sejak lebih dua tahun lepas.


Babak dalam perlawanan dengan PPLM Bina Sentra Indonesia.

"Secara rasionalnya tiada yang terlalu tinggi kita boleh harapkan dengan pasukan kita yang baru menjalani latihan dalam tempoh seminggu. Namun ini akan memberi pendedahan dan pengalaman kepada pemain-pemain terutama dalam berhadapan dengan sebuah pasukan yang lebih bersedia," katanya.

Dalam perlawanan persahabatan dengan PPLM Bina Sentra, skuad Piala Presiden tewas 0-2 dan ia akan memberi ruang kepada pasukan untuk memperbaiki kelemahan dan kekurangan sebelum bermulanya saingan Liga Piala Presiden musim hadapan.

Selepas perlawanan dengan PPLM Bina Sentra, para pemain terbabit diberikan cuti rehat kira-kira seminggu terutama memberi peluang kepada pemain dari luar Kota Kinabalu untuk kembali ke daerah masing-masing sebelum kembali ke kem latihan.

Sasaran pasukan baru Piala Presiden Sabah 2018 bukan sekadar meningkatkan pencapaian mereka dalam Liga Piala Presiden musim hadapan tetapi yang lebih mustahak ialah dapat menyediakan pemain-pemain pelapis yang terbaik yang boleh diserapkan ke dalam pasukan Liga Malaysia pada masa akan datang.
Pegawai-pegawai PPLM Bina Sentra Indonesia dan pejabat Konsulat Republik Indonesia di Sabah mengabadikan kenangan bersama pemain legenda negara, Datuk James Wong (kiri sekali) dan Datuk Hassan Sani (tiga dari kanan).