Sabtu, 17 November 2018

ALIJUS LETAK JAWATAN PRESIDEN SAFA ...tamparan hebat kepada sukan b-sepak negeri

Sukan bolasepak di negeri ini menghadapi tamparan hebat ekoran peletakan jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA), Alijus Sipil (gambar) selepas tiga bulan menerajui badan bolasepak itu.

Difahamkan beliau telah mengemukakan surat peletakan jawatan itu awal minggu ini.

Alijus mengesahkan perkara tersebut kepada akhbar New Sabah Times, yang menyiarkan berita peletakan jawatannya sebagai tajuk utama halaman sukan akhbar itu, hari ini.

Beliau memberi alasan mengambil keputusan itu kerana ingin menumpukan perhatian terhadap tugasnya sebagai Presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT).

Bagaimanapun, kepimpinan SAFA difahamkan belum memanggil mesyuarat untuk memutuskan pendirian yang diambil Presiden mereka itu.

Para penganalisis sukan mengibaratkan situasi SAFA ketika ini seperti kapal yang mahu tenggalam tanpa pengemudi.

Perkembangan terbaru ini tidak syak lagi boleh menjejaskan persediaan Sabah untuk menghadapi Liga Perdana, Piala Presiden dan Piala Belia musim depan sekiranya tiada usaha dilakukan pihak kerajaan negeri untuk membantu menyelamat badan bolasepak berkenaan.

Ketiga-tiga pasukan tersebut difahamkan akan memulakan persiapan selewat-lewatnya pada penghujung bulan ini iaitu sebaik sahaja selesainya saingan grand final Piala SAFA 2018 bermula 19 November hingga 24 November ini.

Sebelum ini, Haji Hamid Apdal, adik Ketua Menteri, Datuk Shafie Apdal juga meletakkan jawatan sebagai Timbalan Presiden 1 selepas empat hari memenangi jawatan tersebut.

Namun begitu, difahamkan Anggota Majlis Tertinggi SAFA dalam mesyuaratnya menolak peletakan jawatan beliau yang bermakna Hamid, 52, masih kekal sebagai Timbalan Presiden 1 bersama Datuk Rahman Zakaria selaku Timbalan Presiden II.
                                         Laporan akhbar New Sabah Times.

Rabu, 3 Oktober 2018

SABAH BURU KE FINAL PIALA MALAYSIA

Jurulatih Jelius Ating menyatakan sesuatu kepada kapten Rawilson Batuil.

Selepas 11 tahun berlalu, Sabah kembali ke pentas saingan Piala Malaysia, detik yang sangat dinanti-nantikan oleh peminat-peminat bolasepak Sabah.

Kejayaan melangkah ke separuh akhir mengetepikan pasukan Kelantan di suku akhir mengembalikan keyakinan para penyokong yang sekian lama dahagakan kemenangan.

Meskipun tewas 1-2 di Kelantan dan menang 1-0 di Stadium Likas memadai buat Sabah, pasukan Liga Perdana menempah tiket ke separuh akhir berdasarkan peraturan permainan dengan kelebihan tanpa bolos di tempat sendiri.

Sabah akan menghadapi Perak di separuh akhir pertama di Stadium Perak di Ipoh pada 7 Oktober ini dan melayan kunjungan lawan di separuh akhir kedua di Stadium Likas pada 21 Oktober ini.

Jurulatih Sabah, Jelius Ating menyifatkan kejayaan itu sebagai membuka peluang kepada pasukan untuk mencipta sesuatu yang istimewa dalam saingan kali ini.

Peluang sekarang terbuka untuk kami melangkah ke final. Soalnya sekarang apa yang kami mesti lakukan untuk dapat menempuhi halangan ke sana, katanya.

"Kami perlu meneliti kelemahan yang ada. Kami harus mengenal pastinya dan cuba untuk meningkatkan keupayaan dan kualiti permainan jika ingin pergi jauh dalam saingan ini," ujar beliau.

Menurut jurulatih itu, komitmen yang ditunjukkan pasukan selain sokongan padu lebih 20,000 penonton dalam perlawanan suku akhir di Stadium Likas merealisasikan harapan untuk mengatasi Kelantan.
Bekas pemain legenda negara, James Wong (gambar) berharap Sabah akan meneruskan cabaran mereka apabila bertemu Perak di separuh akhir secara timbal balik.

"Secara terus terang sebenarnya saya tidak menjangka Sabah pergi lebih jauh. Apabila mereka layak ke saingan Piala Malaysia, pada saya ia sudah satu bonus untuk mereka," katanya.

"Mereka sampai ke tahap ini, ia adalah pencapaian hebat mengambil kira mereka berada dalam kumpulan kuat yang antaranya dianggotai Pahang dan Selangor," tambah beliau.

Beliau percaya Sabah mampu melakukan yang terbaik untuk mara ke perlawanan akhir buat kali keempat.

Sebelum ini, Sabah pernah melayakkan diri ke final Piala Malaysia pada 1996, 2002 dan 2003.
Para penyokong Sabah yang membanjiri Stadium Likas mengibarkan bendera memberi sokongan padu kepada pasukan.


Selasa, 11 September 2018

EMPAT PEMAIN SABAH KINI DALAM SKUAD KEBANGSAAN

Rawilson (dua kiri) dan Azzizan (kanan sekali). 

Sejak kebelakangan ini, pemain-pemain Sabah mula mendapat perhatian para jurulatih skuad kebangsaan selepas beberapa tahun tidak berpeluang menyertai pasukan negara.

Sehingga ini, empat pemain termasuk dua pemain senior, Rawilson Batuil dan Azzizan Nordin mendapat tempat dalam skuad Harimau Malaya kendalian jurulatih, Tan Cheng Hoe.

Dua lagi pemain ialah Evan Wensley Wenceslaus dalam skuad B21 kebangsaan dan Gerald Gadit skuad B19 kebangsaan.

Rawilson, kapten pasukan Sabah dan Azzizan, pemain tengah beraksi dalam skuad kebangsaan menentang Kemboja dalam perlawanan persahabatan antarabangsa yang berkesudahan dengan kemenangan memihak Malaysia 3-1.

Kedua-dua pemain berkenaan memberi sumbangan bermakna dalam perlawanan tersebut meskipun ia merupakan penampilan pertama nmereka dalam skuad kebangsaan.

Menurut penganalisis bolasepak, kedua-dua pemain terbabit wajar terus diberi peluang dalam skuad Harimau Malaya dalam perlawanan persahabatan lain selepas ini sebelum menghadapi Kejohanan Piala AFF Suzuki.

Pemain bek tengah, Rawilson dilihat membentuk gandingan baik bersama Shahrul Saad untuk mengemudikan benteng pertahanan.

Meskipun kurang berpengalaman beraksi di peringkat antarabangsa, kapten Sabah itu mempunyai potensi baik untuk menggalas tanggungjawab bagi mengukuhkan pertahanan skuad negara.

Manakala Azzizan yang dimasukkan di babak separuh masa kedua turut memperlihatkan keupayaan mengawal bahagian tengah dengan baik selepas menggantikan tempat Nasir Bashiruddin.
Dua pemain muda, Evan (atas) dan Gerald dijangka terus dapat memberi khidmat kepada skuad kebangsaan selepas jurulatih Bojan Hodak sudah memberi mereka peluang beraksi dalam kejohanan-kejohanan yang disertai Malaysia sebelum ini.

Ekoran laluan yang dirintis pemain-pemain ini, tidak mustahil akan ada lagi pemain-pemain berbakat dari Negeri Bawah Bayu akan mendapat peluang untuk dipanggil menyertai skuad kebangsaan selepas ini.
 Gerald...skuad B19 kebangsaan.

Rabu, 5 September 2018

LIMA PEMAIN SKUAD SENIOR DAPAT PELEPASAN SERTAI SKUAD SUKMA SABAH

Skuad SUKMA Sabah 2018 bersama jurulatih Johnny Dominicus (kiri sekali barisan tengah) dan Pengurus pasukan, Benedict Asmat.

Skuad bolasepak SUKMA Sabah boleh menarik nafas lega kerana dapat menggunakan khidmat lima pemain yang berdaftar dalam skuad senior untuk menghadapi perlawanan bolasepak Sukan Malaysia (SUKMA) di Perak pada 14-22 September ini.

Mereka ialah Hamran Peter, Evan Wensley Wenceslaus, Sakri Masri, Mohd Aidel Safee dan Stanley Sulong.

Hamran dan Evan yang sebelum ini dalam senarai jurulatih skuad senior, Jelius Ating terutama dalam perlawanan saingan Piala Malaysia sudah disahkan mendapat pelepasan daripada jurulatih berkenaan.

Pengurus skuad SUKMA Sabah, Benedict Asmat mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada Pengurus skuad Liga Perdana, Datuk Juil Nuatim dan Jelius kerana memberi pelepasan kepada kelima-lima pemain terbabit untuk menganggotai skuad SUKMA Sabah.

Untuk rekod, skuad senior sudah pun mengesahkan tempat ke pusingan suku akhir Piala Malaysia.

Menurut Benedict, skuad SUKMA Sabah mempunyai sasaran untuk berusaha mengutip pingat emas dalam Sukan Malaysia tahun ini.

"Sasaran kita kalau boleh untuk berusaha mengutip pingat emas kali ini," katanya ketika ditemui di sini.

Walaupun dengan kehadiran lima pemain terbabit, Benedict yang juga Naib Presiden SAFA bagaimanapun menjangka jalan masih berliku buat pasukannya untuk mencapai sasaran tersebut.

Oleh kerana itu, beliau mahu pasukan kendalian jurulatih Johnny Dominicus ini sentiasa bersama sebagai satu keluarga besar.

"Kita perlu beraksi sebagai sebuah pasukan yang besar. Jika kita dapat melaksanakannya sudah tentu kita mempunyai peluang untuk melakukan yang terbaik," katanya.
Para pemain selepas selesai upacara penyerahan bendera Sabah oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Shafie Apdal kepada kontinjen Sabah.

Begitu pun pengurus pasukan itu masih mempunyai kerisauan terutama apabila beberapa pemain utama masih mengalami kecederaan. Sekurang-kurangnya tiga pemain - Mohd Zakri Sapri, Kelvin Pengiran dan Eddy Ladius masih cedera ketika ini.

Beliau berharap tahap kecederaan mereka akan beransur baik dan dapat beraksi dalam beberapa perlawanan pada sukan tersebut.

Sabah berada dalam Kumpulan C bersama Pulau Pinang dan Melaka.

Skuad itu dianggotai Sakri Masri, Joslan Aping, Ranilson Batuil, Mohd Syahmil Nizam Igbal, Kevin Pengiran, Mohd Zaki Sapri, Eddy Ladius, Mohd Syukri Baharun, Adi Ali, Mohd Armizan Ruslih, Ariusdius Jais, Fredric Fadzly Gusmia, Mohd Shahriman Mukarim, Evan Wensley Wenceslaus, Hamran Peter, Mohd Aidel Safee, Stanley Sulong, Mohd Hizaz Lokman dan Gerald Gadit.

Selasa, 4 September 2018

BERI PELUANG KEPIMPINAN SAFA LAKSANA TUGAS - KM

Shafie diperkenalkan kepada pemain skuad bolasepak SUKMA Sabah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Shafie Apdal berkata, kepimpinan Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA) yang diterajui Presiden baharu, Alijus Haji Sipil harus diberi peluang untuk menjalankan tugas mereka.

Menurutnya, beliau tidak akan membuat sebarang ulasan.

"Ia adalah proses demokratik dan jawatankuasa baharu itu telah dipilih oleh perwakilan. Di pihak kerajaan, kami akan cuba mempercepatkannya sebaik yang boleh," katanya selepas majlis penyerahan bendera kepada kontinjen SUKMA Sabah di Kota Kinabalu, yang akan menyertai sukan itu di Perak pada 14--22 September ini.

Ketua Menteri berkata, kerajaan akan sentiasa cuba membantu badan bolasepak negeri tetapi tidak semestinya dari segi kewangan kerana SAFA perlu mengukuhkan sendiri kedudukan kewangannya.

Katanya, adalah penting persatuan itu diuruskan oleh individu yang berkeupayaan dengan pendekatan baharu untuk membangunkan sukan bolasepak.

"Duit bukan satu-satunya faktor kejayaan. Ia bukan persoalan dengan lebih banyak duit, anda boleh berjaya, kita perlu gunakan sumber yang ada."

"Kita mempunyai kemudahan latihan dan infrastruktur yang diperlukan. Saya tidak nampak bagaimana kita tidak boleh berjaya tanpa sebarang wang," katanya.

Bagaimanapun dalam era bolasepak profesional di negara ini, realitinya sumber kewangan merupakan aspek asas yang penting dalam pengurusan sesebuah pasukan terutama dalam mendapatkan khidmat pemain-pemain import yang terbaik di samping nilai pemain-pemain tempatan yang berkualiti semakin meningkat selain kos pengurusan yang lain.

Mengenai dengan perletakan jawatan adik beliau, Haji Hamid Apdal sebagai Timbalan Presiden SAFA selepas empat hari dipilih perwakilan, Shafie mengakui, beliau hanya menasihati adiknya untuk memberi laluan kepada individu yang lebih berpengalaman dalam persatuan itu.

"Saya tidak tahu berhubung perletakan jawatan itu kerana saya tiada hasrat menyekat minatnya dalam sukan itu. Ia hanya nasihat daripada saya bahawa masih ada ramai lagi orang berkeupayaan di luar sana," tegasnya.

Isnin, 27 Ogos 2018

SABAH DALAM KUMPULAN C BOLASEPAK SUKMA DI PERAK

Skuad SUKMA Sabah 2018.
Sabah disenaraikan dalam Kumpulan C acara bolasepak Sukan Malaysia (SUKMA) di Perak mulai 8 September ini.

Bersama Sabah dalam kumpulan itu ialah Pulau Pinang dan Melaka.

Perlawanan bagi Kumpulan C akan berlangsung di Stadium Mini Parit Buntar, Perak.

Sabah akan menentang Melaka pada 9 September sebelum melawan Pulau Pinang empat hari kemudian (13 September).

Jurulatih pasukan, Johnny Dominicus memberitahu, pasukannya akan dianggotai 20 pemain dan mereka sedang menjalani latihan pusat sejak minggu lepas.
Jurulatih Johnny Dominicus mengawasi pemain dalam sesi latihan.
Katanya, beliau mungkin akan melakukan sedikit rombakan dalam pasukan berikutan seorang pemain pertahanannya, Gerald Gadit mendapat panggilan semula menyertai skuad B19 kebangsaan dan dua lagi pemain, Evan Wensley (pertahanan) dan Hamran Peter (penyerang) masih diperlukan khidmatnya dalam skuad Liga Perdana Sabah dalam saingan Piala Malaysia.

"Sekiranya Evan dan Hamran tidak mendapat pelepasan jurulatih skuad Liga Perdana, Jelius Ating, tempat mereka tidak boleh digantikan. Ini bermakna kita hanya mempunyai 18 pemain yang boleh dibawa ke Perak," katanya.

Menurut Johnny yang juga jurulatih skuad Piala Presiden Sabah, latihan pusat akan diteruskan sebelum mereka berangkat ke Perak pada 6 September ini.

Naib Presiden SAFA, Benedict Asmat dilantik menjadi pengurus pasukan skuad SUKMA Sabah 2018.
Sebahagian pemain yang giat menjalani latihan sebagai persiapan menghadapi SUKMA.

Ahad, 26 Ogos 2018

KEPIMPINAN SAFA BUAT KUNJUNGAN HORMAT KETUA MENTERI MASA TERDEKAT

Alijus ketika ditemuramah pihak media. Turut kelihatan Hamid (kiri) dan Rahman (kanan).

Kepimpinan tertinggi SAFA akan mengadakan kunjungan hormat terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Shafie Apdal dalam masa terdekat, kata Presiden SAFA, Alijus Haji Sipil.

Beliau berkata, kunjungan itu bagi memperkenalkan barisan kepimpinan SAFA yang baharu di samping untuk memaklumkan kepada Ketua Menteri berhubung langkah yang akan diambil selepas pemilihan beberapa jawatan penting dalam Kongres SAFA, Sabtu lalu.

Alijus diberi mandat menerajui kepimpinan badan bolasepak itu selepas mengalahkan pencabar terdekat, Datuk Yusoff Kassim dalam pertandingan satu lawan satu.

Bekas Setiausaha Agung SAFA itu mendapat 39 undi manakala Yusoff, bekas naib presiden SAFA memperoleh 13 undi.

Alijus memberitahu, kunjungan terhadap Ketua Menteri juga adalah untuk meminta nasihat beliau selain ingin memaklumkan mengenai perancangan yang akan dilakukan SAFA untuk kejohanan-kejohanan yang bakal disertai Sabah pada musim hadapan.

'Kita juga akan memohon bantuan dari pihak kerajaan khususnya di segi dana bagi membiayai pengurusan dan pasukan," ujarnya.

Sebelum ini, beliau dilaporkan menyatakan pihaknya bersetuju dengan pandangan Ketua Menteri bahawa SAFA tidak harus terlalu bergantung kepada kerajaan.

"Selain bantuan dari kerajaan, kita juga akan berusaha untuk mencari alternatif lain bagi mendapatkan sumber dana," katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden 1 SAFA, Haji Hamid Apdal berkata, pihaknya akan membantu SAFA untuk memberi tumpuan pembangunan bolasepak di luar bandar.

Sabtu, 25 Ogos 2018

ALIJUS DIPILIH PRESIDEN SAFA YANG BAHARU

Seperti yang dijangka, bekas Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA), Alijus Haji Sipil (gambar) dipilih sebagai Presiden SAFA yang baharu dalam Kongres SAFA (Tahun 2018) di Likas Square Ballroom, petang tadi.

Beliau memperoleh 39 undi mengalahkan bekas Pemangku Presiden SAFA, Datuk Yusoff Kassim yang mendapat 13 undi. 

Bagi dua jawatan Timbalan Presiden dimenangi Haji Hamid Apdal, adik Ketua Menteri Datuk Seri Shafie Apdal dan Dato Rahman Zakaria.

Manakala bagi jawatan Naib Presiden dimenangi Datuk Juil Nuatim, pengurus pasukan Liga Perdana Sabah dan muka baru Ismail Ayub.

Dua Ahli Majlis Tertinggi yang turut dipilih ialah Jackson Taguah dan Awang Fadly Juanas.


Alijus bersama Hamid (baju putih) dan Rahman (kanan).

Berucap selepas diumumkan sebagai Presiden baharu badan tersebut, Alijus mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada perwakilan dari 26 badan gabungan SAFA yang memberi kepercayaan kepada beliau untuk menerajui SAFA.

Katanya, beliau akan bekerjasama dengan kepimpinan baharu SAFA dan akan memberi peranan kepada mereka supaya badan bolasepak negeri dapat berfungsi dengan baik untuk kemajuan sukan bolasepak di negeri ini.

Beliau juga memberitahu pihaknya akan mengadakan mesyuarat dengan semua anggota majlis tertinggi di Pejabat SAFA pada sebelah petang.

Ditanya pemberita kemudian, Alijus berkata, beliau juga akan memberi fokus untuk mempertingkatkan keberkesanan pentadbiran SAFA agar ia akan menjadi lebih baik.

"Jika pentadbiran dan pengurusan badan ini lebih baik, ia akan menarik perhatian penaja untuk datang kepada kita," tegasnya.
               Alijus dan kepimpinan tertinggi SAFA selepas kongres tersebut.


Rabu, 1 Ogos 2018

LEBIH RAMAI PELATIH SERTAI PROGRAM PEMBANGUNAN TABS


Sebahagian pelatih baru yang menyertai program tersebut.

KOTA KINABALU: TABS Safa Bandaraya menjangka lebih ramai pelatih akan menyertai Program pembangunan bolasepaknya yang kini semakin mendapat sambutan memberangsangkan terutama dalam kalangan pelatih baru.

Ibu bapa di sekitar ibu kota menunjukkan minat untuk memberi pendedahan awal terhadap anak-anak mereka mengikuti program pembangunan sukan berkenaan.

Timbalan Pengerusi TABS Safa Bandaraya, Lokman Sunggim, berkata kehadiran pelatih-pelatih baru sehingga ini sangat menggalakkan dan menjangka lebih ramai lagi akan mendaftarkan diri.

Katanya, ini perkembangan yang positif kerana ibu bapa mempunyai keyakinan terhadap program tersebut yang membabitkan kanak-kanak berusia bawah 10 tahun sehingga kepada belia berusia 18 tahun.

Malah, menurut beliau, ada juga kalangan ibu bapa yang mendaftarkan anak-anak mereka berusia seawal tiga dan lima tahun menyertai program pembangunan TABS itu.



Matasan memberi taklimat kepada pelatih-pelatih mengenai latihan mereka.
Beliau berkata, yuran pendaftaran pelatih baru dinaikkan kepada RM20 sebulan mulai bulan lepas daripada RM10 sebelum ini bagi meningkatkan peralatan dan kemudahan latihan.

Yuran baru itu diumumkan Pengerusi TABS Safa Bandaraya, Sulaiman Mohd Noor pada majlis rumah terbuka hari raya aidilfitri badan itu, baru-baru ini selepas diputuskan pada mesyuarat ahli jawatankuasa TABS sebelumnya.

Lokman yang juga Penolong pengurus pasukan B19 Sabah memberitahu, melalui program itu, pemain-pemain yang berbakat dalam pelbagai kategori dapat diketengahkan dan mereka yang berusia bawah 19 tahun dan memiliki kualiti akan berpeluang menyertai ujian pemilihan dalam skuad Piala Belia Sabah.

Katanya, program tersebut terbukti telah berjaya melahirkan ramai pemain berbakat dan ada kalangan mereka sudah berjaya mewakili skuad Piala Belia Sabah, Piala Presiden dan juga skuad senior.

"Kami akan meneruskan program pembangunan ini memandangkan ia mendapat sambutan menggalakkan. Kami juga mengucapkan penghargaan kepada semua pihak yang memberi sokongan terutama pihak CIMB Foundation," tegasnya.

Setakat ini, TABS mempunyai lebih 12 jurulatih bertauliah diketuai Matasan Ahmad untuk memberi bimbingan kepada pelatih-pelatih mengikut kategori umur masing-masing.

Beliau seterusnya mengalu-alukan penyertaan bekas jurulatih skuad Piala Belia Sabah, Awang Sabtu Jamil untuk menyumbangkan khidmatnya bersama TABS untuk menjayakan program pembangunan tersebut.

Pemain-pemain menjalani latihan setiap hujung minggu.




Selasa, 31 Julai 2018

PRESIDEN BARU SAFA DITENTUKAN 25 OGOS

SHAFIE...belum beri pengesahan.
 Siapa pemimpin yang akan menerajui kepimpinan Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA) hanya akan ditentukan pada 25 Ogos ini apabila pemilihan baru bagi beberapa jawatan tertinggi badan bolasepak itu diadakan pada tarikh berkenaan.

Sekurang-kurangnya lima nama mendapat pencalonan bagi jawatan presiden termasuk Ketua Menteri, Datuk Seri Shafie Apdal sebaik sahaja pencalonan ditutup pada 29 Julai lepas.

Empat lagi yang turut menerima pencalonan ialah Pemangku Presiden, Datuk Yusoff Mohd Kassim, Setiausaha Agung, Alijus Haji Sipil, ahli perniagaan, Haji Hamid Apdal dan T.C Goh.


ALIJUS...mendapat pencalonan jawatan presiden dan timbalan presiden.
Shafie bagaimanapun sebelum ini dilaporkan kurang berminat untuk jawatan tersebut sebaliknya mahu individu lain menerajui badan sukan itu.

Yusoff yang ketika ini memangku jawatan itu berikutan perletakan jawatan Tan Sri Musa Aman selepas pilihan raya umum negeri Mei lepas difahamkan menyatakan hasrat untuk menolak pencalonan bagi jawatan presiden kerana hanya mahu bertanding bagi jawatan timbalan presiden.

Jika Ketua Menteri dan Yusoff menolak pencalonan, ini bermakna pertandingan bagi jawatan tertinggi SAFA itu hanya menyaksikan tiga calon akan bersaing iaitu Alijus, Hamid dan Goh.


YUSOFF...tolak pencalonan presiden, hanya mahu tanding timbalan presiden.
Apa pun tidak dapat dipastikan sehingga ini sama ada perubahan bakal berlaku pada saat-saat akhir menjelang Kongres Safa pada 25 Ogos ini.

Bagi dua jawatan timbalan presiden, seramai lapan orang telah mendapat pencalonan. Mereka ialah Yusoff, Alijus, Hamid Apdal, Ahli Majlis Tertinggi, Datuk Juil Nuatim, Dato Rahman Zakaria, bekas pemain kebangsaan, James Wong, Fredolin Penggo dan Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.

Seramai 12 individu juga mendapat pencalonan bagi naib presiden terdiri daripada Juil yang juga selaku pengurus pasukan Liga Perdana Sabah, Rahman Zakaria, Dato Razak Sulaiman, James Wong, Dr. Chacho Hj Bullah, Salehudin Anoi, Matlan Marjan, Hussin Rahim, Azmeer Shamsudin, Mohd Ismail Ayob, Yahya Kassim dan Reggie Sua @ Hafeez.

Dalam satu sidang media, Yusoff memberitahu bahawa pencalonan bagi jawatan Ahli Majlis Tertinggi masih dibuka sehingga 3 Ogos ini.

Katanya, ini bagi membolehkan pencalonan dapat dibuat bagi jawatan AMT yang berlaku kekosongan ekoran beberapa penyandangnya mendapat pencalonan ke jawatan lebih tinggi.

"Kami perlu memaklumkan mereka (AMT) yang terbabit untuk mengosongkan jawatan dan pencalonan baru perlu dilakukan," katanya.

Isnin, 30 Julai 2018

PIALA BELIA: SABAH FOKUS HADAPI SUKU AKHIR


Penolong pengurus pasukan memberi penerangan kepada pemain-pemain sentiasa mewujudkan persefahaman ketika menghadapi lawan.

KOTA KINABALU:  Pasukan Sabah B19 kini akan memberi tumpuan sepenuhnya untuk menghadapi saingan suku akhir Piala Belia 2018 minggu hadapan.

Sabah akan bertemu Kedah di Stadium Mini, Jitra pada 5 Ogos ini dan akan melayan kunjungan Kedah pula di Stadium Penampang empat hari kemudian (9 Ogos).

Dengan menduduki tangga kedua dalam Kumpulan A, Sabah akan meneruskan cabaran pada pusingan tersebut dengan segala keupayaan yang ada.

Penolong pengurus pasukan, Lokman Sunggim, berkata, pasukan perlu fokus di samping terus mempertingkatkan prestasi permainan bagi membolehkannya mampu memberi saingan kepada Kedah terutama di tempat lawan.

Katanya, mereka sedar cabaran yang bakal diharungi, lebih-lebih lagi pasukan lawan itu memiliki khidmat pemain kebangsaan seperti Akhyar Rashid.

“Kami menjangka saingan sengit di pusingan ini namun percaya pemain-pemain sudah bersedia menempuhinya dengan penuh semangat dan segala kudrat mereka," katanya ketika ditemui di sini.

 Lokman (kiri sekali) bersama ketua jurulatih, Mohd Aiyyman (dua dari kanan) dan pegawai-pegawai yang lain.
Selepas gagal mara ke suku akhir musim lalu, Sabah memenuhi sasaran awal mereka untuk berada dalam kelompok empat pasukan teratas dalam liga peringkat kumpulan musim ini untuk menempah tiket ke pusingan tersebut.

Menurut Lokman, pasukan hanya meletakkan sasaran itu sebaik liga bermula awal tahun ini dengan menyaksikan pasukan secara perlahan-lahan meningkatkan prestasi mereka.

“Pasukan agak lebih menyerlah ketika berada di pertengahan musim dan ini membolehkan kami dapat melonjakkan kedudukan lebih baik dan akhirnya terus dapat bertahan di tangga kedua,” tegasnya.

Penolong pengurus pasukan itu berkata, ini dapat dilakukan dengan komitmen dan kesungguhan para pemain dan barisan jurulatih yang sentiasa bekerja keras dari semasa ke semasa.


Pasukan Sabah B19 2018
 “Sejujurnya saya dapati semua dalam pasukan memiliki persefahaman dan kerjasama yang baik membolehkan pasukan ini dapat terus mara ke hadapan. Inilah hasilnya apa yang ada sekarang,,” ujarnya sambil memberi penghargaannya kepada jurulatih, pemain-pemain dan semua pegawai dalam pasukan.

Katanya, barisan jurulatih yang diketuai Mohd Aiyyman Abdullah memainkan peranan terus berusaha mempertingkatkan keupayaan pasukan  dan seterusnya dapat melebarkan kedudukan.


Pemain-pemain meraih jaringan gol dalam satu perlawanan peringkat liga kumpulan. 
Beliau juga menambah bahawa pengurusan pasukan akan terus mengambil pendekatan yang dapat meneruskan momentum yang dimiliki pasukan ketika ini bagi memburu kejayaan selanjutnya.

“Momentum dalam pasukan sangat baik pada waktu ini dan ini perlu diteruskan untuk merealisasikan harapan dan sasaran kami tercapai,” kata beliau.