Isnin, 8 Januari 2018

SKUAD PIALA BELIA SABAH 2018 BERWAJAH BARU

Skuad Piala Belia Sabah 2018.

Skuad Piala Belia Sabah 2018 boleh dianggap "berwajah baharu" berikutan penyeneraian ramai muka-muka baru dalam pasukan selepas beberapa pemain musim lalu telah melepasi had umur dan dinaikkan ke skuad Piala Presiden.

Sekurang-kurangnya empat pemain lagi yang masih layak bermain dalam skuad B19 itu turut diserapkan ke skuad Piala Presiden Sabah 2018 kerana prestasi mereka yang memberangsangkan.

Hanya lima pemain musim lepas dikekalkan dalam pasukan musim ini. Mereka ialah Mohd Iqhbal Kassim, Muhd Faqruazi Ahmad, Leonardo Lisua, Mohd Amirul Afiq Ali dan Mohd Aidil Muhimian.
Para pemain menjalani latihan kecergasan.

Pemain muka baharu terdiri daripada Mohd Shahazareenlie Abdullah, Mohd Fahmie Ikhwan, Azrine Abd Rahim, Syarul Norsyahrizuan Miti, Rahim Razali, Syann Elvin Steven, Abdul Hanafi Tokyo Abd Hasim, Mohd Sabre Fazlee Awg Tasim, Andrew Beckham Jamry, Muhd Qayyum Saiman, Farhan Aziz, Davis Edson Danus, Fyellonarllye Mcaxora Jappri, Syarul Nizam Alex, Owen Piou, Abdul Razik Khan Rishad Khan, Mohd Arizsham Jainul, Lasiter Latimin, Mohd Sharizan Saidin, Xsevier Xcico Felix, Asmawie Selikin, Mohd Hasrul Ahmad, Mohd Faqrul Idris, Mohd Saiful Abdul Rahman dan Jonathan Josua.

Ketua jurulatih baharu, Mohd Aiyyman Johnny Abdullah diberi tanggungjawab mengendalikan pasukan dengan dibantu jurulatih Sueli Apin.
Pengurus pasukan, Azman Mastar (kanan sekali) bersama penolongnya, Lokman Sunggim (kiri sekali).

Langkah awal yang diberi penekanan Pengurus pasukan, Azman Mastar memastikan setiap pegawai-pegawai dalam pengurusan pasukan melakukan yang terbaik dalam tugasan mereka sesuai dengan kepercayaan yang diamanahkan oleh Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA).

Beliau mahu semua pegawai dan jurulatih saling bekerjasama dan melaksanakan tugas masing-masing berpandukan tanggungjawab yang diberikan.

Katanya, ini bagi memastikan setiap perancangan yang dilakukan berjalan dengan baik dan memberi manfaat sekali gus dapat membantu melonjakkan prestasi pasukan.

"Sungguh pun pasukan ini menampilkan ramai muka-muka baharu namun kita juga mempunyai sasaran untuk membawa pasukan ke tahap yang lebih bagus musim ini," katanya.
Ketua jurulatih, Mohd Aiyyman (kanan) dan penolongnya Sueli Apin.

Azman, bekas pemain negeri dilantik menjadi pengurus pasukan Piala Presiden Sabah pada pertengahan musim lalu selepas bekas pengurus, Datuk Juil Nuatim ditugaskan menjadi pengurus pasukan Liga Perdana Sabah.

Bagaimanapun, musim ini SAFA memberi tanggungjawab baru kepada beliau (Azman) untuk mengetuai barisan pengurusan baharu skuad B19 Sabah musim 2018.

Penolong beliau ialah Lokman Sunggim, pengurus pasukan Kota Kinabalu yang menjuarai Kejohanan Bolasepak Piala Ketua Menteri, Tan Sri Musa Haji Aman edisi kelima (2017).


Aksi pemain skuad Piala Belia (jersi merah) dalam satu perlawanan persahabatan, baru-baru ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan