Khamis, 25 Disember 2014

BERI PENDEDAHAN PEMAIN REMAJA BERBAKAT - MOHD NOOR

KOTA KINABALU: Seorang jurulatih pasukan Sabah, Mohd Noor Abdullah berpendapat pemain-pemain remaja berbakat di negeri ini wajar terus digilap potensi mereka dan diberi pendedahan seluas-luasnya bagi membolehkan mereka meningkatkan kualiti permainan dalam bola sepak. 

Katanya, pada masa yang sama, Persatuan Bola sepak Sabah (Sabah FA)  juga perlu mengenal pasti pemain-pemain berbakat ini supaya mereka mendapat latihan yang sempurna. 

"Kita mendapati ramai bakat-bakat baru dan mereka ini memerlukan bimbingan untuk membolehkan mereka mengembangkan bakat yang sedia ada," katanya ketika ditemui selepas sesi latihan pemain-pemain pasukan Sabah 2015 di Padang Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini, baru-baru ini. 
Mohd Noor yang lebih dikenali dengan panggilan coach Francis (gambar atas) merupakan jurulatih penjaga gol skuad Sabah bagi musim 2014-2015. 

Beliau bersama pemain import Sabah dari Brazil, Andrezinho Esposito meluang masa untuk menunjuk ajar tiga pemain remaja Sabah, Mohd Hizaz Lokman, 14, Radzee S.A Ramli, 13, dan Enel Tan, 13, teknik dan taktik permainan bola sepak. 

Hizaz dan Radzee merupakan pelajar SMK Mutiara Impian, Sekolah Sukan Negeri (SSN) Pulau Pinang manakala Enel Tan merupakan rakan mereka dalam pasukan TABS Safa Bandaraya yang mendapat tawaran untuk menyertai Akademi bolasepak VfL Wolfsburg bawah 15 tahun, sebuah kelab divisyen satu dalam Bundesliga di Jerman. 

Hizaz dan Radzee merupakan anggota pasukan bawah 14 SSN Pulau Pinang yang menjuarai Liga Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) 2014, naib juara Piala KPM dan naib juara Piala Sumbangsih. Mereka balik ke Sabah sempena cuti persekolahan dan meneruskan latihan pada cuti sekolah bersama TABS Safa Bandaraya di bawah pengawasan ketua jurulatih, Matasan Ahmad. 
TUNJUK AJAR...Andrezinho menyatakan sesuatu kepada Hizaz, Radzee dan Enel. Turut kelihatan jurulatih Mohd Noor (dua dari kiri). 

Mohd Noor berkata, bakat-bakat baru yang berpotensi ini perlu mendapat latihan dan bimbingan berterusan kerana mereka ini merupakan aset kepada Persatuan Bolasepak Sabah pada masa hadapan. 

"Saya dapati tiga pemain remaja ini sungguh berbakat dan mereka ini memiliki ciri-ciri pemain yang boleh pergi jauh dan sebagai bukti kelab utama di Jerman boleh nampak bakat seorang pemain ini. Kita patut lebih dahulu menyedari pemain-pemain remaja yang berbakat dan meletakkan mereka di bawah jurulatih yang berpengalaman," katanya yang sudah memaklumkan pemain-pemain ini kepada pegawai atasan Sabah FA untuk diberi perhatian selanjutnya. 

Sementara itu, pemain import dari Brazil, Andrezinho berkata, pemain-pemain remaja terbabit boleh terus meningkatkan kualiti permainan mereka memandangkan mereka sudah mempunyai kemahiran yang sedia ada. 

"Mereka hanya perlukan bimbingan jurulatih bagaimana mereka boleh bermain dengan bagus dan memahami permainan bolasepak secara profesional". 

"Dengan mendapat pengetahuan yang mendalam dan memiliki minda yang profesional, mereka boleh pergi jauh bukan sekadar boleh bermain di Malaysia," katanya sambil menekankan bahawa faktor pemakanan juga penting bagi seseorang pemain.