Rabu, 28 Julai 2021

SABAH FC PERLU MENANG MALAM INI - JELANI

 

KOTA KINABALU--Sabah FC perlu menang dalam perlawanan menentang pasukan Sri Pahang FC dalam saingan Liga Super di Stadium Likas malam ini.

Pengarah Sabah FC, Datuk Dr Jelani Hamdan (gambar), berkata kelebihan bermain di tempat sendiri sewajarnya dimanfaatkan sepenuhnya oleh pasukan untuk mengutip mata penuh.

Katanya, perlawanan malam ini, peluang terbaik untuk tidak dipersia-siakan bagi meraih tiga mata penuh.

"Para pemain seharusnya menggunakan setiap peluang yang hadir bagi memastikan kemenangan memihak pasukan kita," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Jelani berkata, pasukan harus melupakan kekalahan dengan pasukan PJ City FC di Stadium MBPJ Petaling Jaya, Sabtu lepas sebaliknya terus fokus dengan perlawanan malam ini.

"Kesilapan di penghujung perlawanan dengan PJ City FC tidak harus berulang. Gol tunggal pada minit akhir itu menyebabkan pasukan kehilangan mata," tegasnya.

Gol kemenangan PJ City FC itu dijaringkan pemain gantiannya Sunil Chandran pada minit ke-89 sekali gus memusnahkan impian Sabah FC untuk membawa pulang seberang mata.

Menurut Pengarah Sabah FC itu, pemain juga harus menunjukkan prestasi memberangsangkan dalam setiap perlawanan untuk membolehkan pasukan mampu memberi saingan kepada pasukan lawan.

"Kita mengharapkan mereka melakukan yang terbaik untuk pasukan dan kalau boleh sentiasa berusaha untuk mencatatkan kemenangan," ujarnya.

Jelani menambah persembahan menyakinkan daripada para pemain sudah tentu sangat diharapkan pihak pengurusan kelab, yang sentiasa menghargai sumbangan mereka dalam pasukan.

"Di pihak pengurusan sentiasa menyuburkan suasana kondusif kepada para pemain termasuk menyediakan gaji yang berbaloi dengan keperluan dan khidmat mereka."

"Sebab itu, kita mengharapkan prestasi yang menyakinkan daripada mereka. Sekiranya keadaan yang sebaliknya, secara jujurnya ia sudah tentu mendorong kita untuk membuat semakan semula selepas ini," katanya.

Selepas perlawanan dengan Sri Pahang, Sabah FC sekali lagi akan beraksi di luar menentang pasukan Terengganu FC di Stadium Sultan Zainal Abidin di Gong Badak, Terengganu pada Ahad ini.

Jumaat, 9 Julai 2021

SABAH BERALIH FASA KEDUA PPN ESOK

Sabah menjadi negeri ketujuh akan beralih ke fasa kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuatkuasa esok (Sabtu).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (gambar), berkata sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) kelmarin telah meneliti pembentangan peralihan fasa bagi negeri-negeri di bawah PPN oleh Kementerian Kewangan.

Katanya, setelah semua agensi terbabit termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meneliti nilai ambang, sidang khas MKN bersetuju untuk membuat peralihan fasa bagi negeri Sabah dari fasa satu ke fasa kedua.

"Ia berdasarkan pencapaian nilai ambang tiga indikator utama yang telah ditetapkan," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Sebelum ini, Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu dan Pulau Pinanag telah diumumkan beralih fasa satu ke fasa kedua PPN.

PPN merupakan satu pendekatan negara untuk keluar daripada pandemik Covid-19 dengan mengambil kira nilai ambang yang menjadi indikator peralihan iaitu purata kes, pesakit ICU dan peratusan vaksinasi.

Sementara itu, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, pematuhan prosedur operasi standard (SOP) menjadi kunci utama negeri ini boleh melangkah ke fasa ketiga PPN.

Katanya, Sabah telah berjaya beralih ke fasa kedua PPN berkuatkuasa esok dan dengan kerjasama rakyat yang patuh SOP, fasa ketiga akan dapat dicapai tidak lama lagi.

Sambil mengalu-alukan pengumuman Timbalan Perdana Menteri itu, Masidi yang juga Menteri Kewangan kedua berharap kejayaan itu akan menjadi perangsang kepada semua pihak menggandakan usaha memerangi pandemik Covid-19.

Khamis, 8 Julai 2021

UMNO SABAH KEKAL BERSAMA GRS: BUNG MOKTAR

KOTA KINABALU--Umno Sabah akan kekal bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) meskipun kepimpinan parti itu di peringkat pusat mengambil keputusan menarik balik sokongan terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ketuanya, Datuk Seri Bung Moktar Radin (gambar) , berkata tiada alasan untuk meninggalkan GRS kerana kerajaan negeri menjalankan tugasnya dengan baik.

"Bagi Umno Sabah, kerajaan GRS mesti dipertahankan bagi menghormati mandat rakyat. GRS akan tetap kukuh," katanya dalam portal online FMT.

Beliau yang juga salah seorang Timbalan Pengerusi GRS, berkata, gabungan itu baru sahaja menghadapi pilihan raya negeri dan juga tiada keperluan untuk keluar dari kerajaan negeri sekarang memandangkan ia masih berfungsi serta mendapat kepercayaan rakyat untuk mentadbir, mengurus ekonomi dan rakyat.

Menurut Bung Moktar, Umno Sabah akan menentukan masa depannya sendiri.

Bagaimanapun, tambahnya, dua Anggota Parlimen Umnos Sabah, beliau sendiri (Kinabatangan) dan Mohamad Alamin (Kimanis) akan menurut keputusan parti di peringkat persekutuan.

"Jika tidak, itu bermaksud kami perlu perlu keluar dari parti," katanya sambil ketawa.

Mengenai perkembangan lain, Timbalan Ketua Menteri itu berkata, buat masa ini Umno Sabah belum menetapkan syarat kepada GRS untuk kekal dalam kerajaan GRS kerana yakin perkara itu boleh dibincangkan.

Semalam, Presiden Umno, Datuk Ahmad Zahid Hamidi telah mengumumkan partinya secara rasmi menarik sokongan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan memintanya meletakkan jawatan selepas mendapati beliau gagal memuaskan syarat yang ditetapkan Umno bagi mendapatkan sokongannya.

Rabu, 7 Julai 2021

SABAH TUAN RUMAH SAMBUTAN HARI MALAYSIA TAHUN INI

KOTA KINABALU--Sabah sekali lagi dipilih sebagai tuan rumah sambutan Hari Malaysia tahun ini.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin (gambar), berkata sambutan kali ini akan diadakan di Pusat Kovensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada malam 16 September ini.

Katanya, perkara itu telah dibincangkan pada mesyuarat jawatankuasa induk Hari Malaysia secara maya yang dipengerusikan bersama Menteri Komunikasi dan Multimedia, Dato Saifuddin Abdullah hari ini.

"Bagi pihak kerajaan negeri, kami anggota kabinet berterima kasih dan menghargai keputusan Kerajaan Persekutuan atas kepercayaan dan penghormatan yang diberikan kepada Sabah sekali lagi menganjurkan program ini," katanya selepas mesyuarat secara dalam talian itu di Bangunan Umno Sabah, di sini.

Beliau yang juga Pengerusi bersama Jawatankuasa Penganjur Hari Malaysia di peringkat negeri memberitahu, pihaknya akan memastikan kelicinan penggendalian program tersebut.

Menurutnya, beberapa siri mesyuarat jawatankuasa pelaksana di peringkat negeri bersama beberapa jabatan dan agensi terbabit telah pundiadakan sebelum ini.

Bagaimanapun, tambahnya, disebabkan pandemik Covid-19 masih melanda negara, sambutan itu diadakan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

"Ia akan berlangsung di tempat tertutup dengan mempraktikkan penjarakkan sosial dengan kehadiran terhad dianggarkan sekitar 500 orang sahaja," katanya sambil menambah, ia juga masih tertakluk dengan situasi Covid-19 di negeri ini.

Mengenai dengan pengisian program sambutan, Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya menjelaskan, pelbagai acara telah siap disusun antaranya majlis tahlil, persembahan koir, upacara memotong kek Hari Malaysia dan tayangan montaj.

Tema sambutan tahun ini ialah Malaysia Prihatin.

Sehubungan itu, satu persembahan khas daripada artis-artis Lembaga Kebudayaan Sabah bertemakan "Malaysia Prihatin" akan turut diadakan bagi mengajak rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama bersatu untuk menangani wabak Covid-19.

Beliau berharap melalui sambutan Hari Malaysia ini, ia bukan sahaja dapat menyemarakkan semangat patriotik warga Malaysia khususnya kalangan generasi muda dalam pembentukan negara dengan harmoni tetapi  juga bersama bersolidariti memerangi pandemik virus tersebut

Selasa, 6 Julai 2021

PKPD KG LIKAS DITAMATKAN ESOK


KOTA KINABALU--Kerajaan akan menamatkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Likas di sini esok (7 Julai) mulai jam 11.59 malam.

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan terdapat penurunan kes dan kluster Covid-19 di kawasan berkenaan juga adalah terkawal.

Manakala kes positif terakhir yang direkodkan ialah pada 28 Jun iaitu tujuh kes.

Kenyataan itu menambah, setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju menamatkan PKPD di kampung berkenaan pada 7 Julai jam 11.59 malam.

PKPD dilaksanakan di Kampung Likas pada 10 Jun lepas selama dua minggu. Bagaimanapun ia telah disambung selama dua minggu lagi mulai 24 Jun lepas.

Dalam tempoh itu, KKM telah melakukan 3,023 ujian saringan dan 45 daripadanya disahkan positif Covid-19.

Rata-rata penduduk di kampung tersebut mengucapkan rasa syukur atas keputusan pihak berkuasa menamatkan PKPD yang dilaksanakan selama sebulan itu.

"Alhamdulillah", kata Hazrin Haipin, seorang kakitangan Lembaga Kebudayaan Sabah.

Beliau berkata, situasi mereka ibarat "berpuasa" selama sebulan dan esok bolehlah sambut raya meskipun dalam suasana pandemik Covid-19.


LAJIM JADI PENASIHAT KEJOHANAN PIALA BMR

 

Azman menyampaikan dokumen berkaitan kejohanan itu kepada Lajim sambil diperhatikan David.

KOTA KINBALU--Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA), Datuk Seri Panglima Lajim Ukin dilantik sebagai penasihat Kejohanan Bolasepak Piala Datuk Seri Bung Moktar Radin (Piala BMR) berkuatkuasa serta-merta.

Penolong Setiausaha Agung SAFA yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan SAFA, Azman Mastar, berkata, Lajim sudah pun menyatakan persetujuannya mengenai peranan yang diberikan kepadanya itu.

Katanya, selaku penasihat dan AMT SAFA, Lajim akan berperanan untuk memantau penggendalian pertandingan tersebut.

"Kita yakin kehadiran beliau yang juga Pengerusi  Eksekutif Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) sudah tentu sangat membantu dan menyumbang buah fikiran bagi memastikan penganjuran kejohanan berjalan dengan baik," katanya.

Azman berkata demikian selepas menyerahkan dokumen pertandingan Piala BMR itu kepada Lajim di pejabat SAFA, baru-baru ini.

Turut hadir ialah Setiausaha Eksekutif SAFA, David Wisom.

Menurut Azman, perlawanan akhir Piala BMR besar kemungkinan akan dapat diadakan bulan hadapan setelah mendapat kebenaran pihak berkuasa.

Setakat ini sebanyak tujuh zon sudah mengesahkan layak ke grand final kejohanan itu kecuali zon pantai timur selatan.

Sementara itu, Lajim mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada SAFA atas kepercayaan yang diberikan kepadanya untuk menjadi penasihat kejohanan itu.

Katanya, kejohanan Piala BMR itu penting sebagai landasan untuk mengetengahkan bakat-bakat baharu dalam sukan bolasepak memandangkan ia membabitkan pemain-pemain berumur bawah 18 tahun dari seluruh daerah.

Beliau berharap pertandingan itu dapat disambung semula sebaik sahaja Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditamatkan dan mendapat kebenaran pihak kerajaan.

Ahad, 4 Julai 2021

SABAH PERLUKAN BEKALAN VAKSIN MENCUKUPI

KOTA KINABALU--Sabah meminta Kerajaan Persekutuan segera membekalkan vaksin ke negeri ini memandangkan permintaan tinggi rakyat terhadap program vaksinasi yang dijalankan sekarang.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin (gambar), berkata, bekalan vaksin ketika ini semakin berkurangan dan ia memerlukan bekalan yang mencukupi.

Katanya, ini kerana permintaan tinggi daripada kalangan rakyat berdasarkan pendaftaran mereka dalam aplikasi MySejahtera mahu pun pendaftaran yang dibuat secara manual.

"Oleh kerana bekalan vaksin yang berkurangan, saya difahamkan pihak hospital dan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Sabah terpaksa menangguhkan temu janji daripada penerima vaksin," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Kerja Raya, berkata perkara itu tidak seharusnya berlaku kerana ia boleh menimbulkan rasa kecewa orang ramai apabila tiba giliran mereka namun terpaksa menangguhkan temu janji.

Menurutnya, pada masa ini hanya antara 10,000 hingga 11,000 orang menerima vaksin sehari dan ia sepatutnya boleh ditingkatkan kepada 20,000 orang sehari.

"Dengan bekalan vaksin yang terhad selain kekangan yang lain menyebabkan sasaran itu sukar dicapai dan ini menyebabkan usaha mencapai imuniti kelompok tidak dapat dipercepatkan," jelasnya.

Bung Moktar menambah meskipun kerajaan telah mempergiatkan pelbagai kempen kesedaran termasuk Program Jangkauan Luar ke luar bandar serta pembukaan PPV yang baru tetapi jika bekalan vaksin tidak mencukupi, usaha itu menjadi kurang berkesan.

Sehubungan itu, beliau menggesa Kerajaan Pusat khususnya kementerian berkaitan agar mengambil perhatian serius supaya bekalan vaksin ke negeri ini dapat dipertingkatkan.

Katanya, pemberian vaksin kepada rakyat akan memastikan usaha mengekang penularan Covid 19 berjaya dicapai sebagaimana di kebanyakkan negara.

Jumaat, 2 Julai 2021

SKUAD B19 SABAH PENTING LAHIRKAN PEMAIN PELAPIS, KATA JELANI

 

KOTA KINABALU--Pasukan B19 Sabah (Sabah FC IV) penting mempamerkan prestasi yang memberangsangkan kerana ia merupakan pasukan pelapis kepada pasukan senior Sabah FC yang ada sekarang.

Pengarah Sabah FC, Datuk Dr Jelani Hamdan (gambar), berkata pasukan belia sewajarnya diurus dengan baik bagi membolehkannya mampu bersaing dalam Piala Belia sekali gus berupaya menghasilkan pemain-pemain berbakat pada masa akan datang.

Katanya, sekiranya pasukan muda ini dapat mengetengahkan pemain-pemain terbaik dan mereka boleh menjadi pelapis kepada pemain-pemain senior.

"Ia sudah tentu boleh mengurangkan kebergantungan kita kepada khidmat pemain import kerana tempat mereka boleh diisi pemain-pemain kita yang berbakat dan bagus," katanya pada sesi suai kenal dengan pengurusan dan pemain pasukan B19 Sabah di pejabat SAFA, pagi tadi.

Turut hadir Penolong Setiausaha Agung SAFA yang juga Pengarah pasukan B19, Azman Mastar, Setiausaha Eksekutif SAFA, David Wisom, Pengurus pasukan B19 Sabah, Mohd Khairul Nizaem dan penolongnya, Lokman Sunggim.

Jelani (tengah) bersama Mohd Khairul, Azman, Lokman dan David selepas sesi suai kenal dengan pasukan B19 Sabah.

Jelani yang juga Naib Presiden SAFA menekankan betapa mustahak sesebuah pasukan mempunyai kombinasi pengurusan dan keserasian bersama bagi memastikan ia mampu mencapai kejayaan.

"Kombinasi antara pihak pengurusan dan mereka yang mempunyai kepakaran dalam bolasepak membolehkan pasukan sentiasa berdaya maju dan berupaya menghadapi cabaran," katanya.

Beliau juga menyatakan rasa puas hati memandangkan pasukan B19 itu mempunyai pengurusan yang baik di samping khidmat staf kejurulatihan yang berpengalaman.

"Secara peribadi saya mengucapkan syabas kepada pasukan ini khususnya pengurus kerana mampu membentuk pasukan dengan baik sungguhpun terpaksa melalui banyak cabaran terutama pandemik Covid 19," ujarnya.

Pengarah Sabah FC itu juga kemudian mengadakan sesi suai kenal dengan pasukan B22 Sabah atau dikenali Sabah FC III.