Sabtu, 23 Oktober 2021

UMNO SABAH HANTAR JENTERA KE PRN MELAKA

 


KOTA KINABALU--Umno Sabah akan menghantar jentera bagi membantu calon-calon Umno dan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya negeri Melaka yang dijadualkan pada 20 November ini.

Ketuanya, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin (gambar), berkata, ia membabitkan wakil dari bahagian, pergerakan pemuda, wanita dan puteri akan "berkampung" di Melaka pada waktu kempen hingga menjelang hari pembuangan undi.

"Kita akan menghantar jentera dan akan diletakkan pada satu kawasan daerah mengundi yang ditentukan merangkumi beberapa kawasan Dewan Undangan Negeri," ketika ditemui selepas mengadakan perjumpaan dan sesi taklimat bersama ketua-ketua bahagian, ketua sayap wanita, pemuda dan puteri di bangunan Umno, di sini.

Turut hadir Timbalan Ketua Umno Sabah, Datuk Yakub Khan, Setiausaha Umno Sabah, Datuk Jafry Ariffin, Bendahari Umno Sabah, Datuk Suhaimi Nasir dan Ketua Penerangan, Datuk Raimie Unggi.

Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno, berkata jentera itu akan memberi tumpuan berkempen dari rumah ke rumah dalam kelompok kecil bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Ketua-ketua bahagian, pemimpin wanita, pemuda dan puteri ketika menghadiri sesi taklimat tersebut.

Terdahulu, dalam sesi taklimat, Bung Moktar meminta semua kepimpinan Umno bahagian, pemuda, wanita dan puteri memfokus terhadap usaha memantapkan parti melalui gerak kerja di bahagian masing-masing.

"Kita jangan fikir perkara lain, keutaamaan kita ialah memperkukuhkan jentera parti. Apabila parti dalam keadaan kuat dan kukuh, kita akan dihromati," tegasnya.

Menurut beliau, soal calon dan pemilihan parti perlu diketepikan dahulu sebaliknya berganding bahu bagi memperkukuhkan parti untuk menghadapi pilihan raya akan datang.

"Saya selalu tegaskan Umno mempunyai struktur yang lengkap dari bahagian, wanita, pemuda dan puteri serta cawangan. Apabila struktur ini dapat melaksanakan tanggungjawab serta peranan masing-masing, ia akan dapat memastikan kekuatan parti," katanya.

Ahad, 17 Oktober 2021

BUNG BIDAS WARISAN BERHUBUNG BEKALAN AIR

  

BUNG MOKTAR...bencana alam sukar diramal.

KOTA KINABALU--Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin menyelar parti pembangkang, Warisan atas dakwaannya kerajaan negeri tidak melakukan apa-apa mengenai krisis air yang dialami di beberapa bahagian di negeri ini.

Beliau yang juga Menteri Kerja Raya, berkata kerajaan negeri pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mempunyai rancangan jangka pendek dan jangka panjang untuk menangani krisis air di Sabah tidak seperti kerajaan Warisan-Plus sebelumnya yang tidak pernah berbuat sesuatu dalam tempoh dua tahun ia memerintah.

Katanya, untuk menangani masalah ini, tindakan jangka pendek diperlukan agar bekalan air tidak terus membebankan pengguna khususnya di kawasan Kota Kinabalu dan sekitarnya.

"Justeru, kita terpaksa membuat catuan air memandangkan bekalan air bersih tidak mencukupi berbanding bilangan pengguna yang semakin meningkat."

"Sudah tentu jika kita membuat perancangan teliti mengenai bekalan air di Sabah, perkara yang berlaku ketika ini mungkin dapat kita elakkan," katanya.

Bung Moktar berkata, semasa Warisan-Plus menjadi kerajaan, pakatan itu tidak pernah berbuat sesuatu untuk menambah baik atau menaik taraf bekalan air bersih di negeri ini.

Malah, tambahnya, semasa Warisan-Plus menjadi kerajaan, tidak nampak apa yang mereka lakukan untuk menyelesaikan masalah berkenaan.

Beliau mengulas kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Aru, Junz Wong yang mendakwa Jabatan Air tidak melakukan sesuatu untuk mengatasi masalah cerun runtuh yang melibatkan tangki simpanan air di Kopungit dan masalah gangguan air di Kampung Tanjung Aru.

Katanya, gangguan bekalan air di Tanjung Aru dan kawasan sekitar telah pun diselesaikan dan bekalan air bersih pulih seperti sediakala selepas paip pecah di kawasan itu telah dibaiki Jabatan Air.

Menurut beliau, tekanan air rendah sejak berlakunya bencana tanah runtuh di Kg. Kopungit pada awal bulan lalu yang menjejaskan tangki simpanan air 5 MLD yang menyalurkan separuh kapasitinya di kawasan Tanjung Aru.

"Bencana alam sukar kita ramalkan termasuk kawasan tangki air di Kopungit yang terlibat dalam runtuhan tersebut."

"Bagaimanapun Jabatan Kerja Raya (JKR) kini sedang membaiki cerun terbabit," tegasnya.

Timbalan Ketua Menteri itu, berkata terdapat beberapa faktor yang turut menjejaskan bekalan air bukan sahaja di Tanjung Aru malah di kawasan lain di sekitar Kota Kinabalu dan Penampang apabila berlakunya banjir di Sungai Moyog baru-baru ini, yang turut menjejaskan kerja-kerja merawat air di Loji Kasigui yang merupakan sumber air bagi kawasan terlibat.

Katanya, kementeriannya sedang menjalankan kajian untuk memperbaiki dan menyelesaikan masalah bekalan air di negeri ini.

"Kita sedang menunggu laporan lengkap daripada juru perunding dilantik bagi menilai, memperincikan langkah holistik untuk menangani isu ini selain berusaha melaksanakan tindakan secara berperingkat," katanya.

Sabtu, 16 Oktober 2021

KEPIMPINAN AKAR UMBI UMNO PERLU DIPERKEMASKAN HADAPI PRU-15

 
 
KOTA KINABALU--Mesyuarat cawangan-cawangan Umno yang bermula kelmarin merupakan peluang seluruh kepimpinan dan ahli akar umbi untuk lebih bersemangat memperkemaskan jentera parti bagi menghadapi Pilihan raya umum ke-15 (PRU-15).

Ketua Umno Sabah, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin (gambar), berkata mesyuarat cawangan-cawangan itu menjadi tumpuan ahli peringkat akar umbi hadir dengan penuh semangat bagi memperbaiki parti demi agama, bangsa dan negara. 

"Kekuatan Umno secara keseluruhannya bermula dari akar umbi. Selepas kita laksanakan mesyuarat cawangan, segala isu yang dibangkitkan akan dibawa ke peringkat bahagian dan fokus kita pada bahagian sangat penting agar strategi terbaik dapat disusun," katanya dalam perutusan sempena mesyuarat perwakilan cawangan-cawangan Umno di seluruh negara bermula Jumaat hingga 30 November ini.

Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno, berkata walaupun persidangan ini berjalan dalam keadaan negara masih berhadapan dengan pandemik Covid-19, ia bukan penghalang untuk ahli-ahli parti meneruskan agenda perjuangan.

Katanya, selain pematuhan terhadap SOP yang ditetapkan kerajaan, mesyuarat ini seharusnya dilaksanakan dengan penuh semangat, disiplin dan sentiasa menjaga imej parti.

Bung Moktar berkata, ahli Umno di peringkat akar umbi perlu terus membina kekuatan keseluruhan jenteranya.

"Saya harap kepimpinan Umno baik di peringkat cawangan mahu pun di bahagian mesti menekankan semangat kerja berpasukan dalam memimpin parti ke arah kecmerlangan," katanya.

Menurut beliau, semangat berpasukan sangat penting untuk gerak kerja dan strategi yang dirancang antara pucuk pimpinan bahagian bersama akar umbi di peringkat kawasan Dewan Undangan Negeri dan Parlimen.

"Kita ketepikan dulu soal jawatan dalam bahagian atau soal calon pada PRU akan datang, yang penting kita perkemaskan jentera bagi menjamin kemenangan dalam pilihan raya nanti," ujarnya. 

Beliau seterusnya mengingatkan ketua-ketua cawangan Umno agar mengenal pasti ahli-ahli mereka yang masih berdaftar di peringkat cawangan masing-masing.


Selasa, 12 Oktober 2021

JENAZAH ABANG TKM 1 SELAMAT DIKEBUMIKAN

 

Bung Moktar merenjis air di pusara abangnya, allahyarham Hamidin selepas upacara pengkebumian itu.

KINABATANGAN--Jenazah bekas Ketua Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) Bahagian Kinabatangan, Hamidin Radin, 69, selamat dikebumikan di Kampung Bukit Garam di sini, petang tadi.

Allahyarham merupakan abang sulung Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin, meninggal dunia di Hospital Duchess of Kent Sandakan akibat komplikasi buah pinggang, petang semalam.

Beliau dimasukkan di hospital berkenaan minggu lalu dan allahyarham meninggalkan seorang isteri dan empat anak.

Sepanjang hayatnya, allahyarham aktif dalam kegiatan dakwah melalui USIA Bahagian Kinabatangan yang diterajuinya sebelum mengundur diri kerana faktor kesihatan.

Beliau juga adalah seorang yang aktif dalam kegiatan kemasyarakatan di kawasan Kinabatangan.

Selain Bung Moktar yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Lamag turut memberi penghormatan terakhir ialah Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Jafry Ariffin.

Sementara itu, Bung Moktar ketika ditemui selepas upacara pengkebumian itu mengucapkan terima kasih kepada saudara mara dan rakan yang menyampaikan ucapan takziah serta mendoakan allahyarham termasuk mereka yang hadir pada upacara pengkebumian.

Bung Moktar bersama orang ramai mengusung jenazah allahyarham abangnya ke tanah perkuburan.



Selasa, 5 Oktober 2021

AG ASLEE HARAP KEMENTERIAN PENDIDIKAN DAPAT SELESAIKAN BANTAHAN PENDUDUK

  

Awang Aslee (tengah) mendengar penerangan pemimpin masyarakat di Kg. Sinapokan.

KUALA PENYU--Setiausaha Eksekutif Umno Sabah, Datuk Awang Aslee Lakat berharap Kementerian Pendidikan dapat menyelesaikan kemelut berhubung bantahan masyarakat Kampung Sinapokan dekat sini mengenai cadangan pembinaan pra-sekolah di kampung berkenaan.

Menurut beliau, pihaknya sudah menemui pemmipin masyarakat kampung berkenaan dan berbincang dengan mereka bagi menyelesaikan perkara tersebut.

"Saya sudah berbincang dengan mereka termasuk dihadiri guru besar sekolah berkenaan, Cikgu Saiful Suari dan berharap kemelut ini dapat diselesaikan dalam masa terdekat," katanya ketika ditemui di sini.

Awang Aslee yang juga Pemangku Ketua Umno Bahagian Beaufort, berkata pihaknya telah diminta Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Mohamad Alamin supaya berjumpa pemimpin masyarakat di kampung berkenaan dan mendengar sendiri mengapa mereka membantah pembinaan pra-sekolah itu.

"Alhamdulillah, saya telah pun menyampaikan hasil perbincangan kami itu kepada timbalan menteri berkenaan untuk tindakan lanjut," tambahnya.

Beliau seterusnya berharap pihak kementerian mampu mengambil tindakan penyelesaian terhadap kemelut itu.

"Apa pun keputusannya nanti, kita serahkan kepada budi bicara pihak kementerian," ujar beliau.

Awang Aslee kemudian melawat bangunan kelas KAFA di Kampung Tanjung Aru yang dalam keadaan usang dan daif selain meninjau keadaan sistem perparitan di sekitar gerai dan bangunan surau lama di kampung itu.

Katanya, kerosakan bangunan dan sistem perparitan yang tersumbat hingga mengakibatkan banjir apabila musim hujan perlu diambil perhatian pihak kerajaan dan mengambil langkah melakukan pembaikan sewajarnya. 

Beberapa pemimpin Umno bahagian turut serta dengan beliau semasa program lawatan itu.

Awang Aslee turut menemui penduduk di Kg. Tanjung Aru bagi mendengar masalah mereka semasa program lawatan itu.

 

 

Isnin, 4 Oktober 2021

SABAH PERLUKAN DANA KHAS UNTUK KERJA-KERJA KECEMASAN

KUALA LUMPUR--Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin (gambar) meminta kerajaan pusat menyediakan peruntukan khas bagi menyelesaikan kerja-kerja kecemasan yang memerlukan tindakan segera ekoran bencana alam.

Katanya, sejak akhir-akhir ini sering berlaku bencana alam di Sabah mengakibatkan kerosakan jalan raya, cerun dan jambatan runtuh di samping berlakunya kebakaran di kawasan perkampungan dan ia memerlukan peruntukan segera untuk baikpulih.

"Kerosakan yang dialami itu perlu diperbaiki dan ia melibatkan kos yang tinggi. Kita perlu memohon peruntukan kepada kementerian berkaitan atau kementerian kewangan di mana prosesnya memakan masa menyebabkan kerja-kerja pembaikan lambat dilaksanakan yang memberi kesan kepada rakyat," katanya.

Bung Moktar yang juga Anggota Parlimen Kinabatangan membangkitkan perkara itu pada persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Beliau turut mencadangkan agar kerajaan pusat menyediakan dana khas kepada kerajaan negeri bagi membiayai kos pembaikan untuk kerja-kerja kecemasan yang memerlukan kos tinggi.

"Berikanlah dana khas dalam sekitar RM200 juta ke RM300 juta setahun untuk membiayai kerja-kerja kecemasan agar memudahkan kerajaan negeri mempercepatkan kerja-kerja pembaikan dilakukan," katanya.

Beliau juga mengulangi hasrat kerajaan negeri agar diberi kuasa automi untuk melaksanakan projek-projek pembangunan di bawah RMK-12 yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, baru-baru ini.

"Sabah sudah merdeka melalui Malaysia selama 58 tahun namun dari segi pembangunan, ia masih ketinggalan berbanding negeri-negeri lain menyebabkan Sabah masih dikategorikan sebagai negeri termiskin kerana kaedah mendapatkan peruntukan masih mengamalkan kaedah lama," tegasnya.

Justeru, katanya, kerajaan pusat wajar menyerahkan peruntukan yang disediakan kepada kerajaan negeri untuk perancangan, pelaksanaan dan pemantauan.

Mengenai dengan pelaksanaan projek Lebuh raya Pan Borneo, Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya Sabah menggesa kerajaan pusat menyegerakan kelulusan yang dipohon kerajaan negeri agar ia dilaksanakan secara pembiayaan swasta (PFI).

"Kita perlu kelulusan segera dari kerajaan persekutuan agar projek Lebuh raya Pan Borneo Fasa 1 dapat segera dimulakan demi kemudahan dan kesejahteraan rakyat di luar bandar," ujarnya.