Khamis, 17 Oktober 2019

SABAH GUNA KHIDMAT JURULATIH LUAR MUSIM DEPAN

Skuad Sabah akan menggunakan khidmat jurulatih luar negara untuk menghadapi saingan Liga Super musim hadapan.

Presiden Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA), Datuk Peter Anthony (gambar), berkata, ini kerana jurulatih Jelius Ating tidak dapat mengendalikan skuad Tambadau dalam saingan Liga Super ekoran syarat yang ditetapkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

FAM mewajibkan skuad Liga Super dikendalikan jurulatih yang memiliki lesen kejurulatihan "AFC Pro License".

"SAFA sudah merayu kepada FAM supaya kita terus mengekalkan khidmat Jelius untuk membimbing skuad Liga Super namun ia telah ditolak", katanya selepas Kongres Tahunan SAFA, semalam.

Sambil menyatakan SAFA akur dengan keputusan FAM itu, Peter membayangkan pihaknya akan mendapatkan khidmat jurulatih luar negara yang memiliki lesen sedemikian.

Bagaimanapun, katanya, Jelius akan terus kekal bersama pasukan sebagai penolong jurulatih.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur menambah skuad Sabah akan berwajah baharu dengan kehadiran beberapa pemain import yang baharu supaya mampu memberi cabaran dalam Liga Super.

Beberapa pemain mungkin digugurkan berdasarkan prestasi mereka dan SAFA sudah mempunyai senarai pemain yang telah disyorkan oleh jurulatih yang mengendalikan pasukan sebelum ini.

Manakala ketua jurulatih baharu akan dinamakan sebaik sahaja selesai semua urusan pentadbiran, kata Peter.

ODOU BAKANJAR TIDAK WAJAR DIBERI GAMBARAN BURUK, KATA WENCES

Presiden Persatuan Kebudayaan Tatana Sabah (STCA), Tan Sri Wences Angang (gambar) melahirkan rasa kecewa dan sedih berhubung gambaran kurang baik diberikan terhadap Odou Bakanjar yang disambut setiap tahun.

Menurut beliau, perayaan ini telah diiktiraf oleh kerajaan negeri dan tahun ini sambutan Odou Bakanjar adalah kali yang keenam.

"Kita tidak pernah menghadapi masalah dengan sambutan Odou Bakajar ini sejak ia dijadikan sambutan tahunan enam tahun lepas."

"Apabila ia tiba-tiba diberi gambaran buruk, sudah tentulah kita sangat kecewa dan sedih," katanya ketika dihubungi.

Belaiu diminta mengulas posting oleh Sasterawan Sabah, Datuk Jasni Matlani di laman sosial facebook baru-baru yang memberi gambaran Odou Bakanjar sebagai perempuan tua atau nenek yang menari terkinja-kinja.

Posting tersebut ternyata menerima pelbagai reaksi dari nitizen khususnya dalam kalangan etnik Tatana malah turut mengundang kemarahan mereka.

Wences berkata, pihaknya terkejut dengan posting itu kerana pengertian yang diberikan sangat jauh tersasar dari maksud sebenar perayaan tersebut dan dilihat sebagai memperlekehkan budaya masyarakat Tatana.

Katanya, beliau tidak hairan jika ramai kalangan etnik Tatana tersentuh perasaan mereka dan mengecam posting tersebut.

Odou Bakanjar adalah panggilan dalam bahasa Tatana dan seharusnya ia difahami dalam bahasa etnik berkenaan dan ia mungkin memberi makna yang berbeza mengikut kaum lain. Tetapi ia sepatutnya tidak wajar dikelirukan oleh mana-mana pihak, tegas beliau.

Sebelum ini, Presiden STCA itu juga meminta Jasni supaya membuat permohonan maaf secara terbuka supaya kekeliruan yang berlaku tidak terus berlarutan.

Berdasarkan posting terbaharu di akaun facebooknya, Jasni telah membuat permohonan maaf kepada masyarakat Tatana berhubung kekeliruan tersebut.

Wences juga memberitahu, ramai menghubungi beliau turut mendesak supaya laporan polis dibuat ekoran rasa marah dan ketidakpuasan hati terhadap kenyataan seperti itu yang sukar mereka terima.

"Setakat ini, kita tengok di mana keperluan dan berharap gambaran seperti ini terhadap budaya kita tidak seharusnya berlaku lagi. Kalau sesiapa yang tidak memahami kebudayaan kita, mereka harus bertanya atau menghubungi STCA dan bukan bertanya di facebook" ujarnya.