Selasa, 29 September 2020

KERAJAAN BAHARU FOKUS BANGUNKAN NEGERI DAN RAKYAT

 

Bung Moktar bersama Adun Karambunai, Datuk Yakub Khan (kanan) dan Adun Sukau, Datuk Jafry Ariffin selepas sidang media di kediamannya.

KOTA KINABALU--Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, kerajaan negeri yang baharu akan memberi tumpuan untuk memajukan negeri dan rakyat selepas diberi mandat pada pilihan raya negeri beberapa hari lepas. 

Menurut beliau, perkara itu akan menjadi keutamaan kerajaan dalam usaha untuk memperbaiki taraf hidup rakyat.

"Ia termasuk usaha memulihkan keadaan ekonomi negeri ketika ini," katanya ketika berucap di hadapan para penyokong di kediamannya di Luyang, petang ini. 

Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya berkata, pihaknya mahu rakyat supaya melupakan politik kerana ia sudah berlalu. 

Katanya, sekarang masa untuk melupakan politik sebaliknya mengorak langkah untuk membangunkan rakyat dan negeri. 

"Perkara ini menjadi fokus utama kerajaan yang baharu selain akan melaksanakan initipati manifesto yang dijanjikan kepada rakyat semasa pilihan raya," katanya. 

Bagaimanapun Bung Moktar berkata, usaha itu akan mengambil masa untuk direalisasikan. 

"Berikan kami masa dan peluang," ujarnya.

Bung Moktar ketika berucap kepada para penyokong yang hadir untuk memberi sokongan dan semangat kepada beliau.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah dan Ketua Umno Sabah berharap kerajaan yang baharu ini akan dapat berfungsi dengan baik dan mampu melakukan yang terbaik kepada rakyat. 

Mengenai tanggungjawabnya di Kementerian Pembangunan Infrastruktur, Bung Moktar menambah, pihaknya akan memberi perhatian terhadap keadaan jalan-jalan raya di luar bandar dengan berusaha untuk menaiktarafkannya. 

"Kita juga akan meneliti jalan-jalan yang tidak dilaksanakan dengan baik oleh kerajaan sebelum ini agar ia dapat disempurnakan untuk kebaikan rakyat," katanya.

 

 

 

Isnin, 28 September 2020

HAJIJI ANGKAT SUMPAH KM ESOK

Haji menerima surat jemputan yang disampaikan Tun Juhar.

Ketua Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor akan mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri yang ke-16 di Istana Negeri pagi esok.

Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang terdiri daripada Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) sebulat suara menamakan Hajiji sebagai calon Ketua Menteri selepas memenangi pilihan raya negeri Sabtu lepas untuk menubuhkan kerajaan negeri yang baharu.

Petang tadi, beliau telah menerima surat jemputan mengangkat sumpah jawatan Ketua Menteri di Istana Negeri jam 10.00 pagi esok yang diserahkan sendiri oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin.

Tun Juhar mengucapkan tahniah atas pelantikan Hajiji sebagai Ketua Menteri yang baharu, yang beliau telah persetujui.

Sejurus selesai menerima surat jemputan itu, bakal Ketua Menteri itu menghadiri raptai Istiadat Angkat Sumpah.

Sebelum itu, Hajiji memaklumkan bahawa GRS telah sebulat suara bersetuju menamakan beliau sebagai Ketua Menteri.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada rakyat kerana telah memberi mandat kepada mereka dalam pilihan raya negeri kali ini.

Sementara itu, Pengerusi BN, Datuk Seri Bung Moktar Radin Sabah, berkata, mereka telah membuat persetujuan bagi pembentukan kerajaan yang baharu atas dasar kesedaraan dan keyakinan bahawa kerajaan ini mampu untuk memulihkan kembali semangat rakyat.

"Mereka selama ini telah hilang keyakinan disebabkan pemerintahan yang tidak prihatin kepada rakyat", katanya sambil menambah bahawa ia satu tugas yang berat kepada mereka.

Beliau berharap pembentukan kerajaan baharu ini akan dapat memulakan langkah bagi memastikan rakyat mendapat perhatian dari kerajaan dan memikirkan masa depan negeri ini.

Ahad, 27 September 2020

PBS TIDAK AKAN BERGABUNG DENGAN WARISAN PLUS, KATA JONISTON

Parti Bersatu Sabah (PBS) tidak akan bergabung dengan parti Warisan Plus untuk membentuk kerajaan negeri, kata Ketua Penerangannya, Datuk Joniston Bangkuai.

Beliau berkata, sebagai rakan kongsi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), PBS tetap akan kekal sebagai rakan sekutu Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN).

Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Kiulu itu dalam satu posting di akaun facebooknya menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa parti itu akan bergabung dengan Warisan Plus bagi tujuan tersebut.

Dakwaan itu telah ditularkan di media sosial berikutan keputusan pilihan raya negeri, kelmarin.

Berdasarkan keputusan pilihan raya negeri pada Sabtu, PN Plus dan Barisan Nasional (BN) mempunyai sejumlah 41 kerusi termasuk tiga kerusi Bebas untuk membentuk kerajaan negeri yang baharu.

 Bung Moktar dan Hajiji Noor.

Selepas mengadakan perbincangan, PN Plus dan BN mengemukakan dua nama calon ketua menteri, Pengerusi PN, Datuk Hajiji Mohd Noor dan Pengerusi BN, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang akan ditentukan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin selewat-lewatnya esok (Isnin).

Pengerusi BN, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata Tun Juhar telah meminta tempoh untuk menentukan calon ketua menteri dalam masa secepat mungkin.

"Keputusan dijangka dicapai dalam masa terdekat," katanya selepas keluar dari perkarangan Istana Negeri, hari ini.

Manakala Pengerusi PN Sabah, Datuk Hajiji Mohd Noor ketika ditemui hanya berkata, "TYT akan putuskan".

Setiausaha Agung PBS, Datuk Jahid Jahim pula berkata, perbincangan berhubung calon ketua menteri berjalan dengan baik.