Selasa, 23 Jun 2020

RACUN PUNCA KEMATIAN GAJAH DI SABAH

Sekumpulan gajah pygmy berkeliaran di tebing sungai di sebuah hutan di Sabah.

Jabatan Hidupan Liar Sabah (JHLS) mendapati kematian kira-kira 60 ekor gajah di Sabah sejak sepuluh tahun lalu berpunca dari racun.

Timbalan Pengarah jabatan berkenaan, Dr. Sen Nathan, berkata setiap gajah di negeri ini terdedah dengan risiko racun sama ada yang digunakan pada tumbuh-tumbuhan, kawasan perladangan dan alam sekitar.

Justeru, katanya, jabatan sedang bekerjasama dengan Pusat Racun Negara bagi melakukan penyelidikan dan penyiasatan terhadap racun yang digunakan untuk tujuan tersebut sehingga menjadi punca kematian haiwan yang dilindungi itu.

Menurut Nathan, kerjasama dengan Pusat Racun Negara itu dimulakan sejak Mac lepas namun tergendala berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Tetapi kami akan meneruskan projek ini untuk mengetahui isu keracunan gajah ini," katanya kepada Bernama.

Beliau memberitahu, gajah yang berjaya ditangkap akan dilepaskan ke hutan simpan turut mempunyai risiko keracunan tetapi agak rendah.

Mengenai isu keracunan haiwan itu di kawasan perladangan, beliau berkata, ia tidak begitu membimbangkan kerana kebanyakan estet ketika ini mengamalkan sistem perladangan yang dapat melindungi gajah terbabit.

"Masalahnya sekarang, kami ingin tahu dan kenal pasti sama ada gajah-gajah tersebut mati disebabkan termakan racun atau sengaja diracun," kata beliau.

Nathan berkata, pihaknya akan melakukan kajian bermula Ogos ini bagi mendapatkan data lengkap berkaitan populasi gajah di Sabah melalui dana Lembaga Minyak Sawit Malaysia.

Berdasarkan data 12 tahun lalu, populasi gajah di negeri ini, terdapat sejumlah 2,000 ekor dan kumpulan terbesar terdapat di Hutan Simpan Gunung Rara iaitu kira-kira 600 ekor.

Manakala di Hutan Simpan Tabin dianggarkan berjumlah 500 ekor dan 300 ekor lagi di kawasan Kinabatangan.

Katanya, sudah tiba masanya untuk mendapatkan data baharu memandangkan konflik haiwan itu dengan manusia bertambah terutama membabitkan kawasan habitat.
Gajah yang didapati mati dan diratapi anaknya.

Beliau juga menjelaskan bahawa mereka akan mengunjungi semua tempat pemilik ladang untuk melakukan kaji selidik bagi mendapatkan data secara holistik.

Sebelum ini, Kerajaan negeri telah meluluskan Pelan Tindakan Gajah Negeri Sabah 2020-2029 dalam usaha untuk memastikan haiwan itu tidak mengalami kepupusan di bumi Sabah.

Pelan tindakan 10 tahun itu telah diluluskan Kabinet negeri dengan peruntukan sebanyak RM20 juta.

Selasa, 16 Jun 2020

UPKO BAHAGIAN BEAUFORT LUMPUH

Limus berbincang dengan Lokman, Raymond dan Weldy (membelakang kamera) dalam satu mesyuarat parti.

Seperti dilanda badai, Upko Bahagian Beaufort lumpuh serta merta ekoran pendirian Ketua Bahagiannya, Datuk Limus Jury bertindak meninggalkan parti itu berkuatkuasa kelmarin.

Serentak dengan itu, beliau yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Kuala Penyu telah mengisytiharkan dirinya sebagai Adun Bebas bersama rakannya Adun Sugut, Datuk James Ratib.

Kedua-dua mereka yang digelar sebagai YB kontroversi yang menjadi buruan sejak kebelakangan ini dikatakan sentiasa "membingungkan" pimpinan atasan dalam kerajaan terutama Ketua Menteri, Datuk Seri Shafie Apdal.

Mereka tiba-tiba muncul kelmarin, keluar dari persembunyian dan bertentang mata dengan para wartawan dan jurugambar dengan kejutan pengumuman keluar parti untuk menjadi Adun Bebas dan menyokong Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyddin Yassin.

Beberapa pemimpin kanan bahagian turut hadir. Kecuali Timbalan Ketua bahagian beliau, yang juga Setiausaha Agung Upko, Nelson W. Angang, semua bekas naib ketua bahagian hadir. Mereka ialah Raymond Jurih, Rajinan Edin, Lokman Sunggim dan Charles Kilo.

Selain mereka, bekas Ketua Pemuda Upko Bahagian, Mikhail Sungiau Abdullah dan bekas Ketua Wanita Upko Bahagian, Linda Anthony juga hadir.

Bekas setiausaha bahagian, Weldy Throp Hujie hari ini, berkata, daripada 31 ahli jawatankuasa bahagian berkenaan hanya dua orang saja, Nelson dan seorang ahli jawatankuasa bahagian tidak keluar parti.

Ini bermakna 29 ahli jawatankuasa bahagian termasuk pengerusi tetap dan timbalannya mengisytiharkan mengikut jejak Limus yang juga Naib Presiden Upko.

"Mereka memberitahu pendirian mereka kepada saya untuk bersama-sama YB dan tindakan mereka menyebabkan bahagian ini dengan sendirinya lumpuh dan terbubar,".

"Saya percaya semua cawangan juga menghargai tindakan bekas ketua bahagian dan akan menyertai beliau untuk membawa haluan baharu," tegasnya.

Difahamkan Adun Bebas Kuala Penyu itu bersama bekas anggota bahagian dan cawangannya akan menyertai sebuah parti besar dalam sedikit masa lagi.

Ahad, 14 Jun 2020

PEGUAM DIREMAN SEMINGGU DALAM KES PENJUALAN TANAH

Michael Ubu (tengah) diiringi pegawai SPRM di bangunan mahkamah pada Sabtu.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapatkan perintah penahanan tujuh hari terhadap seorang peguam bagi membantu siasatan dalam urusan penjualan tanah bernilai RM155 juta kepada Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA).

Majistret Lovely Natasha Charles mengeluarkan perintah itu kepada peguam Michael Persius Ubu, 63, pada Sabtu selepas mendapat permohonan reman daripada SPRM berkuatkuasa 12 Jun.

SPRM mengkehendaki suspek sejak 2017 untuk membantu siasatan berhubung urusan penjualan tanah di daerah Tongod, yang terbantut kerana masalah penukaran status Tanah Anak Negeri.

RISDA, agensi di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) telah bersetuju membeli dua bidang tanah seluas 6,000 ekar di Tongod pada 2014.

Untuk tujuan tersebut, RISDA telah melantik sebuah firma guaman yang berpangkalan di Sabah, Michael Ubu & Co untuk mengendalikan urusan pembelian tanah dan membuat pembayaran pendahuluan sebanyak 10 peratus iaitu RM15.5 juta kepada firma guaman itu setelah menandatangani urusan jual beli.

Bagaimanapun, perjanjian itu terbantut disebabkan tanah terbabit adalah Tanah Adat Anak Negeri.

Wang pendahuluan RM15.5 juta yang dipegang firma guaman berkenaan, yang bertindak sebagai pemegang amanah, tidak mengembalikannya kepada RISDA.

Ubu yang ditangkap SPRM pada petang Jumaat, diiringi peguamnya, Zahir Shah dibawa ke Mahkamah Majistret pada pagi Sabtu.

Dia didakwa di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan atas kes pecah amanah jenayah membabitkan penjawat awam atau ejen.

Mohd Faliq Basirudin bertindak sebagai Pegawai Pendakwa SPRM dalam kes itu.

Sebelum ini, Malaysiakini pernah melaporkan bahawa 21 peguam telah disenaraikan dikehendaki polis atas dakwaan pecah amanah dan salah guna wang anak guam.

Ubu adalah salah seorang peguam yang dikehendaki itu dan gambar mereka turut disiarkan dalam portal tersebut.

 



Sabtu, 13 Jun 2020

PARLIMEN BERSIDANG MULAI 13 JULAI

Parlimen akan bersidang bulan depan mulai 13 Julai, demikian menurut Pejabat Setiausaha Dewan Rakyat.

Persidangan selama 25 hari itu akan berakhir pada 27 Ogos ini.

Menerusi surat makluman pejabat tersebut kepada Ahli-Ahli Dewan Rakyat semalam menyatakan, ia merupakan mesyuarat kedua, penggal ketiga, Parlimen keempat belas.

"Ia menurut Peraturan Mesyuarat 9(2)(a) Peraturan-Peraturan Mesyuarat Majlis Dewan Rakyat iaitu Mesyuarat Kedua, Penggal Ketiga, Parlimen Keempat Belas," kata pejabat berkenaan.

Sebelum ini, parti-parti pembangkang mendakwa akan mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri yang menerajui kerajaan.
Pada 18 Mei lepas, istiadat pembukaan persidangan Dewan Rakyat bagi mesyuarat pertama penggal ketiga Parlimen Ke-14 disempurnakan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Persidangan itu menarik perhatian apabila ia pertama kali menyaksikan kemunculan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin Tan Sri Muhyddin Yassin menggantikan Pakatan Harapan (PH).

Sidang pertama bagi tahun 2020 itu sepatutnya diadakan antara 9 Mac hingga 16 April namun ditangguhkan berikutan penularan wabak Covid-19.

Jumaat, 12 Jun 2020

BEKAS PEGAWAI KANAN MENTERI DICARI SPRM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang mengesan seorang bekas pegawai kanan kepada bekas menteri persekutuan bagi membantu siasatan suruhanjaya tersebut.

Dalam satu kenyataan media SPRM Putrajaya hari ini, bekas pegawai itu dikenali Mohd Saifullah Mohd Minggu @ Mohd Hisham (gambar atas).

Alamat terakhir lelaki tersebut ialah di KM 2, Jalan Bubul, Peti Surat 351, 91308 Semporna, Sabah.

SPRM meminta kerjasama orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai Mohd Saifullah supaya menghubungi  Pegawai Penyiasat, Penolong Pesuruhjaya, Mohd Fairul Aswan di talian 013-5208426 dan 03-88700562 atau menerusi emel ke alamat fairulaswan.salleh@sprm.gov.my.


Khamis, 11 Jun 2020

SEMUA MP WARISAN NAFI LAPORAN TINGGALKAN PARTI

Kesemua Anggota Parlimen (MP) Parti Warisan Sabah menyangkal dakwaan bahawa ada dalam kalangan mereka lapan MP telah keluar meninggalkan parti tersebut.

Mereka menyifatkan laporan sebuah akhbar di Semenanjung dan beberapa posting yang viral di media sosial sebagai tidak benar dan hanya sekadar khabar angin.

Kelapan-lapan MP berkenaan ialah Anggota Parlimen Penampang, Datuk Ignatius Darell Leiking yang juga Timbalan Presiden Warisan, Datuk Mohamaddin Ketapi (Lahad Datu), Datu Liew Vui Keong (Batu Sapi), Datuk Azis Jaman (Sepanggar), Isnaraissah Munirah Majilis (Kota Belud), Ma'amun Sulaiman (Kalabakan), Ahmad Hassan (Papar) dan Datuk Rozman Isli (Labuan).

Ketua Menteri, Datuk Seri Shafie Apdal juga merupakan Anggota Parlimen Semporna.

Dalam kenyataan bersama, mereka menafikan sekeras-kerasnya laporan yang bertiup kencang itu dan menyatakan ia adalah tidak benar.

Mereka mendakwa bahawa semua MP terbabit mempunyai keyakinan penuh terhadap kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Shafie Apdal yang juga Anggota Parlimen Semporna dan akan terus berdiri teguh dibelakang beliau.

Menurut mereka, desas-desus akan berlaku pembelotan menunjukkan Kerajaan Persekutuan cuba mendapatkan sokongan bagi membolehkan mereka dapat meneruskan pemerintahan.

"Kami tidak akan mengkhianati amanah rakyat dan akan berpegang teguh kepada prinsip kami," dakwa mereka.
Dalam perkembangan berkaitan, Anggota Parlimen Kota Belud, Puan Isnaraissah Munirah (gambar), satu-satunya MP wanita Warisan turut menolak dakwaan bahawa beliau akan keluar parti.

"Saya terkejut apabila ada portal menyebut empat orang anggota parlimen Warisan termasuk seorang wanita yang telah viral", katanya.

Munirah berkata, gelaran yang berhormat yang diterimanya sekarang atas kepercayaan masyarakat dengan parti Warisan dan beliau tentunya tidak akan mensia-siakan.

Katanya, beliau berdiri teguh dan menyokong penuh kepimpinan parti Warisan yang diketuai Ketua Menteri, Datuk Seri Shafie Apdal

Sementara itu, Ketua Menteri difahamkan mengadakan perjumpaan dengan ahli-ahli dewan undangan negeri dan anggota parlimen Kerajaan Negeri dari Warisan, PKR dan Upko di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), pagi ini.

ISNIN DILANTIK TIMBALAN PENGERUSI LPP

Anggota Dewan Undangan Negeri (Dun) kawasan Klias, Datuk Isnin Aliasnih (gambar) dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) yang baharu.

Pelantikan itu untuk tempoh dua tahun berkuatkuasa pada 18 Mei yang lepas.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee mengumumkan pelantikan Isnin yang juga Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Beliau berharap dengan pelantikan itu, Adun berkenaan akan dapat memberi sumbangan ke arah menjadikan LPP sebagai sebuah agensi lebih cemerlang untuk membangunkan pertubuhan peladang.

Katanya, ia sekaligus dapat melahirkan warga peladang yang produktif dalam merancakkan lagi sektor pertanian negara.

Pada pilihan raya umum ke-14, Isnin memenangi kerusi Dun Klias atas tiket Barisan Nasional (BN) dari Umno dan kemudian telah menyertai Bersatu pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bersatu Beaufort adalah antara bahagian parti itu di Sabah yang telah memberi sokongan terhadap kepimpinan Perdana Menteri sekarang.

Sabtu, 6 Jun 2020

SEBASTIAN KEMBALI BERTUGAS DI KUALA PENYU

Abdul Imam (tiga dari kiri) bertukar dokumen dengan Sebastian pada majlis serah tugas itu.

Sebastian Ingkim, pegawai daerah yang sebelum ini ditukarkan ke Kementerian Pelajaran dan Inovasi kembali bertugas di daerah kelahirannya, Kuala Penyu.

Beliau menggantikan Pegawai Daerah, Abdul Imam Basirun yang dipindahkan ke Beaufort mengambil alih tugas Pegawai Daerah, Jupry Etok yang akan menjawat jawatan Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Pelajaran dan Inovasi.

Jawatan itu sebelum ini dipegang Sebastian untuk tempoh beberapa bulan.

Majlis penyerahan tugas Abdul Imam dan Sebastian dilakukan secara tertutup di Bilik mesyuarat Pejabat Daerah Kuala Penyu, kelmarin.

Pertukaran mengejut Sebastian ketika kempen pilihan raya kecil Parlimen Kimanis yang lalu mendapat perhatian Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Penyu, Datuk Limus Jury yang sibuk membantu kempen calon yang bertanding pada ketika itu.

Beliau telah meminta jasa baik Ketua Menteri, Datuk Seri Shafie Apdal supaya pegawai daerah tersebut dikekalkan di daerah berkenaan memandangkan beliau (Sebastian) telah berkhidmat dengan baik.

Ketika itu, jawatannya diambil alih Abdul Imam dari Semporna.
Jupry (kiri) bersama Abdul Imam ketika majlis penyerahan tugas.

Pada upacara berasingan di Beaufort, Jupri menyerahkan tugas kepada Abdul Imam yang menjadi pegawai daerah yang baharu di daerah tersebut.

Manakala bekas pegawai daerah itu ditukarkan ke Kementerian Pelajaran dan Inovasi di Kota Kinabalu.

Isteri Jupry, Puan Aminah Aching merupakan Ketua Wanita Umno Bahagian Beaufort.

Dalam perkembangan lain, Abdul Imam berkata, masalah air di daerah berkenaan tidak boleh dibiarkan kerana ia bukan sahaja keperluan asas pengguna tetapi ia juga boleh membantutkan pembangunan.

Bagaimanapun, menurut beliau, pihaknya memerlukan penjelasan dari Jabatan Air Beaufort terlebih dahulu sebelum membuat sebarang cadangan dan keputusan untuk memulihkan bekalan air tersebut.

Katanya, bekas pegawai daerah berkenaan sudah memaklumkan kepadanya mengenai masalah berterusan dihadapi penduduk Klias dan Lumadan termasuk di kebanyakkan kampung serta sekitar pekan Beaufort.

Sehubungan itu, Abdul Imam memberitahu, beliau sendiri akan turun padang untuk melihat sendiri keadaan yang berlaku.