Sabtu, 22 Januari 2011

PBS DAN UPKO PERTIKAI CADANGAN PERKENAL UNDI PROKSI

PAIRIN...bercanggah amalan demokrasi.

Dua parti komponen Barisan Nasional (BN) di Sabah, Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Upko mempertikaikan cadangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk memperkenalkan sistem undi proksi, satu kaedah yang membolehkan seseorang pemilih mewakilkan pihak lain untuk mengundi bagi pihaknya.

PBS, anggota komponen kedua terbesar di Sabah menyifatkan cadangan SPR berhubung sistem undi proksi sebagai satu kaedah yang bertentangan dengan amalan demokrasi di negara ini.

Presidennya, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, berkata berdasarkan amalan demokrasi, rakyat diberi hak untuk mengundi serta menentukan kerajaan pilihan melalui pilihan raya yang diadakan.


Katanya, oleh itu, cadangan tersebut ternyata bercanggah dengan konteks demokrasi dan tidak seharusnya diterima kerana ia dikhuatiri akan menimbulkan lebih banyak masalah.

"Kita harap cadangan itu tidak dilaksanakan kerana ia akan menimbulkan kekeliruan dan ini pasti mencetuskan perbahasan dan polemik berpanjangan di kalangan semua pihak berkepentingan," katanya.


Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur itu bimbang jika cadangan itu diterima pakai, kepercayaan terhadap sistem demokrasi tidak akan dapat dipertingkatkan kerana ia bertentangan dengan peranan dan hak rakyat.


Sementara itu, Timbalan Presiden Upko, Datuk Wilfred Bumburing berkata, partinya tidak bersetuju dengan cadangan seumpama itu kerana ia memberi peluang kepada pendatang asing untuk mengundi dalam pilihan raya.

Katanya, memandangkan negeri ini mempunyai ramai pendatang tanpa izin, cadangan sistem undi proksi ini boleh memberi ruang kepada mereka untuk mengundi.


Menurutnya, Upko berpandangan bahawa cadangan SPR itu tidak wajar dilaksanakan kerana ia mempunyai risiko besar di Sabah jika ia dilaksanakan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan