Rabu, 26 Januari 2011

TIGA PEMAIN HADAPI KEMUNGKINAN DISINGKIR

Keratan akhbar yang menyiarkan pengesahan Sabah FA mengenai penahanan polis terhadap ketiga-tiga pemain tersebut.

ALIJUS...tindakan akan diambil.

Tiga pemain skuad Liga Simpanan Sabah termasuk seorang yang tersenarai dalam skuad Liga Super Malaysia yang baru-baru ini ditahan polis atas dakwaan terbabit dalam kes pecah rumah kini menghadapi kemungkinan penyingkiran oleh majikan mereka, Persatuan Bolasepak Sabah (Sabah FA).

Setiausaha Agung Sabah FA, Alijus Sipil, berkata mereka tidak akan bertolak ansur dengan kesalahan seperti itu dan tindakan tegas pasti akan diambil terhadap pesalah.


Katanya, Sabah FA amat sedih dengan insiden tersebut dan tidak menjangka ia boleh berlaku.


"Kami sangat sedih dengan insiden yang membabitkan pemain skuad Liga Simpanan ini. Dan ia sesuatu yang tidak pernah kami jangka kerana ia berlaku sehari selepas taklimat kepada semua pemain di mana pada ketika itu, para pemain telah diperingatkan mengenai disiplin sama ada ketika di dalam padang mahu pun di luar," tegasnya.


Alijus berkata, dalam kes ini, Sabah FA masih menunggu laporan siasatan akhir daripada pihak polis berhubung ketiga-tiga pemain terbabit yang masih dalam tahanan polis sebelum sebarang tindakan diambil.

Bagaimanapun, katanya, beliau difahamkan hanya tujuh pemain yang telah ditahan dan bukannya lapan sebagaimana yang dilaporkan media sebelum ini.

Empat daripada pemain tersebut sudah pun dibebaskan.


Ketiga-tiga pemain yang masih ditahan polis itu berusia antara 18-20 tahun disyaki telah melakukan pecah rumah di sebuah apartmen di Likas Square dipercayai terletak di tingkat 14 bangunan itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan