Barisan Nasional (BN) yakin akan dapat mempertahankan kerusi Parlimen Batu Sapi sungguhpun terpaksa berhadapan dengan taiko Yong Teck Lee, Presiden SAPP yang awal-awal lagi mengumumkan untuk bertanding kerusi Parlimen berkenaan.
Selain menyaksikan cabaran darpada bekas Ketua Menteri itu, Pakatan Rakyat (PR) juga dijangka turut meletakkan calonnya bagi menentang BN dalam pilihan raya kecil itu.
Pengerusi BN Pusat, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, peluang BN untuk memenangi semula kerusi itu tidak terjejas walaupun terpaksa menghadapi Presiden SAPP itu.
Perdana Menteri berkata, BN mampu menguasai sebahagian besar pengundi di kawasan Parlimen Batu Sapi dan sebab itu tiada sebab bagi BN tidak boleh mempertahankan kerusi tersebut.
Menurut Najib, "sesiapa pun bebas untuk menjadi calon. Biarlah beliau (Yong) masuk bertanding. Kita akan berhadapan dengan dia."
Perdana Menteri mengulas keputusan bekas Ketua Menteri itu untuk mengesahkan bertanding kerusi Parlimen Batu Sapi, yang diumumkan oleh Naib Presiden SAPP yang juga Ketua Bahagian SAPP Karamunting, Poon Kee Yang.
Dalam perkembangan berkaitan, Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Musa Haji Aman menyeru pengundi di kawasan berkenaan supaya bijak memilih wakil rakyat mereka yang mampu meneruskan kesinambungan pembangunan ekonomi dan sosial di Batu Sapi.
Katanya, BN tahu tipu helah pembangkang dan tiada masalah bagi BN untuk berhadapan dengan mereka.
"Rakyat mahukan pembangunan dan bukan retorik semata-mata atau cakap-cakap sahaja serta janji kosong, ini semua tidak betul," kata Ketua Menteri.
Manakala Pakatan Rakyat dijangka menurunkan calon dari PKR dan mereka difahamkan bekerja secara bersama dengan taiko Yong untuk menghadapi tentangan kuat BN.
Presiden SAPP menyifatkan keputusan untuk bertanding dalam pilihan raya kecil Batu Sapi itu sebagai ujian kepada partinya sebelum bertarung dalam pilihan raya umum ke-13 nanti.
Beliau berkata, pilihan raya kecil ini dijangka amat mencabar dan menjangka kempen yang sungguh sengit kerana menurutnya, BN akan melakukan apa saja untuk memenangi kerusi tersebut.
Bagaimanapun, Yong berkata, partinya akan memberi tentangan hebat kerana sedar BN akan menyerang beliau secara habis-habisan.
"Mereka akan berusaha melenyapkan saya daripada pentas politik," kata beliau dan percaya bahawa pilihan raya kecil ini turut memberi kesan ke seluruh negara.
Yong yang hilang kelayakan bertanding dalam pilihanraya selama lima tahun sejak 2001 dan menyatakan hasrat untuk kembali bertanding dalam pilihan raya umum ke-12 lalu bagi kawasan Parlimen Kota Kinabalu namun kuota bagi kerusi itu diberi kepada PBS di mana calonnya ketika itu tewas kepada calon DAP, Dr Hiew Keng Cheu.
Suasana di bandar Sandakan ketika ini dilaporkan begitu hangat dan meriah dengan menyaksikan bilik-bilik hotel di bandar tersebut sudah habis ditempah sejak Isnin lepas. Penyokong-penyokong parti yang bertanding, petugas-petugas pilihan raya dan anggota media dilaporkan sejak awal-awal lagi sudah berada di situ.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan