Rabu, 27 Oktober 2010

BATU SAPI SAKSI PERTARUNGAN TIGA PENJURU

SEPAKAT...Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (tiga dari kanan) kelihatan bersama calon BN, Datin Linda Tsen Thau Lin, Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Haji Aman (tiga dari kiri) dan Tan Sri Joseph Pairin Kitingan (kanan sekali) untuk memberi sokongan kempen kepada calon BN itu.

SEMANGAT GOLONGAN MUDA...Puteri Umno adalah antara 10,000 penyokong yang mengiringi calon BN pada Hari Penamaan Calon bagi kerusi Parlimen Batu Sapi.


Kira-kira 10,000 penyokong Barisan Nasional (BN) hadir memberi semangat dan sokongan terhadap calon BN bagi kerusi Parlimen Batu Sapi, Datin Linda Tsen Thau Lin pada hari penamaan calon pilihan raya kecil kawasan tersebut.

Datin Linda, 54, balu mendiang Datuk Ir. Edmund Chong, bekas Anggota Parlimen kawasan Batu Sapi akan terlibat dalam pertandingan tiga penjuru dan ditentang Datuk Yong Teck Lee, 52, Presiden SAPP dan Ansari Abdullah, 56, dari PKR.

Senarai nama calon itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan raya bagi pilihan raya kecil Batu Sapi, Mohamad Hamsain Awang Supain yang juga Setiausaha Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) di Dewan Masyarakat Sandakan.

Sekalipun terpaksa berhadapan dengan dua lawan dari pembangkan, Linda, Timbalan Ketua Wanita PBS Bahagian Elopura berikrar akan berusaha untuk memenangi kerusi tersebut bagi membolehkannya meneruskan agenda pembangunan di kawasan berkenaan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengetuai 10,000 penyokong BN di hari penamaan calon, berkata BN akan menggunakan pendekatan tidak memandang mudah cabaran daripada dua calon pembangkang itu.

"Kita mempunyai strategi tertentu untuk menyakinkan pengundi di Batu Sapi bahawa calon BN, Datin Linda adalah calon terbaik untuk mewakili mereka dan mampu memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat di kawasan ini," katanya.

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Haji Aman pula menyifatkan strategi kempen yang digunakan calon SAPP, taiko Yong dengan membawa konsep "Sabah Untuk Rakyat Sabah" dan mengembalikan autonomi kepada Sabah sebagai isu lapuk yang tidak selari dengan aspirasi negara.

Katanya, cara pemikiran seperti itu sudah ketinggalan zaman memandangkan rakyat di negara ini kini hidup dalam suasana aman dan sejahtera di dalam sebuah negara.

Sebagai warganegara Malaysia haruslah bercakap sebagai warga yang bertanggungjawab dan tidak terlalu memainkan sentimen kenegerian," katanya.

Sementara itu, calon PKR, Ansari Abdullah berasal dari Tuaran mendakwa kira 60 peratus rakyat Bumiputera di kawasan Batu Sapi telah diabaikan oleh pemerintahan BN sejak 47 tahun lalu.

Katanya, masyarakat Bumiputera di kawasan itu telah dipinggirkan oleh kerajaan dan tiada pembelaan yang wajar dilakukan kepada mereka.

Apa pun, pemimpin-pemimpin BN ketika ini berusaha keras untuk menyakinkan pengundi supaya mereka membuat pilihan yang tepat kerana kemenangan calon BN di kawasan itu akan memastikan kesinambungan pembangunan yang telah dirancang sebelum ini.

Kesepakatan dan kerjasama erat kalangan pemimpin parti-parti komponen BN turut mencerminkan kesungguhan mereka untuk membantu memastikan kerusi tersebut dapat dipertahankan oleh BN.

Musa yang juga Pengerusi BN Negeri merangkap Pengarah Operasi pilihan raya kecil itu berkata bahawa usaha untuk turun padang bagi mendekati rakyat akan dilakukan secara berterusan dan bukan hanya pada musim pilihan raya.

Katanya, ini penting bagi membolehkan setiap wakil rakyat di negeri ini bersikap prihatin dengan masalah yang dihadapi rakyat sejajar dengan gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.





Tiada ulasan:

Catat Ulasan