Rabu, 13 Januari 2010

SALLEH KEMBALI BERPERANAN DALAM KERAJAAN

TAHNIAH...Salleh (kiri) menerima watikah perlantikan jawatan itu daripada Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Haji Aman.

Bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Salleh Tun Said kembali berperanan dalam kerajaan berikutan pelantikannya sebagai Penasihat Sains kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Haji Aman, berkuatkuasa pada 4 Januari lepas.

Ketika mengumumkan pelantikan itu dalam satu persidangan akhbar, Musa berkata, Salleh akan membantu beliau termasuk menjalankan tugas-tugas khas yang akan diberikan.

Para penganalisis politik melihat dengan tugas baru bertaraf menteri itu membolehkan Salleh yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah dapat menyumbang input dan pandangan bagi membantu merealisasikan hala tuju pembangunan Sabah, yang dicanangkan oleh Ketua Menteri.

Biarpun peranannya sekadar Penasihat Sains kepada kerajaan negeri khususnya Ketua Menteri namun Salleh, yang sebelum ini pernah memegang pelbagai fotpolio dalam kabinet negeri selain bekas Ketua Menteri tentunya mampu menggunakan pengalaman luas dan kebijaksanaan untuk membantu kerajaan menggerakkan pembangunan serta membela rakyat sejajar dengan konsep Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

Tahniah Datuk Seri atas kepercayaan yang diberikan oleh Ketua Menteri, mudah-mudahan ini menjadi detik permulaan untuk kembali berperanan lebih aktif dalam kerajaan, memanfaat segala ilmu, kepakaran dan kebijaksanaan dalam era politik berasaskan ilmu pengetahuan, kebijaksanaan demi memperkasa demokrasi sebenar yang menjadi impian rakyat jelata.

Selaku pemimpin nombor dua dalam kepimpinan Umno Sabah, Datuk Seri memang selayaknya diberi peranan dalam kerajaan, bukan hanya membantu menggerak perancangan pembangunan malah yang lebih penting ialah membantu menjayakan Gagasan 1Malaysia, yang dicetuskan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, pemimpin yang mampu melihat bisikan nurani rakyat.

Sungguh pun tugas baru Datuk Seri ini, pada saya, satu cabaran namun sebenarnya ini adalah satu landasan terbaik untuk terus berkhidmat dengan lebih pro aktif kepada rakyat baik melalui kerajaan mahupun saluran politik yang penuh gelombang.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan