Sabtu, 28 November 2020

UMNO BEAUFORT ZIARAHI WARGA EMAS YANG SAKIT

 

Awang Aslee menyampaikan sumbangan kepada salah seorang warga emas sambil diperhatikan Aminah.

BEAUFORT--Umno Bahagian Beaufort diketuai Pemangku Ketuanya, Awang Aslee Lakat menziarahi beberapa warga emas termasuk mereka yang sakit di Klias dan menghulur sedikit sumbangan kepada mereka.

Antara mereka yang diziarahi Azura Ani William di Kampung Kebatu, yang telah terlantar sakit kira-kira dua bulan lepas, Salim Puyak dan Jauranih Manak di Kampung Mapait.

Awang Aslee yang juga Setiausaha Eksekutif Umno Sabah turut menziarahi keluarga allahyarham imam Elin Salim di Kampung Limbawang dekat sini dan mengucapkan takziah kepada ahli keluarga berkenaan.

Turut menyertai rombongan beliau ialah Setiausaha Politik Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Aminah Aching yang juga Ketua Wanita Umno Bahagian Beaufort, Ketua Pemuda, Mohd Fazlih Misdeh dan beberapa ahli jawatankuasa bahagian yang lain.

Pemangku Ketua Umno bahagian itu, berkata pihaknya medoakan mereka yang sedang sakit itu agar cepat sembuh dan keadaan kesihatan mereka kembali pulih seperti sediakala.

“Kita doakan mereka mendapat kesembuhan dan sentiasa dirahmati oleh Allah s.w.t,” ujarnya.

Dalam acara berasingan, beliau juga telah meninjau pejabat Umno bahagian yang baharu di pekan ini.

Awang Aslee dan Aminah bersama rombongan ketika melakukan aktiviti ziarah tersebut.

Jumaat, 20 November 2020

JELIUS DILANTIK JURULATIH DAN PENGURUS SABAH FC MUSIM DEPAN

Verdon (dua kanan) bersama Jelius, Justin dan Mohd Aiyman.

Jelius Ating dilantik sebagai jurulatih merangkap pengurus pasukan Sabah FC bagi menghadapi Liga Malaysia musim depan.

Dia menggantikan jurulatih Kurniawan Dwi Yulianto dari Indonesia yang tidak disambung kontrak. 

Pelantikan itu diumumkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sabah FC, Dato' Verdon Bahanda dalam sidang media di pejabat SAFA, hari ini.

Bekas jurulatih skuad Piala Presiden Sabah musim 2020, Justin Ganai pula dilantik sebagai Pengarah Teknikal kelab tersebut.

Manakala Mohd Aiyman Abdullah @ David Johnny, bekas jurulatih skuad Piala Belia Sabah 2018 dan skuad Piala Presiden Kuching FA 2020 diberi tanggungjawab sebagai Pegawai Pembangunan Belia.

Verdon berkata, kontrak jurulatih terbabit akan dimuktamad dan diputuskan minggu depan.

                                                    VERDON...CEO Sabah FC.

Jelius merupakan jurulatih yang bertanggungjawab membawa pasukan Sabah naik ke saingan Liga Super pada musim 2019 selepas menjuarai Liga Perdana pada tahun itu.

Dia dilantik sebagai penolong jurulatih skuad Liga Super Sabah musim ini bersama rakannya, Burhan Ajui memandangkan Jelius tidak nemiliki Lesen Pro A atau Lesen Pro Diploma AFC bagi melayakkannya untuk melatih skuad Liga Super. Jelius hanya mempunyai Lesen A FAM.

Berikutan itu, SAFA telah mendapatkan khidmat Kurniawan sebagai jurulatih pasukan.

Bagaimanapun Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) baru-baru ini dilaporkan bersedia menjadi pemudahcara kepada mana-mana jurulatih Liga Malaysia bagi menyelesaikan proses memiliki Lesen Pro Diploma AFC.

Menurut Setiausaha Agungnya, Datuk Windsor Paul John, jurulatih berkenaan boleh membuat permohonan awal melalui Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebelum diserahkan kepada pihaknya untuk pertimbangan.

"Lesen Pro Diploma AFC atau lebih dikenali Lesen Pro A sebenarnya diwajibkan kepada semua jurulatih kerana ia memang termaktub dalam pelesenan kelab sebelum ini."

"Dalam situasi ini, ia bukan sahaja digunapakai Malaysia tetapi juga seluruh negara Asia. Kalau mana-mana jurulatih yang tidak ada lesen Pro A, mereka boleh memohon dengan AFC," tegas Windsor.

Katanya, AFC kemudian akan pertimbangkan kelayakan kejurulatihannya, mungkin dia tidak ada Lesen Pro A tetapi pengalamannya setaraf dengan Lesen Pro Diploma AFC.

Beliau menambah permohonan itu kemudiannya akan dinilai berdasarkan beberapa kriteria yang ditetapkan AFC.


BN SABAH SAMBUT BAIK PERISYTIHARAN DARURAT DI PARLIMEN BATU SAPI

Barisan Nasional (BN) Sabah menyambut baik keputusan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mengisytiharkan Proklamasi Darurat di Parlimen Batu Sapi sekali gus membatalkan pilihan raya kecil di kawasan berkenaan.

Pengerusinya, Datuk Seri Bung Moktar Radin (gambar), berkata keputusan baginda itu tentunya bertujuan untuk melindungi rakyat dari ancaman penularan Covid-19.

Katanya, keputusan itu satu langkah bijak bagi memastikan kesihatan rakyat Sabah tidak terjejas terutama di kawasan Parlimen tersebut di mana baginda lebih mengutamakan keselamatan dan kesejahteraan rakyat.

Beliau yang juga Ketua Umno Sabah mengulas keputusan yang diambil Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan darurat di kawasan Parlimen Batu Sapi pada Rabu lepas, sekali gus membatalkan PRK di kawasan tersebut.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon bagi PRK Batu Sapi pada 23 November manakala hari pengundian pada 5 Disember ini.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Liew Vui Keong pada 2 Oktober lepas akibat jangkitan paru-paru.

Berikutan perisytiharan itu, apa-apa juga prosiding yang telah bermula bagi maksud perjalanan pilihan raya kecil Parlimen P185 Batu Sapi tidak akan diteruskan bagi mengekang berlakunya gelombang keempat penularan Covid-19 dan satu tarikh lain akan ditetapkan untuk PRK tersebut.

Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kerja Raya itu berkata, perkenan Yang di-Pertuan Agong itu dilakukan dengan mengambil ikhtibar dan pengalaman daripada Pilihan Raya Umum Negeri Sabah September lepas yang menjadi faktor utama gelombang ketiga penularan wabak Covid-19 di negara ini.

Menurut beliau, pengalaman semasa menghadapi PRN itu perlu dijadikan ikhtibar bagaimana pandemik virus itu merebak begitu cepat khususnya di Sabah.

"Statistik yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 20 September 2020 yakni semasa hari penamaan calon, kes kumulatif Covid-19 sebanyak 808 kes dan selepas hari pengundian 26 September, kes telah meningkat mendadak kepada 1,547 kes dilaporkan atau sekitar 91.5 peratus."

"Selepas empat minggu PRN berlalu, peningkatan kes positif Covid-19 meningkat mendadak menjadikan Sabah merupakan negeri yang tertinggi mencatat kes positif virus tersebut," tegas beliau sambil menambah bahawa situasi itu menyebabkan kebimbangan terhadap PRK Batu Sapi sekiranya diadakan.

Bung Moktar berkata, menyedari kebimbangan itu serta disebabkan ancaman wabak Covid-19 mengambil masa untuk pulih, BN Sabah awal-awal lagi telah menyatakan pendirian untuk tidak meletakkan calon pada PRK tersebut.

Khamis, 19 November 2020

AWANG ASLEE SETIAUSAHA EKSEKUTIF UMNO SABAH YANG BAHARU

Datuk Jafry menyampaikan surat pelantikan kepada Awang Aslee (kanan) di pejabatnya.

Pemangku Ketua Umno Bahagian Beaufort, Awang Aslee Lakat dilantik sebagai Setiausaha Eksekutif Umno Sabah yang baharu berkuatkuasa 1 November lepas.

Beliau menggantikan Datuk Kadzim Yahya yang telah dilantik sebagai speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) yang baharu.

Awang Aslee juga merupakan bekas Penolong Setiausaha Umno Sabah.

Setiausaha Umno Sabah, Datuk Jafry Ariffin menyampaikan watikah pelantikan kepada Awang Aslee di pejabatnya, hari ini.

Ketika ditemui di sini, beliau berkata, pihaknya akan berusaha melakukan yang terbaik untuk menggalas amanah yang diberikan parti kepada beliau.

Katanya, di samping itu tanggungjawab baharu itu membolehkannya memainkan peranan untuk membantu memperkukuhkan lagi Umno di negeri ini.

Awang Aslee juga mengucapkan terima kasih kepada Umno Sabah terutama kepada ketuanya, Datuk Bung Moktar Radin atas kepercayaan yang diberikan kepadanya.

Sementara itu, Ketua Wanita Umno Bahagian Beaufort, Datuk Aminah Aching dan Ketua Pemuda Umno bahagian berkenaan, Mohd Fazlih Misdeh mengucapkan tahniah kepada Pemangku Ketua Umno bahagian itu atas pelantikan tersebut.

KERAJAAN NEGERI SOKONG PENUH PERISYTIHARAN DARURAT PARLIMEN BATU SAPI

Kerajaan negeri menyokong penuh keputusan Yang di-Pertuan Agong Al Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk mengisytiharkan darurat di Parlimen Batu Sapi, sekali gus membatalkan pilihan raya kecil kerusi berkenaan.

Ketua Menteri, Datuk SerI Panglima Hajiji Mohd Noor (gambar), berkata ia keputusan yang tepat mengambil kira penularan wabak Covid-19 yang menjejaskan kesihatan dan kesejahteraan rakyat di Sabah.

Katanya, ada keperluan untuk mengekang penularan pandemik wabak tersebut bagi menjamin kesihatan rakyat sebagai satu keutamaan.

Ketua Menteri dalam satu kenyataan pada Rabu, memberi jaminan kerajaan melalui Jawatankuasa Pengurusan Covid-19 Sabah akan memberi kerjasama sepenuhnya dengan pihak berkenaan untuk menangani wabak pandemik itu di negeri ini.

Yang di-Pertuan Agong mengisyitiharkan Proklamasi untuk Parlimen Batu Sapi, sekali gus membatalkan pilihan raya kecil di kawasan tersebut.

Proklamasi darurat berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan selepas memperhalusi penjelasan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mempersembahkan nasihat beliau susulan keputusan Jemaah Menteri berhubung perkara itu.

Dengan perisytiharan itu, apa-apa juga proseiding yang telah bermula bagi maksud perjalanan pilihan raya kecil Parlimen P185 Batu Sapi tidak akan diteruskan bagi menghalang daripada berlakunya gelombang keempat penularan wabak Covid-19 dan satu tarikh lain akan ditetapkan untuk PRK tersebut.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan hari penamaan calon bagi PRK Batu Sapi pada 23 November dan hari pengundian pada 5 Disember ini.

PRK itu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Liew Vui Keong pada 2 Oktober lepas.

Rabu, 18 November 2020

UMNO BEAUFORT SUMBANG BERAS UNTUK FOOD BANK MASJID NUR EHSAN MENUMBOK

Awang Aslee menyerahkan sumbangan beras itu kepada Ahmad.

Umno Bahagian Beaufort menyumbangkan beras untuk simpanan makanan (food bank) Masjid Nur Ehsan Pekan Menumbok untuk diagih-agihkan kepada mereka yang terkesan wabak Covid-19 di daerah kecil berkenaan.

Sumbangan itu disampaikan oleh Pemangku Ketua Umno Bahagian Beaufort, Awang Aslee Lakat kepada Pengerusi jawatankuasa masjid tersebut, Ahmad Zinin.

Awang Aslee yang juga Penolong Setiausaha Umno Sabah, berharap sumbangan itu sedikit-sebanyak dapat membantu mereka yang sangat terkesan daripada wabak tersebut.

"Semoga sumbangan kecil ini akan meringankan bebanan mereka yang terlibat," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Aminah turut menyampaikan sumbangan tersebut.

Pemangku Ketua Umno bahagian itu memberitahu, food bank Masjid Nur Ehsan merupakan insiatif jawatankuasa masjid tersebut untuk mengumpul barang-barang makanan daripada para penderma untuk diagih-agihkan kepada penduduk yang terkesan pandemik Covid-19.

Katanya, mereka yang memerlukan bantuan boleh menghubungi jawatankuasa masjid untuk mendapatkannya.

Beliau juga mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada Ketua Wanita Umno bahagian, Datuk Aminah Aching, Ketua Pemuda, Mohd Fazlih Misdeh, Setiausaha Bahagian, Abdul Rahman Mohd Taib, Ketua Puteri, Norjianah dan ahli-ahli jawatankuasa bahagian yang lain kerana turut menjayakan majlis tersebut.

Turut hadir pada majlis itu ialah Penasihat jawtankuasa masjid berkenaan, Haji Pengiran Jaafar Osman yang juga bekas Naib Ketua Umno bahagian.

Awang Aslee bersama pemimpin bahagian yang bersama-sama hadir pada majlis itu.

Sabtu, 14 November 2020

DATO VERDON DILANTIK CEO SABAH FC

Seorang usahawan, Dato' Verdon Bahanda (gambar) dilantik sebagai Pengarah merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sabah FC (Sabah Football Club Sdn. Bhd.) yang akan beraksi dalam saingan Liga Super musim depan.

Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA) telah membuat tawaran pelantikan kepada beliau melalui surat yang ditandatangani Pemangku Presiden, Dato' Abdul Rahman Zakaria bertarikh 12 November lepas.

Verdon hanya perlu melengkapkan Borang Penerimaan Jawatan tersebut dan mengembalikannya kepada SAFA.

Dalam surat itu, Rahman berkata, Jawatankuasa Eksekutif SAFA yang bermesyuarat pada 11 November lepas telah meluluskan untuk menawarkan jawatan berkenaan kepada usahawan itu.

Menurut beliau, pihaknya berharap Verdon akan memberi komitmen yang terbaik untuk meningkatkan prestasi dan imej badan bolasepak negeri itu.

Difahamkan mengikut peraturan Liga Bolasepak Malaysia (MFL), mulai tahun depan Liga Super akan membenarkan penyertaan kelab-kelab yang berdaftar sahaja dan tidak lagi menggunakan nama pasukan negeri sebagaimana biasanya sebelum ini.

Dalam perkembangan berkaitan, SAFA juga difahamkan akan menamakan Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Bung Moktar Radin memainkan peranan dalam badan bolasepak itu sebagaimana syor Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Mohd Noor.

Manakala Rafie Robert telah dilantik sebagai Setiausaha Agung SAFA yang baharu dan Naib Presiden FAM, Joehari Datuk Ayub dilantik sebagai Bendahari Agung yang baharu.

Pelantikan tersebut bagi membolehkan SAFA dapat meneruskan pentadbirannya dan menjalankan aktiviti sehinggalah mesyuarat agung pemilihan diadakan nanti.

SESB DIROMBAK UNTUK BERI PERKHIDMATAN TERBAIK KEPADA RAKYAT: BUNG MOKTAR

Bung Moktar berbincang dengan Setiausaha Tetap kementerian, Jasmin Julpin dan Pengarah JKR, Ir Ali Ahmad Hamid.

Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) akan dirombak secara besar-besaran untuk penstrukturan semula bagi membolehkannya lebih berdaya saing dan mampu memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat di negeri ini, kata Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Menurutnya, SESB yang mengurus bekalan elektrik menggariskan lima Bidang Keberhasilan Utama (KRA) untuk memenuhi matlamat tersebut.

Antaranya yang diberi penekanan ialah aspek Kawal Selia Berasaskan Insentif dijangka bermula Januari tahun hadapan, jaminan bekalan tenaga, meningkatkan kepuasan pelanggan, meningkatkan aliran tunai dan transformasi organisasi berkenaan.

Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya, berkata SESB telah mengalami kerugian demi kerugian sebelum ini di samping bekalan yang tidak mencukupi dan sering terputus dan hasil perbincangan dengan kementerian di peringkat persekutuan telah mencapai persetujuan bagi penstrukturan semula syarikat tersebut.

"Kita akan ambil alih SESB apabila syarikat itu dapat bangkit semula, untuk kita kendalikan sendiri bekalan elektrik di Sabah," katanya dalam persidangan media di Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) di Sembulan, pada Jumaat.

Turut hadir kedua-dua pembantu menteri, Datuk Limus Jury dan Datuk Robert Tawik, Setiausaha Tetap kementerian, Jasmin Julpin dan Pengarah JKR, Ir Ali Ahmad Hamid.

Bung Moktar bercakap dengan para wartawan dalam satu persidangan akhbar pada Jumaat.

Bung Moktar berharap semua proses tersebut dapat diselesaikan dalam jangka masa lima hingga enam tahun.

Beliau juga mahu supaya Suruhanjaya Tenaga Sabah dan Lembaga Pembangunan Tenaga Lestari dapat diwujudkan bagi mengurus bekalan tenaga letrik secara lebih berkesan.

Mengenai langkah untuk menyelesaikan isu bekalan letrik di pantai timur, Timbalan Ketua Menteri itu menegaskan, satu projek penjana tenaga bebas (IPP) baharu akan dilaksanakan di kawasan yang membabitkan Tawau, Sandakan dan Lahad Datu.

Katanya, IPP dengan anggaran kos lebih RM1 bilion itu akan dibina di salah satu daerah tersebut yang sedang dikenal pasti lokasinya.

Ia dijangka berkapasiti 1,000 mengawatt (MW) dan mampu memberi bekalan letrik di pantai timur, katanya.

Bung Moktar menambah sebagai usaha permulaan, kerajaan Persekutuan memberi kuota 300 MW bagi penjanaan kuasa di kawasan terbabit termasuk penyediaan kaedah tenaga solar dan mobile barges sementara menunggu pembinaan IPP yang baharu.

Penjanaan tenaga 300 MW itu hanya bersifat sementara dan dijangka siap dalam tempoh setahun atau lebih.

Isnin, 2 November 2020

IR ALI AHMAD PENGARAH JKR YANG BAHARU

Ir Ali Ahmad Hamid (gambar) dilantik sebagai Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah yang baharu bagi mengantikan Datuk Ir Richard Jomiji Kinsil.

Beliau menerima surat pelantikan yang diserahkan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untung di pejabatnya, minggu lepas.

Sebelum ini, Ali Ahmad merupakan Timbalan Pengarah JKR bagi sektor bangunan.

Ali Ahmad yang berasal dari Menumbok telah berkhidmat dengan JKR sejak 35 tahun lepas termasuk bertugas di ibu pejabat JKR, JKR Kota Belud, Tawau dan Ranau.

Mula berkhidmat dengan jabatan itu sejak 1985 namun Ali Ahmad hanya mampu menyaksikan rakan-rakan yang lebih junior mendapat peluang kenaikan pangkat menjadi pengarah.

Namun kesabaran yang dimiliki beliau sekian lama membolehkan Ali Ahmad akhirnya diberi kepercayaan untuk menerajui JKR selepas Datuk Seri Bung Moktar Radin menjadi Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya.

Pagi tadi (Isnin), pengarah itu ditemuramah oleh stesen tv jabatan berkenaan untuk siaran dalam masa terdekat.

Ir Ali Ahmad (kiri) menerima surat pelantikan yang disampaikan Datuk Safar Untung.