Sabtu, 18 September 2021

PIALA MALAYSIA: KIM SWEE TINJAU PERSIAPAN SABAH FC

Kim Swee memberikan kata-kata peringatan kepada pemain-pemain Sabah FC sambil diperhatikan Firdaus, Marzuki dan Jelius. Foto: Sabah FC.

Ketua jurulatih Sabah FC yang baharu, Datuk Ong Kim Swee meninjau persiapan pasukan bagi menghadapi TM Piala Malaysia yang dijadualkan bermula pada 25 September ini.

Beliau yang tiba di Kota Kinabalu petang ini, terus hadir menyaksikan pemain-pemain menjalani latihan di bawah pemantauan jurulatih Jelius Ating.

Bekas jurulatih skuad B23 kebangsaan itu kemudian menemui pegawai dan pemain-pemain Sabah FC di Stadium Likas. 

Kim Swee ditemani Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sabah FC, Khairul Firdaus dan pengurus pasukan, Marzuki Nasir.

Kim Swee ingin tahu sesuatu daripada Jelius ketika meninjau sesi latihan pemain petang tadi. Foto: Sabah FC.

Walaupun hanya akan memulakan tugas rasminya pada 1 Oktober ini namun Kim Swee berkesempatan memberikan pesanan dan peringatan kepada pemain terbabit selepas latihan.

Sabah FC diundi dalam Kumpulan D dalam saingan Piala Malaysia bersama JDT, PJ City FC dan pasukan keempat dalam Liga Perdana.

Format pusingan awal peringkat kumpulan akan dijalankan secara liga dan dua pasukan teratas setiap kumpulan akan layak ke perlawanan suku akhir.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan