Sabtu, 25 September 2021

SABAH FC AKAN DIPERKASA MUSIM DEPAN

 
Bung Moktar menyerahkan dokumen kontrak kepada Kim Swee. Turut kelihatan Jelani (kanan sekali) dan Khairul Firdaus (kiri sekali).

KOTA KINABALU--Presiden Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA), Datuk Seri Bung Moktar Radin memberi jaminan Sabah FC akan diperkasakan musim depan.

Katanya, insiatif mendapatkan khidmat bekas jurulatih kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee untuk mengendalikan pasukan Sabah FC antara komitmen yang dilakukan bagi memperbaiki reputasi pasukan.

"Saya yakin dengan komitmen yang kita dilakukan serta dengan pengalaman dan kepakaran Kim Swee pastinya mampu untuk menggerakkan pasukan terus maju ke hadapan." katanya selepas menghadiri majlis menandatangani kontrak Kim Swee di Pusat Persidangan Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, semalam.

Kim Swee, bekas Pengarah Teknikal Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengikat kontrak selama dua tahun sebagai ketua jurulatih Sabah FC yang baharu, menggantikan Kurniawan Dwi Yulianto.

Hadir sama pada majlis itu ialah Pengarah Sabah FC, Datuk Dr. Jelani Hamdan, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Khairul Firdaus Akbar dan beberapa pemimpin tertinggi SAFA.

Bung Moktar berkata, pihaknya mengalu-alukan kehadiran Kim Swee dalam pasukan dan yakin ketua jurulatih tersebut mampu mengangkat kembali martabat bolasepak di Sabah.

"Saya ucapkan tahniah kepada Kim Swee," katanya.

Menurutnya, beliau juga memahami kerisauan peminat bolasepak di negeri ini dahagakan kejayaan yang diharapkan dari pasukan.

"Mereka mahu melihat Sabah FC terus maju ke hadapan dan menunjukkan prestasi baik dalam Liga Malaysia," tambahnya.

Beliau memohon maaf kepada peminat ekoran kegagalan pasukan memenangi beberapa perlawanan yang diharungi dalam Liga Super sebelum ini.

"Kita memang serius untuk menangani apa juga isu melanda pasukan. Sebarang kesilapan dan kesalahan sudah tentu boleh diperbaiki. Yang Penting bagaimana kita mengurus sesebuah pasukan supaya menjadi lebih baik," tegasnya.

Kim Swee menyatakan sesuatu kepada pemain-pemain dalam satu sesi latihan persiapan menghadapi Piala Malaysia.

Presiden SAFA turut memberi penekanan agar pemain-pemain Sabah FC memiliki disiplin dan mempunyai komitmen tinggi dalam pasukan bagi mempertingkatkan lagi kualiti dan prestasi.

Ini, katanya, bagi memastikan pasukan terus maju ke hadapan dan mampu diperkasakan pada musim depan.

Beliau juga mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin atas kelonggaran yang diberikan kepada Kim Swee untuk melepaskan jawatan sebagai Pengarah Teknikal untuk membolehkannya melatih Sabah FC berkuatkuasa pada 1 Oktober ini.

Meskipun begitu, Kim Swee telah diberi pelepasan awal bagi membantu persiapan pasukan menghadapi pertandingan Piala Malaysia di mana Sabah FC diundi dalam Kumpulan D bersama JDT, PJ City FC dan Kelantan FC.

Sabah FC dijadual bertemu PJ City FC dalam perlawanan pertama di Stadium MBPJ pada Isnin ini.


 



Tiada ulasan:

Catat Ulasan