Berani menongkah arus bermakna bersedia berhadapan dengan risiko.
Dalam politik, istilah demokrasi sangat luas. Ada kalanya menyokong di
peringkat awal tidak semestinya bersetuju di akhirnya.
Dalam politik macam-macam boleh berlaku. Bagi sesetengah orang politik,
kesetiaan adalah bertempat.
Lebih bahaya jika ada anasir luar cuba meresap, sesebuah
organisasi politik boleh terancam. Orang-orang di dalam organisasi menjadi
rapuh dan mudah hilang pedoman menyebabkan kepimpinan boleh dilanda krisis
tanpa diduga.
Bagaimanapun parti-parti politik seharusnya sentiasa bersiap sedia
setiap masa dengan apa juga kemungkinan yang boleh mengundang kemelut dalaman.
Ada ketikanya sesebuah organisasi goyang disebabkan gejala yang
tercetus dari dalam dan tidak kurang elemen dari luar juga boleh
memporak-perandakan.
Secara kebetulan banyak parti-parti politik akan mengharungi
kongres atau perhimpunan agung masing-masing sepanjang akhir tahun ini.
Parti-parti besar biasanya kurang dilanda kemelut yang sukar
dikawal kerana mungkin pengaruh barisan kepimpinan tertinggi mampu mengawal
keadaan. Suara pemimpin mereka lebih didengar dan pihak akar umbi selalunya
mudah berkompromi selagi sesuatu saranan itu dilihat baik untuk organisasi
berkenaan.
Namun begitu, bagi parti-parti kecil atau dalam pengertian lain,
hanya memiliki wakil rakyat sama ada Anggota Dewan Undangan (Adun) atau Anggota
Parlimen (MP) yang jumlahnya sedikit berisiko untuk bergolak jika tiada
kesepakatan tulen dalam kalangan pemimpin atasan mereka.
Parti-parti seperti ini menyebabkan teraju utama kepimpinan
terutama presiden “pusing kepala” apabila parti menghadapi pemilihan jawatan
tertinggi.
Di Sabah, sudah ada beberapa parti bakal berhadapan dengan situasi
ini.
Parti Liberal Demokratik (LDP) umpamanya tidak lama selepas
Setiausaha Agungnya mengumumkan hasrat untuk bertanding jawatan presiden
menyebabkan Datuk Teo Chee Kang digugurkan dari jawatan tersebut.
Presidennya, Datuk V.K Liew menyatakan bahawa pengguguran Teo
kerana setiausaha agung itu gagal menjalankan tanggungjawabnya sebagaimana yang
dikehendaki perlembagaan parti selain tidak mematuhi resolusi mesyuarat majlis
tertinggi pada 9 Jun lepas yang memutuskan bahawa jawatan presiden dan timbalan
presiden tidak dipertandingkan sebaliknya mengekalkan kedua-dua penyandang.
Bagi menggantikan tempat Teo, setiausaha agung baru, Lorreto S
Padua Jr dilantik oleh Liew.
Sebagai respon sehari kemudian, timbalan presiden, Senator Datuk
Chin Su Phin menyertai pendirian beberapa bahagian, tampil menyuarakan sokongan
kepada Teo yang juga Menteri Tugas-Tugas Khas untuk bertanding jawatan presiden dalam pemilihan parti.
Teo mendakwa seramai 27 daripada 35 ahli majlis tertinggi memberi
syor secara bertulis kepadanya supaya satu mesyuarat majlis tertinggi diadakan di ibu pejabat
di Kepayan pada 6 September ini.
Satu lagi kerabat Barisan Nasional (BN), Upko yang dijadualkan
mengadakan kongres tri-tahunannya di Penampang pada Oktober ini juga akan
menjadi tumpuan sekiranya jawatan presiden dan timbalan berlaku pertandingan.
Sehingga ini, hanya jawatan timbalan presiden sahaja sudah ada
pemimpin berhasrat untuk bertanding jawatan tersebut. Naib presiden, Datuk Seri
Panglima Wences Angang dan setiausaha agung, Datuk Wilfred M. Tangau adalah dua
pemimpin terawal yang disebut-sebut akan bertanding.
Jawatan presiden yang disandang Tan Sri Bernard Dompok walaupun
belum ada kenyataan rasmi pemimpin lain mahu mencabarnya namun
bahagian-bahagian yang mula bermesyuarat pada Jumaat dikatakan sudah dirisik
oleh pemimpin yang berminat menawarkan diri.
Pendekatan secara berhati-hati ini mungkin bagi mengelak risiko
yang bakal menimpa serta sebagai satu strategi mengelak “senjata makan tuan”.
Adalah bukan mustahil, pertarungan boleh berlaku bagi jawatan
nombor satu itu jika dilihat daripada perkembangan dan trend yang berlaku
sekarang.
Soalnya, siapakah pemimpin yang bakal menongkah arus itu
memandangkan jawatan itu tidak pernah dicabar sejak kewujudan parti itu yang
sebelumnya dikenali sebagai Parti Demokratik Sabah (PDS).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan