Khamis, 11 Februari 2021

KECEDERAAN LUTUT MEMAKSA MALIM "GANTUNG KASUT"

Kecederaan di lutut yang dialami bekas pemain pertahanan Sabah, Malim Surat (gambar) memaksa dia mengakhiri kerjaya bolasepak sekitar tahun 1983.

Beliau merupakan pemain legenda negeri seangkatan Datuk James Wong dan Datuk Hassan Sani yang mewarnai pasukan Sabah ketika itu pada lewat 70-an dan awal 80-an.

Malim mulai mengukir nama bersama Sabah dari 1978 hingga 1982 dalam pertandingan Piala Malaysia dan Piala Borneo. Namun sebelum itu, dia juga mewakili Sabah, negeri di bawah bayu dalam Kejohanan Piala Razak pada tahun 1975 dan 1976.

"Kecederaan di lutut saya menyebabkan saya terpaksa menggantung kasut dan bersara dalam bolasepak," kata pemain berusia 63 tahun itu dalam satu temubual eksklusif.

Anehnya, pemain tonggak pertahanan ini tidak menjalani pembedahan akibat kecederaan yang dialaminya malah dia masih mampu bermain dalam pasukan beberapa perlawanan walaupun dalam keadaan lutut berbalut sahaja sebelum bersara.

Menurut Malim, dia hanya menjalani pembedahan di lutut selepas 10 tahun tidak lagi bermain di Sabah Medical Centre (SMC) dengan biaya sendiri.

Sebelum mengalami kecederaan di lutut, dia yang pernah bergandingan pemain pertahanan lain seperti Gerald Sweeney, Richard Barnes, Datuk Zulfikar Ahmad, Awang Ahmad, Mohd Ali Hassan dan Taib Amirbek pernah melakukan pembedahan di peha kanan akibat urat besar putus sekitar 80-an.

"Saya menjalani pembedahan itu di Hospital Universiti Malaya (UM) dan menyebabkan terpaksa berehat selama dua bulan," jelasnya.

Malim memberitahu, dia pernah dipilih mewakili skuad Malaysia B pada tahun 1981 untuk persiapan menghadapi Kejohanan Piala Merdeka.

Kehadirannya dalam pasukan itu memberi peluang dia untuk mengikuti latihan di Jerman selama sebulan bersama jurulatih kebangsaan ketika itu, Karl Weigang.

"Semasa di Jerman, saya berpeluang mengunjungi kelab ternama seperti FC Stuggart, Eintracht Frankfurt dan mengadakan lima perlawanan persahabatan termasuk dengan pasukan kedua Bayern Munich," katanya sambil mengimbas kembali pengalaman berlatih di negara yang terkenal dalam bolasepak itu.

Sekembalinya dari Jerman, kata Malim, dia menarik diri dalam pasukan Malaysia B.

"Saya dan James Wong mengambil keputusan balik ke Sabah manakala seorang lagi rakan mereka Awang Ahmad digugurkan pada saat akhir dalam skuad kendalian Karl Weigang itu."

"Hanya dua pemain dari Sabah, Razali Zinin dan Tony Wong meneruskan latihan dalam pasukan itu," ujar Malim.

Bagaimanapun, pasukan Malaysia B yang bertanding untuk Piala Merdeka ketika itu kurang bernasib baik kerana tidak meraih kejayaan.

MALIM...tonggak pertahanan seangkatan James dan Hassan.

Beliau berkata, pembabitannya dalam pasukan Sabah membolehkan dia mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran sama ada di England, Australia atau Kanada namun dia menolaknya.

"Itu antara peluang yang saya peroleh sebagai pemain di era kegemilangan Sabah dalam bolasepak," kata bekas kakitangan Kinabalu Motor Assembly (KMA) itu.

Tambah Malim, dia memulakan kerjaya bolasepaknya bersama kelab Likas United ketika belajar di tingkatan satu.

"Di situ saya mula bermain bolasepak dan mengasah bakat. Apabila berpeluang mewakili negeri, saya berusaha bermain dengan penuh kesungguhan walaupun tiada ganjaran lumayan seperti diperoleh pemain-pemain sekarang dalam era profesional," tegasnya.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan