Sabtu, 25 September 2021

SABAH FC AKAN DIPERKASA MUSIM DEPAN

 
Bung Moktar menyerahkan dokumen kontrak kepada Kim Swee. Turut kelihatan Jelani (kanan sekali) dan Khairul Firdaus (kiri sekali).

KOTA KINABALU--Presiden Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA), Datuk Seri Bung Moktar Radin memberi jaminan Sabah FC akan diperkasakan musim depan.

Katanya, insiatif mendapatkan khidmat bekas jurulatih kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee untuk mengendalikan pasukan Sabah FC antara komitmen yang dilakukan bagi memperbaiki reputasi pasukan.

"Saya yakin dengan komitmen yang kita dilakukan serta dengan pengalaman dan kepakaran Kim Swee pastinya mampu untuk menggerakkan pasukan terus maju ke hadapan." katanya selepas menghadiri majlis menandatangani kontrak Kim Swee di Pusat Persidangan Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, semalam.

Kim Swee, bekas Pengarah Teknikal Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengikat kontrak selama dua tahun sebagai ketua jurulatih Sabah FC yang baharu, menggantikan Kurniawan Dwi Yulianto.

Hadir sama pada majlis itu ialah Pengarah Sabah FC, Datuk Dr. Jelani Hamdan, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Khairul Firdaus Akbar dan beberapa pemimpin tertinggi SAFA.

Bung Moktar berkata, pihaknya mengalu-alukan kehadiran Kim Swee dalam pasukan dan yakin ketua jurulatih tersebut mampu mengangkat kembali martabat bolasepak di Sabah.

"Saya ucapkan tahniah kepada Kim Swee," katanya.

Menurutnya, beliau juga memahami kerisauan peminat bolasepak di negeri ini dahagakan kejayaan yang diharapkan dari pasukan.

"Mereka mahu melihat Sabah FC terus maju ke hadapan dan menunjukkan prestasi baik dalam Liga Malaysia," tambahnya.

Beliau memohon maaf kepada peminat ekoran kegagalan pasukan memenangi beberapa perlawanan yang diharungi dalam Liga Super sebelum ini.

"Kita memang serius untuk menangani apa juga isu melanda pasukan. Sebarang kesilapan dan kesalahan sudah tentu boleh diperbaiki. Yang Penting bagaimana kita mengurus sesebuah pasukan supaya menjadi lebih baik," tegasnya.

Kim Swee menyatakan sesuatu kepada pemain-pemain dalam satu sesi latihan persiapan menghadapi Piala Malaysia.

Presiden SAFA turut memberi penekanan agar pemain-pemain Sabah FC memiliki disiplin dan mempunyai komitmen tinggi dalam pasukan bagi mempertingkatkan lagi kualiti dan prestasi.

Ini, katanya, bagi memastikan pasukan terus maju ke hadapan dan mampu diperkasakan pada musim depan.

Beliau juga mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin atas kelonggaran yang diberikan kepada Kim Swee untuk melepaskan jawatan sebagai Pengarah Teknikal untuk membolehkannya melatih Sabah FC berkuatkuasa pada 1 Oktober ini.

Meskipun begitu, Kim Swee telah diberi pelepasan awal bagi membantu persiapan pasukan menghadapi pertandingan Piala Malaysia di mana Sabah FC diundi dalam Kumpulan D bersama JDT, PJ City FC dan Kelantan FC.

Sabah FC dijadual bertemu PJ City FC dalam perlawanan pertama di Stadium MBPJ pada Isnin ini.


 



Sabtu, 18 September 2021

PIALA MALAYSIA: KIM SWEE TINJAU PERSIAPAN SABAH FC

Kim Swee memberikan kata-kata peringatan kepada pemain-pemain Sabah FC sambil diperhatikan Firdaus, Marzuki dan Jelius. Foto: Sabah FC.

Ketua jurulatih Sabah FC yang baharu, Datuk Ong Kim Swee meninjau persiapan pasukan bagi menghadapi TM Piala Malaysia yang dijadualkan bermula pada 25 September ini.

Beliau yang tiba di Kota Kinabalu petang ini, terus hadir menyaksikan pemain-pemain menjalani latihan di bawah pemantauan jurulatih Jelius Ating.

Bekas jurulatih skuad B23 kebangsaan itu kemudian menemui pegawai dan pemain-pemain Sabah FC di Stadium Likas. 

Kim Swee ditemani Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sabah FC, Khairul Firdaus dan pengurus pasukan, Marzuki Nasir.

Kim Swee ingin tahu sesuatu daripada Jelius ketika meninjau sesi latihan pemain petang tadi. Foto: Sabah FC.

Walaupun hanya akan memulakan tugas rasminya pada 1 Oktober ini namun Kim Swee berkesempatan memberikan pesanan dan peringatan kepada pemain terbabit selepas latihan.

Sabah FC diundi dalam Kumpulan D dalam saingan Piala Malaysia bersama JDT, PJ City FC dan pasukan keempat dalam Liga Perdana.

Format pusingan awal peringkat kumpulan akan dijalankan secara liga dan dua pasukan teratas setiap kumpulan akan layak ke perlawanan suku akhir.

Khamis, 16 September 2021

JELANI UCAP TAHNIAH 12 PEMAIN WANITA SABAH DALAM SKUAD KEBANGSAAN HADAPI PIALA ASIA 2022

 
Sebahagian pemain wanita dari Sabah yang tersenarai dalam skuad kebangsaan ke Palestin.

KOTA KINABALU--Penyenaraian 12 pemain wanita dari Sabah dalam skuad kebangsaan bagi menghadapi pusingan kelayakan Piala Asia Wanita 2022 membuktikan keupayaan mereka dalam membantu pasukan negara membawa cabaran dalam kejohanan itu. 

Naib Presiden Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA), Datuk Dr Jelani Hamdan (gambar bawah), berkata pihaknya gembira dengan pemilihan mereka dalam skuad kebangsaan kerana ia membuktikan bahawa Sabah memiliki pemain wanita yang berbakat. 

"SAFA mengucapkan tahniah kepada pemain terbabit dan berharap mereka akan bermain dengan baik untuk membantu skuad kebangsaan dalam kejohanan itu," katanya di sini, hari ini.

Menurut beliau, pemain-pemain berkenaan merupakan antara 23 pemain dalam skuad wanita kebangsaan yang sudah pun tiba di Palestin hari ini untuk menghadapi pusingan kelayakan kejohanan itu. 

Katanya, 12 pemain dari Sabah itu termasuk empat yang mewakili pasukan wanita Sabah terdiri daripada Dadree Rofinus, Asma Junaidi, Jessica Susanne Mailu dan Pedrolia Martin Sikayun. 

Manakala lapan pemain lagi ialah Siti Nurfaizah Saidin, Alice Mic Michael, Jaciah Jumilis, Eva Olivianie Antinus. Olevia Olga Sabrinus, Waitie Taming, Hentirtta Justine dan Hellma Emily Joinin. Mereka ini mewakili pasukan wanita di Semenanjung termasuk Melaka United dan Negeri Sembilan. 

Jelani yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bolasepak Wanita SAFA memberitahu, seorang lagi pemain wanita negeri yang turut terpilih tidak dapat menyertai pasukan ke Palestin disebabkan menjalani kuarantin kerana didapati positif Covid-19. 

Bagaimanapun, keadaannya tidak serius namun terpaksa menjalani kuarantin di Subang, Kuala Lumpur, katanya.

Beliau berkata, skuad wanita Malaysia akan menentang pasukan Thailand dalam Kumpulan H pada Ahad ini dan kemudian bertemu tuan rumah, Palestin pada 22 September ini.


 

Rabu, 15 September 2021

SABAH FC DIUNDI DALAM KUMPULAN D PIALA MALAYSIA

Sabah FC diundi dalam Kumpulan D bagi saingan pertandingan Piala Malaysia yang dijangka bermula pada 25 September ini.

Bersama Sabah FC dalam kumpulan itu ialah juara Liga Super 2021, JDT selain PJ City dan pasukan tempat keempat Liga Perdana 2021.

Sekali pun diundi bersama pasukan terkuat dalam Liga Bolasepak Malaysia, JDT namun Sabah FC pastinya akan meneruskan perjuangannya di bawah kendalian ketua jurulatih baharunya, Datuk Ong Kim Swee.

Kim Swee, bekas jurulatih skuad B23 kebangsaan itu dijadualkan hadir dalam sesi latihan pasukan pada Isnin ini, biarpun hanya akan memulakan tugasnya secara rasmi pada 1 Oktober ini.

Sabah FC yang tidak mengadakan sesi latihan hari ini (Rabu) dijangka meneruskan latihan esok dan hari seterusnya di bawah pengendali sementara, Burhan Ajui dengan pemantauan dilakukan jurulatih Jelius Ating.

Difahamkan, jurulatih Kim Swee telah menyediakan jadual latihan kepada pasukan sebagai persiapan untuk menghadapi perlawanan TM Piala Malaysia itu.

Sebanyak 16 pasukan yang dibahagikan kepada empat kumpulan layak beraksi dalam saingan Piala Malaysia terdiri dari 11 pasukan Liga Super dan lima pasukan Liga Perdana.


MoU ANTARA KERAJAAN DAN PEMBANGKANG UNTUK KEPENTINGAN NEGARA DAN RAKYAT

KOTA KINABALU--Ketua Umno Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin (gambar) berkata, kerjasama anatara Kerajaan Pusat dengan blok pembangkang ketika negara berhadapan masalah kesihatan dan ekonomi merupakan sesuatu yang positif.

Katanya, walaupun kerjasama itu bersifat sementara di mana blok pemangkang akan menjadi pembangkang di Dewan Rakyat namun pandangan mereka tetap akan diambil kira oleh kerajaan untuk kebaikan negara dan rakyat.

"Bagi Umno Sabah, ia sesuatu yang sangat positif dan memperlihatkan langkah baik untuk memulihkan ekonomi serta memastikan kesihatan dan kesejahteraan rakyat sentiasa diberi perhatian," katanya sebagai mengulas kerjasama antara kerajaan dan blok pembangkang itu.

Menurut Timbalan Ketua Menteri itu, persefahaman tersebut mengambil kira kepentingan negara dan rakyat di mana sebaik sahaja rakyat secara keseluruhan menerima vaksinasi, ia membolehkan kerajaan dapat mengadakan pilihan raya umum.

Isnin lepas, Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik.

MoU yang terhasil dari beberapa siri perbincangan antara wakil kerajaan dan pembangkang sejak akhir bulan lalu ditangani secara bersama oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengandungi tujuh tawaran Transformasi Parlimen dan Pentadbiran untuk mengembalikan kestabilan politik demi menangani wabak Covid-19 dan pemulihan ekonomi negara.

Turut menandatangani MoU itu ialah Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu dan Presiden Upko, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau.

Majlis itu disaksikan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim dan Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Azhar Azizan Harun.

Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya menambah bahawa jalinan kerjasama itu bukan sahaja akan membawa kebaikan dari sudut politik malah manfaatnya akan diterjemahkan dalam aspek pemulihan negara pasca Covid-19.

"Kerjasama ini sekurang-kurangnya akan membawa keharmonian dalam negara di samping satu usaha ke arah menjernihkan konflik politik sekali gus memberi ruang untuk fokus sepenuhnya terhadap khidmat kepada rakyat," ujarnya.

Beliau yakin memorandum persefahaman itu juga berupaya mengetepikan segala perbezaan politik serta dapat memastikan proses pemulihan negara berjalan secara holistik dan inklusif.


Ahad, 12 September 2021

KIM SWEE BERI SEMANGAT SABAH FC HADAPI PERAK FC MALAM INI

Kim Swee menyatakan sesuatu kepada Jelius dan Burhan ketika menemui kedua-dua jurulatih itu di sebuah hotel di Ipoh, petang tadi.

IPOH--Ketua jurulatih Sabah FC yang baharu, Datuk Ong Kim Swee tiba di sini petang tadi untuk menemui pengurusan dan staf kejurulatihan pasukan sebelum turun menentang pasukan tuan rumah Perak FC di Stadium Perak, malam ini.

Pertemuan dengan Perak FC merupakan perlawanan terakhir pasukan dalam saingan Liga Super sebelum meneruskan cabaran dalam pertandingan Piala Malaysia selepas ini.

Walaupun beliau hanya akan memulakan tugas bersama Sabah FC pada 1 Oktober ini namun kehadiran bekas jurulatih skuad B23 kebangsaan itu pastinya membantu pemain-pemain lebih bersemangat menghadapi lawan.

Menurut Sabah FC dalam laman facebook rasminya petang ini, Kim Swee mengadakan sesi perbincangan dengan pihak pengurusan dan kejurulatihan bagi merancang persiapan dan hala tuju pasukan dalam pertandingan Piala Malaysia yang dijadualkan lewat bulan ini.

Selain itu, mereka juga sedang merangka persiapan pasukan bagi menghadapi Liga Super musim depan.

Kelmarin, Presiden Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA), Datuk Seri Bung Moktar Radin menyatakan keyakinan dengan pelantikan Kim Swee sebagai ketua jurulatih baharu pasukan akan dapat membentuk Sabah FC mampu untuk bersaing dengan pasukan-pasukan lain di negara ini.

Kim Swee (tengah) bergambar dengan pegawai pengurusan dan jurulatih Sabah FC.


KETUA SUPOL PM AGIH BANTUAN MAKANAN DI BEAUFORT

Syed Mohd Fazmi (tiga kiri) menyampaikan bantuan bakul makanan kepada seorang penduduk yang terkesan akibat banjir itu sambil diperhatikan Ag Aslee dan Aminah.

BEAUFORT--Ketua Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Syed Mohd Fazmi Syed Mohammad mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk menyampaikan misi bantuan kepada warga daerah ini yang terkesan akibat banjir melanda daerah berkenaan, baru-baru ini.

Bantuan itu berupa 1,000 bakul makanan di samping keperluan lain seperti tilam, selimut dan bantal.

Ketua Umno Bahagian Beaufort, Ag Aslee Lakat, berkata pihaknya mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada Syed Mohd Fazmi atas kesudian beliau untuk menyampaikan sumbangan itu kepada mangsa banjir terbabit.

"Ribuan terima kasih kepada Syed Mohd Fazmi atas kesudian datang dari jauh untuk menyampaikan sumbangan daripada Perdana Menteri," katanya dalam posting di akaun facebooknya, semalam.

Katanya, bagi pihak penduduk yang terkesan tersebut, beliau mengucapkan jutaan terima kasih kepada Perdana Menteri yang begitu prihatin dengan warga Beaufort.

"Semoga Allah sentiasa merahmati dan melindungi YAB PM sekeluarga. Amin Ya RabbalaAllamin," katanya.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada pemimpin-pemin Umno Negeri yang menyertai rombongan misi bantuan banjir itu seperti Ketua Wanita Umno Negeri, Datuk Jainab Ayid, Ketua Pemuda Umno Negeri, Ir Aziz Julkarnain serta beberapa Ketua Umno bahagian.

Manakala pemimpin Umno Bahagian Beaufort yang turut menyertai menyampaikan misi bantuan banjir itu ialah Timbalan Ketua bahagian, Datuk Aminah Aching, Naib Ketua bahagian, Ag Damit Jion, setiausaha bahagian, Abdul Rahman Taib, bendahari bahagian, Dato Basir Nurnikman, ketua penerangan, Abdullah Sattar, Ketua pemuda Umno bahagian, Mohd Fazlih Misdeh dan Ketua puteri, Norjianah Matnoor.

Syed Mohd Fazmi diiringi Ag Aslee yang juga Setiausaha Kerja Umno Sabah untuk menemui penduduk kampung yang ditimpa banjir di Beaufort, baru-baru ini.

TKM BINCANG ISU SEMASA DENGAN PM

Bung Moktar bersama Ismail Sabri dalam perjumpaan itu.

KUALA LUMPUR-- Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung isu-isu semasa di Sabah.

Menurutnya, beliau berkesempatan bertemu dengan Perdana Menteri dalam suasana santai sambil berbincang perkara berkaitan isu semasa.

"Santai sambil berbincang isu-isu semasa semasa bersama YAB PM," katanya dalam satu hantaran di akaun facebooknya, semalam.

Bung Moktar yang juga Ketua Umno Sabah berada di Kuala Lumpur dan berpeluang mengadakan perjumpaan dengan Ismail Sabri selepas pelantikannya sebagai Perdana Menteri yang kesembilan bulan lepas.

Pelantikan Naib Presiden Umno itu menerajui kerajaan Persekutuan sudah tentu menyemarakkan lagi semangat ahli-ahli Umno di seluruh negara termasuk di Sabah.

Umno Sabah yang diberikan automi oleh kepimpinan Umno Pusat di negeri ini ketika ini mempunyai 16 Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) termasuk 14 Adun yang memenangi pilihan raya umum negeri pada September tahun lalu, selain dua Adun Dilantik.

Bung Moktar merupakan Adun kawasan Lamag dan Anggota Parlimen Kinabatangan, yang juga memegang fortpolio sebagai Menteri Kerja Raya dalam kabinet negeri.

Bung Moktar santai bersama Perdana Menteri sambil membincangkan isu-isu semasa di Sabah.

Sabtu, 11 September 2021

KEHADIRAN KIM SWEE LANGKAH POSITIF PERBAIKI SABAH FC - BUNG MOKTAR

 

Bung Moktar bersama Kim Swee dalam satu perjumpaan di Kuala Lumpur.

KOTA KINABALU--Presiden Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA), Datuk Seri Bung Moktar Radin menyifatkan usaha Sabah FC mendapatkan khidmat bekas jurulatih skuad B23 kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee menjadi ketua jurulatih baharunya mencerminkan langkah serius untuk mengangkat sukan bolasepak di Sabah ke tahap yang positif.

Katanya, SAFA sebagai badan induk bolasepak di Sabah sangat mengalu-alukan usaha yang diambil kelab tersebut.

"Kita yakin kehadiran Kim Swee mampu untuk membentuk satu pasukan yang setanding dengan pasukan-pasukan lain di negara ini," katanya sebagai mengulas tindakan Sabah FC menggunakan khidmat jurulatih itu sebagai ketua jurulatih baharunya.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan sudah menerima peletakan jawatan Kim Swee sebagai Pengarah Teknikalnya semalam dan akan memulakan tugas baharu sebagai ketua jurulatih Sabah FC berkuatkuasa 1 Oktober ini.

Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar berkata, pihaknya mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Kim Swee atas khidmatnya bersama FAM dan berharap dia berjaya dengan karier baharu dengan Sabah FC.

Kim Swee juga mengadakan perjumpaan dengan Bung Moktar di Kuala Lumpur hari ini susulan penerimaan tugas baharunya dengan Sabah FC.

Minggu lepas, Pengurus pasukan Sabah FC, Marzuki Nasir mengumumkan keputusan kelab itu untuk merehatkan ketua jurulatihnya, Kurniawan Dwi Yulianto berikutan prestasi merudum pasukan dalam saingan Liga Super.

Penolong jurulatih, Burhan Ajui telah dilantik sebagai pengendali sementara pasukan selain melantik jurulatih Jelius Ating sebagai penolong pengurus pasukan.

Menurut Bung Moktar, sebagai badan induk bolasepak di Sabah, SAFA bertanggungjawab untuk memantau prestasi Sabah FC agar ia tidak tersasar dari matlamat untuk meningkatkan mutu bolasepak di negeri ini.

"Peminat bolasepak mengharapkan Sabah FC sentiasa menunjukkan pencapaian yang baik dan pada masa yang sama, SAFA juga sejak dari awal penubuhan kelab profesional ini mahu ia terus cemerlang dalam sukan ini," tegasnya.

Presiden SAFA itu yakin bahawa Sabah FC mampu mengembalikan kegemilangan bolasepak di Sabah seperti yang pernah dikecapi sebelum ini.

 

 

 

Isnin, 6 September 2021

14 PEMAIN WANITA SABAH TERPILIH SKUAD KEBANGSAAN

 

KOTA KINABALU--Seramai 14 pemain wanita dari Sabah terpilih dalam skuad kebangsaan bagi persiapan menghadapi pusingan kelayakan Kejohanan Bolasepak Wanita AFC Piala Asia 2022. 

Mereka termasuk lima pemain yang menganggotai pasukan wanita Sabah manakala sembilan pemain lagi mewakili pasukan di Semenanjung iaitu Melaka United dan Negeri Sembilan.

Lima pemain yang mewakili pasukan negeri terdiri daripada Asma Junaidi, Jessica Susanne Mailu, Pedrolia Martin Sikayun, Dadree Rofinus dan Ji Fedalliah Claritta Jaimin.

Naib Presiden Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA), Datuk Dr Jelani Hamdan (gambar) memberitahu, pemilihan pemain terbabit dalam pasukan kebangsaan merupakan satu pencapaian yang sangat membanggakan negeri ini. 

Katanya, walaupun hanya lima pemain beraksi untuk pasukan negeri ketika ini namun keupayaan pemain lain untuk bermain dalam pasukan-pasukan di Semenanjung mencerminkan pemain wanita dari negeri ini mampu menyerlah di luar. 

"Kehadiran kesemua mereka dalam pasukan kebangsaan adalah satu penghormatan kepada Sabah yang memiliki pemain wanita yang berbakat," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini. 

Jelani yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bolasepak Wanita SAFA memberitahu, pemain-pemain berkenaan bersama skuad kebangsaan akan berlepas ke Palestin pada 15 September ini, untuk menghadapi perlawanan pusingan kelayakan itu. 

"Kita doakan mereka menunjukkan prestasi terbaik untuk membantu skuad kebangsaan mencapai kejayaan dalam perlawanan mereka harungi nanti," ujarnya. 

Menurutnya, SAFA akan sentiasa melipatgandakan usahanya untuk mencungkil lebih ramai pemain wanita yang berkaliber untuk diketengahkan dalam pasukan negeri dan seterusnya mampu untuk mewakili skuad kebangsaan. 

Naib Presiden SAFA itu juga menghargai komitmen dan kesungguhan Presiden SAFA, Datuk Seri Bung Moktar Radin terhadap usaha yang dilakukannya dalam memajukan sukan bolasepak di negeri ini termasuk pasukan wanita. 

Katanya, banyak sumbangan dan pandangan beliau kepada badan bolasepak negeri sejak diberi mandat menerajui SAFA akhir tahun lepas. 

"Sesungguhnya, semua usaha beliau untuk memperkasakan sukan bolasepak di Sabah, sangat kita hargai dan saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih," tegas Jelani.