Sabtu, 18 Julai 2020

BUNG MOKTAR KECEWA HARGA TIKET KL - KK TERLALU MAHAL

Anggota Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin (gambar) melahirkan kekecewaannya mengenai harga tiket yang disifatkan terlalu mahal ditawarkan syarikat penerbangan.

Menerusi akaun Twitternya, beliau membayangkan bahawa harga tiket RM4,499.32 bagi penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu sukar untuk dipercayai.

Katanya, beliau menempah tiket bagi perjalanan KL ke KK pada Khamis lepas bagi penerbangan keesokkan harinya (Jumaat).

"Tidak masuk akal apabila MAS menjual tiket sehala KL - KK dengan harga seperti itu," katanya sungguhpun beliau sedar syarikat penerbangan mengalami kerugian akibat gejala Covid-19.

Beliau yang juga Ketua Umno Sabah merujuk pengumuman Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri pada 3 Julai lepas bahawa harga tiket harus kembali kepada biasa memandangkan kerajaan telah membenarkan syarikat-syarikat penerbangan beroperasi dengan kapasiti penuh.

Pengumuman menteri berkenaan sebagai susulan aduan orang awam berhubung harga tiket dari Semenanjung ke Sabah dan Sarawak telah melambung tinggi.

Sebelum ini, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong turut meminta syarikat-syarikat penerbangan mengurangkan kadar tambang mereka selepas keperluan penjarakan sosial dimansuhkan untuk penerbangan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan