Ahad, 5 Julai 2020

SETUJU MUHYIDDIN JADI PM BUKTI PAS DAN UMNO TIDAK TAMAK

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) menyangkal dakwaan Muafakat Nasional tidak mempunyai calon berkelayakan untuk menjadi perdana menteri kerana menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi mengisi jawatan itu selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 nanti.

Beliau berkata, pendirian itu dibuat atas dasar kerjasama dalam Perikatan Nasional (PN) selain penerimaan rakyat terhadap Muhyiddin.

Muhyddin merupakan Anggota Parlimen Pagoh.

Katanya, keputusan itu dibuat oleh Umno dan PAS melalui Muafakat Nasional membuktikan kedua-dua parti tidak tamak meskipun mempunyai ramai calon bagi jawatan nombor satu negara itu.

"Keputusan ini (calon PM) adalah keputusan Muafakat Nasional. Kita bukan tamak dan bagi kita apa yang baik, kita terima,".

"Rakyat membuat penilaian dan kita lihat itu yang terbaik bagi rakyat dan negara. Bukan isu (tiada calon), kita mempunyai ramai calon, kita ada tapi yang penting Muhyiddin diterima rakyat. Ia sangat baik untuk negara," katanya ketika ditemui selepas mesyuarat Majlis Penasihat Kerajaan PAS bersama Presiden PAS, Sabtu lalu.

Timbalan Presiden PAS itu mengulas dakwaan Presiden PUTRA, Datuk Dr Ibrahim Ali pada Jumaat lalu, bahawa keputusan mesyuarat Muafakat Nasional yang bersetuju menamakan Muhyiddin sebagai calon perdana menteri menunjukkan gabungan itu tidak memiliki tokoh sebagai calon perdana menteri.

Sebelum ini, Setiausaha Bersama Muafakat Nasional, Tan Sri Annuar Musa, berkata MN secara prinsip bersetuju menyokong Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Malaysia Bersatu (PPBM) sebagai calon perdana menteri bagi PRU-15.

Menurutnya, keputusan itu dicapai dalam satu mesyuarat Jawatankuasa Pemandu gabungan itu, baru-baru ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan