Ahad, 23 Ogos 2020

LOKMAN UCAP TAHNIAH ATAS KEMENANGAN DSP LAJIM AMPT BERSATU

Bekas Naib Ketua Bahagian Upko Beaufort, Lokman Sunggim mengucapkan tahniah atas kemenangan Pengarah Strategik dan Pilihan Raya Bersatu Sabah, Datuk Seri Panglima Lajim Haji Ukin (gambar) sebagai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu dalam pemilihan kepimpinan parti itu, semalam.

Katanya, kemenangan itu menunjukkan kepimpinan Lajim masih diperlukan untuk meneruskan perjuangan dalam politik di negara ini.

"Kejayaan menjadi AMPT Bersatu ini akan memberi ruang yang lebih luas kepada beliau untuk memberi perkhidmatan kepada rakyat terutama di Sabah", katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, pihaknya yakin dan percaya kejayaan Lajim itu juga akan dapat menaikkan semangat dan aspirasi rakyat di kawasan Beaufort untuk memberi sokongan terhadap kepimpinan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diterajui Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Beliau (Lajim) telah dapat membuktikan bahawa kepimpinannya masih relevan dan ini akan menjadi dorongan kepadanya untuk terus berkhidmat kepada rakyat," katanya.

Lokman berkata, kehadiran Lajim selaku Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Beaufort juga menggambarkan penyatuan dalam kepimpinan parti itu di peringkat bahagian berkenaan.

Sebelum ini seolah-olah dilihat berlaku perpecahan dalam kepimpinan di kawasan Beaufort ini apabila Datuk Isnin Aliasneh (Adun Klias dan Ketua Bahagian Bersatu Beaufort), Anggota Parlimen Beaufort, Datuk Hajjah Azizah DSP Dun dan Lajim mempunyai haluan masing-masing.

Bagaimanapun, kesanggupan mereka bertiga untuk bersatu dalam kepimpinan bahagian telah dapat menyakinkan kembali penyokong-penyokong mereka, katanya.

Beliau menambah penyatuan itu sesuatu yang sangat baik dan sudah tentu akan memberi impak besar terhadap kepimpinan yang berkesan di kawasan Beaufort selepas ini.