Jumaat, 28 Jun 2019

SABAH SASAR JUARAI LIGA PERDANA

Pasukan Sabah bergambar dengan Ketua Menteri, Datuk Seri Shafie Apdal bersama Pemangku Presiden SAFA, Datuk Peter Anthony yang hadir menyaksikan perlawanan menentang Sarawak di Stadium Likas.

Sabah semakin hampir untuk naik ke saingan Liga Super musim hadapan namun misi paling penting pasukan untuk memenangi gelaran juara Liga Perdana musim ini.

Mengungguli takhta Liga Perdana dengan 34 mata setakat ini, kelebihan satu mata kepada pesaing terdekat pasukan JDT II yang mengutip 33 mata selain UiTM FC mengekori di belakang dengan 28 mata.

Sabah yang dikenali dengan gelaran pasukan Tambadau masih mempunyai empat perlawanan dalam saingan Liga Perdana manakala JDT II memiliki tiga lagi perlawanan.

Selepas dua dekad tidak meraih sebarang kejuaraan, pasukan kendalian jurulatih Jelius Ating ini mensasarkan untuk memburu gelaran juara Liga Perdana musim 2019 walaupun sedar mereka sebenarnya sudah diambang saingan Liga Super musim hadapan.

Jurulatih tersebut yakin bahawa pasukannya mempunyai pemain-pemain yang cukup bagus untuk meraihkan gelaran juara Liga Perdana musim ini selepas menumpaskan pasukan Sarawak 4-1 di Stadium Likas, Rabu lepas.

Pemain import dari Serbia, Ronoljub Paunovic mencipta hatrik dalam perlawanan tersebut selain satu gol diperolehi dari Aquinaldo Mendez, pemain import baharu dari Angola. Manakala gol tunggal Sarawak dihasilkan pemain kelahiran Sabah, Bobby Gonzales.


JELIUS...mahu pemain terus fokus hadapi baki perlawanan.
Menurut Jelius, gelaran itu pasti dalam genggaman mereka sekiranya pemain-pemain dapat terus mengekalkan kecergasan dan dapat bermain dengan baik dalam mengharungi empat lagi baki perlawanan.

Beliau percaya pasukannya memiliki pemain-pemain yang mempunyai karekter dan kekuatan yang mencukupi untuk memenangi gelaran tersebut. Bagaimanapun mereka mestilah dalam keadaan tahap kecergasan yang terbaik di samping mengelak pemain daripada menerima penggantungan akibat daripada mendapat kad.

"Ketika ini kami agak bimbang kerana beberapa pemain yang mempunyai kad kuning." , katanya.

Pemain-pemain seperti Park Taesu, Mafry Balang, Randy Baruh dan Paunovic hanya satu kad kuning sahaja lagi untuk dikenakan penggantungan secara automatik.

Malah kata Jelius, Park dan Mafry mempunyai lima kad kuning dan jika menerima satu lagi kad kuning boleh menyebabkan mereka menerima penggantungan dua perlawanan.

Begitu juga Paunovic yang pada masa ini mendapat dua kad kuning dan jika dilayangkan satu lagi kad, penyerang yang sudah menjaringkan sembilan gol itu secara automatik boleh digantung satu perlawanan.

Beliau berharap pemain-pemain akan terus fokus dan berusaha memenangi beberapa perlawanan yang berbaki itu.

Sabah akan menghadapi pesaing utama JDT II di Pasir Gudang pada 5 Julai ini sebelum berhadapan UiTM FC di Shah Alam pada 9 Julai ini.

Jelius menyifatkan dua perlawanan tersebut penting bagi pasukan dan mereka akan mengambil sikap berhati-hati kerana kejayaan melalui dua perlawanan tersebut akan memastikan gelaran juara Liga Perdana dalam dakapan mereka.